Sunday, June 5, 2011

Ukur baju, di badan sendiri': PM ulas rasionalisasi subsidi


najibDatuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan kerajaan merasionalisasi subsidi bukanlah langkah menghapuskan subsidi tetapi memastikan subsidi diberikan kepada kumpulan sasar dan sektor yang benar-benar layak lagi memerlukan dengan jumlah yang berpatutan.
Perdana Menteri berkata subsidi di Malaysia adalah antara terbesar di dunia meliputi keperluan seharian rakyat seperti gula dan beras, dan ini tidak termasuk subsidi tidak langsung meliputi perkhidmatan kesihatan dan pelajaran.
"Dalam mengurus negara, kebajikan dan kesejahteraan rakyat adalah matlamat tertinggi," katanya dalam ucapannya pada majlis menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan penganugerahan darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda hari ini di Istana Negara di sini.
Najib berkata malah suatu keputusan yang tampak popular tidak semestinya menjadi satu tindakan terbaik untuk tempoh yang lebih jauh, dan untuk itu dalam mengurus ekonomi negara adalah penting "kita mengukur baju di badan sendiri."
"Bagi kepentingan ramai dan negara, sebuah kerajaan bertanggungjawab akan mencipta penyelesaian dan membuat pilihan mengutamakan maslahah rakyat bukan sahaja untuk jangka masa pendek dan pertengahan tetapi juga untuk jangka masa panjang," katanya.
Perdana Menteri berkata keputusan memotong dan menaikkan pendapatan layak dicukai, memberi subsidi secara pukul rata tanpa mengira keperluan kumpulan sasar contohnya, barangkali mendapat sambutan hangat bagi masa-masa yang tertentu, akan tetapi ia bakal mengundang masalah.
"Hakikatnya, apabila hanya kurang dua juta daripada 12 juta pekerja membayar cukai, dua juta pembayar itu mensubsidikan majoriti yang tidak membayar cukai. Ini akan lebih memberikan cabaran terutamanya apabila perkhidmatan kesihatan dan pendidikan adalah relatifnya percuma.
"Malaysia, bukanlah sebuah negara kuasa besar dunia yang mampu mencetak wang tanpa berasaskan kepada apa-apa sandaran atau fiat money," katanya.
Beliau berkata kebergantungan kepada sumber asli seperti petroleum dan gas asli tidak akan kekal untuk selama-lamanya, malah rakyat patut bersyukurlah bahawa negara mempunyai syarikat petroleum nasional yang diuruskan dengan baik dan kerajaan berjaya memaksimumkan manfaat yang diperoleh.
"Akan tetapi, sumber ini semakin berkurangan. Ternyata, lebih banyak perbelanjaan modal terpaksa dikeluarkan untuk mencari sumber yang baru," katanya.
"Jadinya, kita harus insaf kepada apa yang mungkin melanda negara jika ekonomi tidak diurus dengan baik," katanya.
Najib berkata misalannya, negara-negara dalam klasifikasi maju pun sepertimana Greece, dengan defisit 10 peratus dan kadar hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 137 peratus serta kadar pengangguran 14 peratus.
"Apabila gagal diurus dengan berhemah, baru-baru ini, memerlukan 110 bilion Euro atau RM477 bilion bersamaan hampir dua tahun setengah bajet terkumpul Malaysia untuk bailout atau dijamin keluar," katanya.
Begitu juga negara Ireland pada tahun lepas dengan defisit 32 peratus dan kadar hutang berbanding KDNK 113 peratus serta kadar pengangguran 15 peratus, memerlukan 85 bilion Euro atau RM369 bilion atau setahun setengah bajet terkumpul Malaysia untuk dijamin keluar, katanya.
"Khabarnya, kedua-dua negara Greece dan Ireland mungkin memerlukan jaminan keluar kali yang kedua," katanya.
Perdana Menteri berkata dalam apa jua rupa tindak tanduk atau perdekatan yang diambil oleh kerajaan, ianya "akan sentiasa bertanggungjawab, tidak cemerkap, tidak terburu-buru apatah lagi mengejar populariti membawa rebah.
"Dengan berhemah, tiap satu keputusan dikaji, ditimbang dan diperinci untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat jua," kata Najib.-4/6/2011

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]