Kibarkan Bendera UMNO Menjelang 11 Mei – Tengku AdnanKUALA LUMPUR, 6 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan ahli-ahli parti khususnya di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian UMNO untuk mengibarkan bendera parti ‘Sang Saka Bangsa’ menjelangnya ulang tahun penubuhannya yang ke-65 Rabu depan. Katanya, tarikh 11 Mei merupakan hari ulang tahun UMNO yang lebih dikenali sebagai Hari UMNO, umumnya akan disambut oleh Ibu Pejabat parti setiap tahun. “Saya berharap bahawa tiap-tiap individu termasuklah cawangan dan bahagian akan kibarkan bendera kita pada hari tersebut supaya kita dapat mengingati perjuangan yang telah kita perjuangkan selama ini,” katanya. Jelasnya, biarpun usia UMNO telah pun mencapai 65 tahun tetapi itu bukan bermakna bahawa parti tersebut sudah tua sebaliknya ia merupakan lambang kematangan dan sentiasa agresif dalam membuat perubahan-perubahan mengikut peredaran masa.“Apa yang kita lakukan atau yang telah dilaksanakan oleh parti termasuk peringkat akar umbi sendiri jelas memperlihatkan bahawa UMNO sentiasa memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu dan bangsa Malaysia. “UMNO yang menjadi tunjang kerajaan akan terus memastikan bahawa anak bangsa Malaysia akan mendapat kehidupan yang selesa dan Malaysia menjadi negara yang aman, sejahtera dan makmur. Itu tujuan asas yang kita akan terus perjuangankan,” tegasnya. Beliau berharap dengan adanya sambutan ke-65 tahun yang bertemakan ‘Membela Rakyat’ ini sedikit sebanyak menjadi satu peringatan kepada kelahiran pertubuhanpolitik yang akan membawa kepada punca penubuhan serta asas-asas perjuangannya. “Kita kena tunjukkan dalam sejarah siapa kita, apa yang kita lakukan dan apa yang telah kita capai khususnya kepada generasi muda kerana masyarakat hari ini perlu tahu bahawa kesenangan yang ada diperolehi dengan perjuangan. “Mereka perlu tahu rintangan dan ranjau yang telah dilalui oleh datuk nenek moyang kita. Jadi saya berkeyakinan bahawa dengan adanya sambutan tiap-tiap tahun ini maka ia akan memperingatkan sejarah kita dahulu untuk mempertingkatkan masa hadapan.” Dengan ini, beliau yakin akhirnya rakyat Malaysia walaupun mereka barangkali tidak disedarkan terhadap apa yang berlaku atau diganggu oleh provokasi pembangkang tetapi akhirnya mereka akan kembali kepada UMNO dan terus menyokong kerajaan BN demi masa depan anak-anak mereka. Dalam masa yang sama, beliau melahirkan harapan agar tiap-tiap cawangan dan bahagian akan mengadakan majlis-majlis kesyukuran atau majlis-majlis untuk memperingati pejuang-pejuang yang lepas. “Ini juga secara tidak langsung dapat memberi maklumbalas kepada generasi muda bahawa UMNOlah yang memberi kepentingan untuk perjuangan bangsa Melayu ini serta tidak ada pihak yang berani untuk mengganggu gugat,” tegasnya lagi. – MediaUMNO. |
Tuesday, May 10, 2011
SELAMAT ULANG TAHUN UMNO YANG KE 65 TAHUN.
Label:
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment