Didik anak baca al-Quran sejak kecil
KUCHING 16 Jun - Senario 'buta al-Quran' dalam kalangan generasi muda menggusarkan kakitangan swasta, Norlida Berawi, yang tidak mahu anak-anaknya berdepan dengan masalah sama.
Justeru, ibu kepada empat cahaya mata itu mengambil keputusan mengajar sendiri anak-anaknya membaca al-Quran di rumah, selain menghantar mereka ke kelas mengaji seawal usia enam tahun.
"Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk asas agama yang kukuh dalam diri anak-anak. Jadi tugas mendidik mereka tidak boleh diserahkan bulat-bulat kepada guru di sekolah.
"Sebab itu, saya dan suami amat tegas dalam soal pendidikan agama. Sebagai contoh, solat berjemaah dan mengaji al-Quran merupakan aktiviti yang diberi penekanan dalam keluarga kami," katanya ketika ditemui pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-54 di sini semalam.
Menurut Norlida, 35, penganjuran majlis tilawah merupakan peluang terbaik untuk mendedahkan anak-anaknya dengan teknik bertaranum di samping membaca al-Quran dengan tajwid yang betul.
"Alhamdulillah, setakat ini, saya tidak pernah ketinggalan membawa anak-anak menghadiri majlis ini untuk mengikuti setiap peserta memperdengarkan bacaan mereka.
"Kami turut membawa naskhah al-Quran supaya anak-anak dapat membuat rujukan dengan cara mengikut bacaan qari dan qariah yang bertanding," katanya.
Sementara itu, suri rumah, Normala Pata, 33, berkongsi pendapat yang sama dengan Norlida apabila turut membawa anaknya berusia tiga tahun ke majlis tersebut.
"Sejak kecil, ibu kerap membawa saya dan adik beradik lain menghadiri majlis tilawah semata-mata untuk memupuk minat kami mencintai al-Quran. Jadi, saya bertekad untuk mendidik anak saya dengan kaedah yang sama," katanya.
No comments:
Post a Comment