Monday, June 20, 2011

KATA ADA PENYOKONG, KENAPA PENGARUHI ORANG KAMPUNG?

Penganjur pengaruhi penduduk kampung
Oleh Hardi Effendi Yaacob
bhnews@bharian.com.my
2011/06/20


Pembangkang dipercayai biaya kos perhimpunan BERSIH

KUALA LUMPUR: Penganjur Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) 2.0 dikesan cuba mempengaruhi penduduk kampung di beberapa negeri, termasuk Melaka, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan untuk menyertai perhimpunan haram itu yang dijadual berlangsung di ibu negara, 9 Julai ini.
Difahamkan, kegiatan itu didalangi parti pembangkang yang bersedia menanggung kos berkaitan, termasuk pengangkutan, penginapan dan makan minum penduduk kampung terbabit sebagai helah meraih sokongan terhadap penganjuran perhimpunan itu walaupun diberi amaran keras oleh polis supaya tidak meneruskan acara berkenaan.
Ia didedahkan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom sambil menyatakan tindakan pihak terbabit jelas menunjukkan mereka semakin terdesak dan cuba meraih sokongan orang ramai selepas polis mengeluarkan amaran keras supaya perhimpunan itu tidak diteruskan atas sebab-sebab keselamatan.

“Kami memperoleh maklumat ada kumpulan tertentu, dipercayai parti pembangkang cuba mempengaruhi penduduk kampung dan kawasan terpencil di empat negeri berkenaan menyertai Perhimpunan BERSIH 2.0 di ibu negara dengan semua perbelanjaan ditanggung.

“Sebenarnya, penduduk kampung itu tidak sedar diperdaya, mereka hanya diberitahu terpilih menyertai program lawatan percuma ke Kuala Lumpur. Padahal, mereka akan dikumpulkan sebagai kumpulan penyokong perhimpunan itu sebaik tiba di ibu negara,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengeluarkan amaran, termasuk akan menahan penganjur Perhimpunan BERSIH 2.0 yang dirancang serentak di ibu negara, Kuching dan Kota Kinabalu, 9 Julai ini jika masih mahu meneruskan perhimpunan itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekacauan.
Amaran itu dikeluarkan selepas polis memutuskan tidak meluluskan permit perhimpunan itu, termasuk permohonan daripada Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) yang merancang mengadakan satu lagi perhimpunan bagi menghalang Perhimpunan BERSIH 2.0.

Mohd Ali dalam laporan polis dibuatnya turut mendakwa penduduk kampung terbabit dijangka tiba di ibu negara menggunakan 30 hingga 40 bas sebelum dikumpulkan bagi tujuan menyertai perhimpunan haram itu.

“Kami berharap polis dapat bertindak segera mengekang kegiatan tidak bertanggungjawab ini. Manakala, golongan ibu bapa diingatkan memantau gerak geri anak mereka supaya tidak diperdayakan kumpulan tertentu untuk menyertai perhimpunan haram itu. Ini juga bagi mengelak berlakunya sebarang insiden tidak diingini,” katanya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]