Monday, May 2, 2011

PAS WAJAR UCAP SELAMAT TINGGAL KEPADA DAP.

Sokong PAS keluar

2011/05/02

KERATAN muka depan Berita Minggu semalam.
KERATAN muka depan Berita Minggu semalam.
Pemimpin, persatuan Melayu setuju syor cerai DAP

KUALA LUMPUR: Pemimpin dan persatuan Melayu menyokong cadangan Datuk Seri Najib Razak supaya PAS keluar daripada pakatan pembangkang demi kepentingan dan perpaduan Melayu dan Islam.

Mereka mahu PAS melihat isu perpaduan ummah dengan pemikiran lebih matang selaras dengan perkembangan senario politik semasa, selain ideologi perkauman yang dibawa sekutunya, DAP.
Mereka juga sependapat PAS perlu menjauhi DAP yang mahu menjadikannya alat untuk memecahkan perpaduan dan kelangsungan kuasa politik Melayu untuk mencapai cita-cita politik mereka.
Ketua Dua Gabungan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar, berpendapat jika PAS dan UMNO bekerjasama, ia dapat menstabilkan senario politik serta mengukuhkan perpaduan Melayu.

Katanya, sebagai parti yang menggunakan nama Islam, PAS seharusnya memilih parti politik yang dianggotai umat seagama dan Melayu iaitu UMNO.

“Kenapa pilih bersama DAP sedangkan ideologi perjuangan PAS dan DAP amat berbeza kecuali persamaan untuk menjatuhkan UMNO dan BN,” katanya.

Beliau percaya perpecahan sesama umat Islam dan Melayu akibat perbezaan fahaman politik akan reda jika ada parti yang mengutamakan perjuangan bangsa seagama.
Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Irmuhizam Ibarahim, berkata PAS perlu sedar mereka dipergunakan DAP dan harus keluar daripada perangkap itu yang hanya menjadikannya alat untuk meraih sokongan Melayu.

“Perdana Menteri sudah membuka ruang untuk penyatuan Melayu dan umat Islam. Mengapa tidak cuba disambut dengan hati terbuka,” katanya.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Mad percaya kepemimpinan PAS terutama generasi mudanya menyokong perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika matlamatnya untuk perpaduan.

Hasan percaya kenyataan Perdana Menteri meminta PAS tinggalkan sekutu pembangkang adalah daripada perspektif nasional, bukan politik dan menjurus kepada kepentingan negara.

“Kepada dua tiga pemimpin PAS yang terlalu taksub kepada pakatan pembangkang... inilah masa untuk sedar mengenai budaya politik DAP yang sebenarnya, ajaklah penyokong PAS beralih arah walaupun tidak bersama UMNO dan BN, tetapi jauhi DAP.

“Jika PAS keluar pakatan, tentunya dapat menyatupadukan Melayu,” katanya.
Kelmarin, Najib berkata sudah tiba masanya PAS meninggalkan pakatan pembangkang, khususnya DAP yang tidak memperjuangkan agenda bangsa, agama dan negara.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya menutup pintu perbincangan dengan UMNO dan BN berhubung kerajaan perpaduan bagi mengelak pemimpinnya terus bertelagah sesama sendiri.

Isu itu timbul apabila Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam blognya mencadangkan supaya satu Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menukar ‘dua tiga kerat’ pemimpin parti yang didakwa bermasalah bagi membersihkan parti daripada golongan properpaduan dengan UMNO.

Di KLUANG, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata permintaan Perdana Menteri bukanlah cadangan yang dibuat Najib terhadap parti itu, tetapi berdasarkan realiti politik semasa.

“Kita lihat ketika ini (pembabitan PAS dalam pembangkang) hanya menguntungkan satu parti iaitu DAP. Ini bukan isu perkauman atau nak menuduh sesiapa. Kita nak ingatkan kepada PAS bahawa apa yang dibuat ini tidak membawa manfaat. Saya harap mereka kaji dan buat pertimbangan yang terbaik,” katanya.

Di IPOH, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta PAS memperhalusi dan mempertimbangkan saranan Presiden UMNO itu.

“PAS perlu melihat perkara itu (permintaan keluar pakatan pembangkang) dengan pemikiran lebih matang selaras dengan perkembangan senario politik masa kini.

"Takkan mereka tidak boleh fikirkan siapa yang mendapat manfaat. PAS mengharapkan sesuatu daripada DAP, manakala DAP mengharapkan sesuatu daripada PAS... tetapi akhirnya yang menang DAP,” katanya.

Oleh Norfatimah Ahmad, Mohd Anwar Patho Rohman, Norhayati Abllah, Mohamed Farid Noh dan Zanariah Abd Mutalib

 

  

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]