'Perhebatkan usaha capai negara maju'
2011/06/05
SERI Paduka mengurniakan Darjah Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun kepada bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdullah Ayub sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Negara, semalam.
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan segala usaha diperhebatkan bagi memastikan ekonomi negara terus berkembang dan meningkat, merealisasikan wawasan menjadikan Malaysia negara maju pada 2020 dan berpendapatan tinggi.
“Sesungguhnya, kekukuhan dan kestabilan sesebuah negara amat bergantung kepada pelbagai institusi yang menjadi tonggak pentadbiran negara, malah institusi pentadbiran dan pelaksanaan yang kukuh antara elemen terpenting dalam menghasilkan sebuah negara maju dan disegani.
“Beta bersyukur kerana kerajaan masih berupaya mengimbangi kesan kenaikan harga minyak demi kesejahteraan rakyat jelata. Beta berasa sukacita kerana kerajaan terus mengekalkan harga minyak RON 95, diesel dan gas petroleum cecair kepada harga semasa,” titah Seri Paduka sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda di Istana Negara, semalam.
Mengharapkan keputusan itu dapat mengurangkan beban rakyat, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan peniaga agar memberikan kerjasama dan tidak sewenang-wenang menaikkan harga barangan keperluan pengguna.
“Bila berlaku kenaikan harga, seluruh rakyat akan mendapat kesan buruk dan sesungguhnya apa yang kerajaan laksanakan ini tidak dapat dinikmati rakyat,” titah Seri Paduka.
Mengenai penggunaan pelbagai sumber tenaga dan air yang menyebabkan negara membelanjakan sejumlah besar wang bagi menyediakan kemudahan itu, Tuanku Mizan mahu rakyat jelata menjadi warga yang bijak memanfaatkan sumber tenaga dan air dengan berhemah. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment