Thursday, May 19, 2011

MANA BANTUANNYA ?

Surau Haji Mohd. Yasin dilanda banjir kilat


ABU Kassim Endon menunjukkan sebahagian struktur tembok surau Kampung Lubok Kasau yang retak akibat kerap digenangi air banjir sejak sebulan lalu.


JASIN 18 Mei - Bagi penduduk sekitar kawasan surau Kampung Lubok Kasau, Bemban di sini, kejadian banjir kilat yang melanda kawasan tersebut sejak setahun lalu sudah dianggap perkara biasa buat mereka.
Namun, kesabaran penduduk semakin teruji terutama dalam kalangan kariah surau di kawasan itu apabila air mula naik ke kawasan surau sehingga menganggu kelancaran penduduk menunaikan ibadat harian di surau tersebut.
Penduduk mendakwa masalah banjir kilat yang berlaku disebabkan projek pembangunan perumahan yang dijalankan di kawasan tersebut sejak dua tahun lalu.
Menurut mereka, ekoran keadaan itu, sistem perparitan di kawasan berkenaan tidak mampu menampung kesan projek pembangunan yang dijalankan, malah keadaan longkang sedia ada tidak diselenggara dengan baik sekali gus menyumbang kepada kejadian banjir kilat.
Timbalan Pengerusi surau, Abu Kassim Endon berkata, kejadian paling serius berlaku pada Februari lalu apabila air memasuki kawasan surau hingga paras tangga dan memenuhi ruang mengambil wuduk.
''Bila hujan lebat, air masuk ke kawasan surau seperti air terjun memandangkan surau berada di bawah tebing tinggi manakala projek perumahan terletak di atas bukit.
''Keadaan yang berlarutan ini merosakkan bangunan surau dan kariah surau terpaksa menanggung bil air sehingga lebih RM100 untuk membersihkan surau," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Katanya, kesan banjir kilat yang melanda di kawasan itu menyebabkan sebahagian dinding tembok surau retak dan cat tertanggal akibat ditakungi air.
Sehubungan itu, Abu Kassim berharap pihak berkuasa terbabit khususnya Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya mengambil tindakan sewajarnya terutama membina sistem perparitan baru di situ agar kejadian banjir tidak berulang.
Selain itu, salah seorang penduduk, Ramlah Mohd. Atan, 61, berkata, masalah banjir kilat mula melanda kampung itu selepas projek pembinaan rumah dijalankan berhampiran kawasan tersebut.
''Setiap kali air naik, kita terpaksa meluangkan masa membersihkan surau sekali gus menyebabkan kariah surau menanggung bil air yang tinggi," katanya.
Ramlah juga berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan penyelesaian yang berkesan seperti membesarkan longkang di situ bagi memudahkan air hujan mengalir ke sungai bersebelahan surau.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]