Tuesday, May 10, 2011

MENGAPA LIAT UNTUK MENDAFTAR SEBAGAI PENGUNDI ?


Hakikatnya dalam siri PRU di negara ini, peratusan keluar mengundi rakyat negara ini tidak pernah melepasi 80 peratus. Perhatikan, pada PRU 1995 dan 1999 mencatat 71 peratus, 2004 (73.5 peratus) dan 2008 (76 peratus). Berapa peratus agaknya pada PRU 13 nanti ?

Malah dari segi angka, daripada 10.7 juta pengundi berdaftar pada PRU 2008, hanya 8.1 juta orang yang keluar mengundi. Ini bermakna lebih ramai pengundi tidak berkualiti (ada hak berbuat demikian tetapi tidak ditunaikan).Persoalannya adakah yang tidak keluar mengundi itu, ahli parti atau pun tidak menyertai mana-mana parti politik?

Satu contoh di Kuantan :Kelihatan letih sungguh beberapa kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di kaunter pendaftaran pengundi baru semasa program 'Jom Heboh' di Kuantan baru-baru ini.

Bukan kerana letih apa tetapi kerana penat memanggil orang yang lalu-lalang di depan kaunter tersebut. Kalau tidak dipanggil untuk mendaftar, alamatnya tidak singgahlah. Maka tidak terisilah borang pendaftaran.

Tetapi kalau singgah pun, perasaannya separuh hati sahaja - hanya bertujuan untuk mengisi. Soal akan keluar mengundi, 100 peratus belum pasti lagi.

Itulah senario yang boleh disaksikan di kaunter pendaftaran pengundi baru di Kuantan. Ia diceritakan oleh seorang pegawai SPR kepada Utusan Malaysia sambil menyifatkan sebagai pemandangan biasa buat anak-anak muda negara ini. Apatah lagi dari kalangan kaum Melayu yang berusia 21 tahun ke atas.

Orang jenis ini jika diperhatikan dari segi keinginan untuk mendaftar pun disebabkan 'dipaksa', inikan pula dijamin untuk turun menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti. Yang memang pasti juga, dalam hatinya tidak ada perasaan kepentingan membuang undi untuk menentukan pucuk pimpinan negara

Realitinya, peranan media di negara ini seakan-akan tidak berfungsi untuk menyedarkan golongan muda tentang peranan dan tanggungjawab mereka untuk bukan sahaja mendaftar tetapi keluar mengundi.

Perhatikan tulisan-tulisan di dalam Harakah, Suara Keadilan, Roket dan blog-blog yang 'tumbuh bagai cendawan selepas hujan'. Tidak ada satu pun ke arah untuk memupuk kesedaran mengundi di kalangan rakyat.

Berita-berita yang terkandung dalam Harakah, tidak ada satu pun yang memuatkan laporan yang positif tentang usaha dan program transformasi kerajaan. Inikan pula menyumbang kepada percambahan minda dari segi pengetahuan kepentingan mengundi.

Rekod SPR menunjukkan peratus terbesar yang belum mendaftar sebagai pengundi mencecah 4.3 juta orang saat ini adalah orang Melayu.

Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) daripada parti politik dikatakan penyumbang utama kepada pendaftaran pengundi baru. Daripada 223,304 orang yang berjaya didaftarkan oleh SPR pada Mac lalu, sejumlah 115,989 orang datangnya daripada komitmen PPP parti politik.

Dan parti UMNO dan DAP adalah yang paling aktif membantu SPR mendaftarkan pengundi baru yang melepasi umur 21 tahun. Ia dilakukan sejak PRU 12 lalu.

Berdasarkan statistik pada Mei tahun lepas sahaja, DAP mendaftarkan sejumlah 14,000 orang manakala UMNO cuma 7,000. Namun pada Mac lepas, ia diatasi oleh UMNO.

Tentu sahaja kaedah memujuk, menjelaskan serta tarikan tertentu digunakan oleh PPP ini sehingga membolehkan nama pemilih baru berjaya dimasukkan dalam senarai.

Malah kelibat PPP daripada UMNO dan DAP mengatasi parti-parti lain di Selangor, Pulau Pinang, Perak dan Melaka.

Maka tidak hairanlah mengapa Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri membangkitkan dalam Taklimat Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 bahawa tidak ada maknanya menjadi ahli UMNO, jika nama mereka tidak ada dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya. UMNO kini mempunyai ahli mencecah 3.5 juta orang.

Ketika ini bukan UMNO sahaja menyusun strategi untuk menang PRU ke-13. Semua parti politik turut ke arah matlamat sama.

Pas tempoh hari meluluskan pelan tindakan 15 strategi bagi menghadapi PRU tersebut. Salah satu strategi ialah mendapatkan sejuta pengundi baru. Malah, pucuk pimpinan parti itu bimbang dengan potensi mereka di Selangor dan Kedah yang dianggap berada di 'ambang keruntuhan' jika tidak mempergiatkan pendaftaran pengundi baru dalam jumlah yang besar. Pas menyasarkan untuk memberi tumpuan ke atas 2.2 juta pengundi muda.

Demikian juga dengan DAP, PKR dan parti-parti lain juga semakin berkobar-kobar semangat untuk menafikan mandat yang diraih BN sejak sekian lama.

Pada tahun lepas juga, walaupun jumlah penolong pendaftar mewakili parti pembangkang jauh lebih sedikit berbanding parti komponen BN di Sarawak, namun pembangkang yang terdiri daripada DAP , PKR dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) mengatasi parti komponen BN dalam mendaftar pengundi baru sejak Januari hingga Julai.

Buat semua parti termasuk parti-parti komponen BN serta ahli UMNO gunakanlah apa sahaja medium untuk pencapaian matlamat mendaftarkan pengundi. Ini termasuk melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Dilaporkan rakyat Malaysia adalah pengguna utama bagi rangkaian laman sosial di dunia. Rakyat negara ini mempunyai paling ramai rakan dalam laman sosial. Secara puratanya mereka mempunyai kira-kira 233 rakan digital. Malah pada masa sama didapati mereka menghabiskan kira-kira sembilan jam setiap minggu melayari laman sosial.

Dengan pendaftaran pengundi yang menyeluruh, tumpuan serius dan sistematik perlu diberikan termasuk melancarkan gerak kerja khas pendaftaran pemilih terutama pemilih baru,

Renung-renungkanlah.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]