Monday, June 6, 2011

MENEGAKKAN NEGARA ISLAM DAN MEMPERKASA KEPIMPINAN ULAMA

Wajah sebenar Pas terdedah

Oleh Zulkiflee Bakar

PADA tahun 1995, ketika berlangsungnya pilihan raya umum, penulis ada bertanya kepada seorang warga emas yang berusia 80-an kenapa beliau menyokong Pas, jawapannya, ‘‘Pas hendak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam.’’

Jumaat lalu pula ketika berbual dengan seorang mahasiswa sebuah institusi pengajian tinggi yang menghadiri Muktamar Tahunan Pas Ke-57 di Taman Melewar, Gombak, penulis turut bertanya soalan yang sama, jawapannya, ‘‘Pas dipimpin oleh para ulama dan kita sebagai orang Islam kena sokong.’’

Perjuangan menegakkan negara Islam dan memperkasakan kepimpinan ulama - inilah dua faktor utama yang mendorong sejak tahun 1951 kenapa sebahagian umat Islam di negara ini menyokong Pas.

Bagi mereka yang taksub, Pas adalah Islam, Islam adalah Pas. Pintu hati dan fikiran mereka sudah ditutup untuk melihat segala pengorbanan dan kejayaan UMNO yang telah memartabatkan Islam sehingga Malaysia menjadi negara Islam contoh.

Tetapi apa yang berlaku sepanjang muktamar Pas yang berakhir semalam sudah menjadi bukti bahawa parti itu kini bukanlah pejuang negara Islam dan tidak lagi dipimpin oleh para ulama sebagai pemain utama.

Sebaliknya golongan ulama hanya ditempatkan di Dewan Ulama dan menganggotai Majlis Syura yang belum tentu suara mereka akan didengari biarpun dikatakan menjadi badan pemutus perjalanan politik Pas.

Ternyata sekali, Pas menyambut 60 tahun usianya pada tahun ini dengan menyaksikan golongan ulama semakin terpinggir daripada arus perdana politik Pas.

Tewasnya calon-calon berlatar belakang agama bagi kerusi-kerusi Timbalan Presiden dan Naib Presiden serta Ahli Jawatankuasa Pas pusat sudah menjadi bukti bahawa ahli-ahli Pas kini sudah beralih arah.

Mereka semakin hilang keyakinan kepada kepimpinan ulama untuk menerajui parti itu dalam mencapai impian ke Putrajaya bersama-sama sekutu Pas iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh puak-puak yang menyokong Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pemilihan berlaku mengenai betapa perlunya profesional menerajui Pas ternyata memberi kesan.

Ahli-ahli Pas termasuklah perwakilan ke muktamar telah disogokkan dengan pemahaman bahawa kepimpinan ulama Pas adalah lemah, tidak agresif, tidak mempunyai visi dan tidak akan mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Oleh itu jika Pas mahu bersama-sama meraih kuasa satu kapal dengan PKR dan DAP maka pemilihan kali ini perlu memastikan golongan profesional terutamanya mereka yang ‘berkiblatkan’ Anwar mencapai kejayaan.

Ternyata usaha itu berjaya, Pas kini dikuasai sepenuhnya oleh golongan yang sebahagian besarnya adalah penyokong kuat Anwar, PKR dan DAP.

Kegagalan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membaca percaturan politik yang dilakukan oleh kumpulan menyokong Anwar dalam Pas telah memungkinkan beliau turut terjebak dan terikut-ikut dengan keghairahan untuk ke Putrajaya.

Tindakan Abdul Hadi yang menganggap barisan terpilih dalam pemilihan kali ini adalah Kabinet pilihan raya juga menimbulkan persoalan apakah selama ini Pas yang mengetengahkan ulama sebagai peneraju utama tidak yakin bahawa golongan itu boleh berjaya dalam pilihan raya?

Terbuktilah sudah bahawa muktamar Pas kali ini memaparkan wajah sebenar parti itu dalam arena politik negara.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]