Thursday, May 19, 2011

SATU LAGI CATATAN SEJARAH NEGARA DIBAWAH KEPIMPINAN NAJIB

PM lancar penubuhan GSIAC


Kalangan tokoh-tokoh sains dan inovasi terkemuka dunia mendengar amanat Najib Tun Razak yang mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS), New York, semalam. – BERNAMA


NEW YORK 18 Mei – Malaysia melakar satu lagi sejarah apabila melancarkan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di sini yang dianggotai 35 tokoh terkemuka dunia sebagai landasan memberi nasihat ke arah merealisasikan kemajuan rakyat dan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi majlis itu berkata, buat permulaan tiga projek segera boleh dilaksanakan iaitu model Bandar Pintar dan Kampung Pintar yang turut membabitkan rumah jimat tenaga, kedua, projek biomass iaitu menjadikan sisa kelapa sawit sebagai kuasa elektrik serta vaksin dan ketiga pembangunan modal insan membabitkan kajian-kajian saintifik di pusat-pusat pengajian tinggi.
‘‘Majlis itu juga akan menjadi platform menanda aras penarafan dan tahap kompetitif dalam sains dan inovasi berbanding negara yang sudah maju dalam bidang teknologi di samping meningkatkan keupayaan Malaysia dalam sains dan inovasi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis itu di Akademi Sains New York (NYAS) di sini.
Dalam ucapannya, Najib berkata, majlis itu juga akan mewujudkan kolaborasi dengan pakar dunia dan pemimpin global, selain menjana dan meningkatkan hubungan perdagangan dua hala dan nilai pelaburan kepada Malaysia.
GSIAC yang mempunyai 25 anggota mewakili pakar pelbagai bidang di dunia dan 10 tokoh terkemuka tempatan, adalah inisiatif bersama antara Kerjasama Industri Kerajaan Malaysia Dalam Teknologi Tinggi (MIGHT) dan NYAS. Perlu disebut, NYAS, sebuah pertubuhan elit Amerika mempunyai 28 pemenang Hadiah Nobel dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.
Majlis itu akan disetiausaha bersama oleh Penasihat Sains kepada Perdana Menteri, Prof. Emeritus, Datuk Dr. Zakri Abdul Hamid dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif NYAS, Ellis Rubinstein.
Ia bertujuan mentransformasikan Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi menerusi peningkatan keupayaan Malaysia dalam sains dan teknologi.
Seramai 25 ahli majlis itu mewakili organisasi dan institusi penyelidikan bertaraf dunia, universiti dan akademi sains terkemuka serta tokoh terbilang dunia.
Najib berkata, menyedari bahawa inovasi adalah kritikal untuk memastikan kemakmuran dan meningkatkan kesejahteraan alam sekitar dan kehidupan rakyat, kerajaan komited untuk memajukan sains, teknologi dan inovasi dan menjadi pemacu kemajuan ekonomi.
“Malaysia sudah pun berjaya melakukan transformasi dari ekonomi berasaskan pertanian kepada perkilangan dan perkhidmatan. Sekarang kami komited merealisasikan matlamat Wawasan 2020 - ekonomi berpendapatan tinggi berasaskan kepada inovasi dan penjanaan ilmu - melalui Pelan Transformasi Ekonomi (ETP),” katanya.
Inisiatif ETP adalah untuk meningkatkan pertumbuhan yang memberi faedah kepada Malaysia serta mentransformasikan Malaysia kepada negara maju pada 2020 yang memerlukan jumlah pelaburan AS$444 bilion dan pertumbuhan 6 peratus setahun, menjana 3.3 juta pekerjaan, kebanyakannya jawatan berpendapatan tinggi dan latihan kemahiran. Ia akan meningkatkan pendapatan kasar negara (GNI) dari AS$6,700 pada 2009 kepada AS$15,000 pada 2020.
Najib menjelaskan pelan yang memerlukan 92 peratus daripada jumlah pelaburan itu, dipacu oleh sektor awam dan 27 peratus pelaburan akan diperoleh daripada pelaburan terus luar negara.
Perdana Menteri berkata, cabaran akan datang adalah besar dan meminta mereka melihat semula secara kritikal mengenai dasar, institusi dan proses untuk membina bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang mapan, inovatif dan sejahtera dengan memupuk semangat keusahawanan, kreatif dan adil. – UTUSAN

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]