Tempoh masa kritikal politik negara PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, USM. DALAM konteks pensejarahan politik kontemporari tanah air, kebelakangan ini boleh diiktiraf sebagai tempoh masa yang kritikal. Ia ketara kerana politiking yang berterusan seolah-olah setiap detik perlu diawasi, diperhati dan dibuat congakan tertentu walaupun tahu ia mengancam kestabilan dan nilai kemuafakatan kemasyarakatan. Adakah ini kesannya daripada politik masa depan ataupun politik baru yang diuar-uarkan oleh sesetengah pihak? Terlalu banyak ungkapan cuba disumbat dan disuluh menerusi terowong 'politik baru' yang sehingga kini masih berbelah-bahagi dari segi pendefinisian sehingga menyoal apakah 'politik baru' yang sudah menjelma era pasca Mac 2008? Pelbagai kumpulan baik pemimpin, pembesar politik mahupun massa memberi takrifan dan pemahaman yang berbeza-beza. Adakah ia 'perubahan'; 'merakyatkan'; 'akar umbi'; 'menerajui perubahan'; 'harapan'; 'bottom up'; 'manipulasi'; 'kreatif'; 'calon'; 'parti'; 'isu'; 'kepimpinan'; 'politik moral'; 'politik berhemah'; 'politik sivil'; 'liberalisasi'; 'kebebasan'; 'demokrasi'; ataupun politik lama dengan 'acuan' berbeza akibat desakan persekitaran yang jauh berubah daripada sebelumnya. Politik hari ini berkecenderungan menunjukkan kepekaan ke atas 'politik manipulasi' yang melengkapi 'politik angka' kerana politik adalah 'permainan' dalam konteks 'politik berasaskan kepada etnik'. Ia bukan sama ada seseorang itu popular ataupun tidak tetapi kemampuan untuk menang dengan apa cara sekalipun itulah 'politik' sebenarnya. Strategi yang diguna pakai bukan untuk menjadi pasukan popular yang sering kalah. Di sebaliknya pasukan yang terus menang dengan kemenangan bergaya kerana kemampuan terserlah berdasarkan pemikiran 'strategik' dengan pengurusan politik yang menyeluruh. Ia mengambil kira kepentingan kesemua kelompok masyarakat baik di atas mahupun bawah ; serta kepelbagaian maklumat yang bukan digunakan untuk menentukan siapa yang benar atau salah tetapi lebih daripada itu keupayaan melahirkan 'kepercayaan'. Manipulasi secara kreatif maklumat yang diguna pakai jika berjaya mewujudkan keyakinan dan kepercayaan, maka parti itulah yang menang. Kepelbagaian idea baru dilihat menjadi penjana perubahan yang kita lihat hari ini. Ia memberi informasi apatah lagi turut disalur melalui pelbagai mekanisme media tanpa bergantung sepenuhnya kepada media arus perdana. Teknologi yang terus berubah-ubah menyebabkan wujudnya golongan yang melakukan penilaian secara 'arm chair' dengan telahan sendiri termasuk penyertaan dalam sebarang forum on-line. Ia menandakan perubahan bagaimana masyarakat melakukan percaturan sendiri dalam penyebaran maklumati dan diberi pilihan untuk memilih bersesuaian dengan nilai kepercayaan masing-masing. Misalnya, isu agama Kristian sebagai agama rasmi negara. Ada segolongan yang akan bersetuju kerana ia akan cuba dihubung kait dengan pelbagai tingkah laku politik sejak dua tahun lalu termasuklah kehadiran pemimpin tertentu di masjid, membaca potongan ayat al-Quran sebagai pengimbang kepada tingkah laku politik mereka. Ada juga yang melihat ia barangkali strategi politik untuk menang kerusi melalui penyebaran kepercayaan yang sama terutama di negeri seperti Sabah dan Sarawak kerana faktor geografi dan demografinya. Ada pula yang menolak dengan melihat ia sebagai satu propaganda memenangi masyarakat Melayu, bersifat etnosentrik dan prejudis; menyanggah Perlembagaan sebagai kitab negara bangsa. Pokoknya, ia bukan bertujuan menentukan siapa salah atau benar tetapi bagaimana hujah disampaikan untuk melahirkan 'keyakinan', 'keraguan' dan 'ketakutan'; seterusnya 'kepercayaan' kepada kelompok berpusat iaitu 'pengundi atas pagar' kerana tindakan pemimpin berlatar belakangkan kepercayaan itu yang menggunakan institusi keagamaan atas kepentingan politik. Agama dan politik yang sering cuba dipisahkan kini bergerak senada apatah lagi jika pemimpin keagamaan sendiri bertindak di belakang tabir memberi kenyataan-kenyataan berbau politik dalam pertemuan dengan pengikutnya. Politik hari ini adalah politik berorientasikan kepada maklumat, perancangan idea untuk mengurusnya dan bagaimana mampu melahirkan kepercayaan ke atas isu yang dibawa melalui manipulasi secara terancang dan kreatif agar mempengaruhi persepsi, sentimen dan imaginasi umum. Aksesibiliti bersifat resiprokal, saling balas-membalas dan memerlukan antara pemimpin, parti dan ahli serta rakyat perlu ada supaya apa sahaja yang dilakukan akan bersifat dua hala dan bukan sehala lagi. Komunikasi dan tutur kata yang difahami umum dan bukannya hanya mahu difahami oleh diri sendiri penting. Jika hubungan antara setiap komponen ini rapat dan tidak menampakkan sebarang jurang, mustahil parti itu boleh tewas ataupun gagal meraih sokongan. Dilemanya, adakah model politik ini yang bersandarkan kepada maklumat, idea dan perang psikologi serta siber mampu disertai oleh kesemua kelompok masyarakat termasuk yang masih mengutamakan 'politik pembangunan'? Politik apa yang menjadi penentu masa depan adalah 'permainan' politik yang berpusatkan kepada maklumat yang boleh merungkai reformasi yang dibawa; hak dan tanggungjawab sebagai agenda asas dan sejauh mana kebebasan, pendemokrasian serta liberalisasi juga merupakan sebahagian dari manipulasi maklumat ini. Informasi jujur mengenai 'apa yang diperlukan masyarakat, cara pemikiran massa dan yang dimahukan mereka' di bawah permainan politik ini boleh memobilisasi pandangan, ekspresi baik individu mahupun pertubuhan dengan mengiktiraf mindset yang menggembleng idea dan pemikiran yang disesuaikan dengan generasi semasa tanpa meminggirkan sumbangan pengikut tradisi. Politik baru menekankan manipulasi merungkai tanggungjawab dalam kalangan pemimpin dan ia akan berjaya jika masing-masing memahami peranan mereka dalam kerangka untuk mentransformasi negara, rakyat dan parti politik sendiri supaya kepercayaan dan keyakinan itu akan diterjemah dalam bentuk sokongan angka politik. Pendekatan yang diambil tidak perlu mememperhebatkan sokongan penyokong tegar tetapi penyokong yang sentiasa berubah-ubah pendirian sebenarnya wajar menjadi tumpuan permainan politik baru ini. |
Thursday, May 19, 2011
Tempoh masa kritikal politik negara
Label:
UMUM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment