Agenda tersirat DAP untuk tawan Perak Oleh Jalal Ali Abdul Rahim 2011/06/09 BAGAIKAN jentera lumba yang memecut laju ke garisan penamat, begitu juga parti politik di negara ini, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, bertungkus-lumus memacu jentera masing-masing menghampiri ‘garisan’ Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang bahangnya semakin terasa. Bercakap soal pilihan raya, antara topik yang menjadi perhatian ketika ini ialah berkisar kepada kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti itu bersetuju supaya empat negeri yang dikuasai pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat (PKR)- PAS iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing jika PRU ke-13 diadakan tahun ini. Alasan kepada hasrat itu ada kaitan langsung dengan Perak. Guan Eng memaklumkan keputusan itu antara lain bagi memastikan jentera pilihan raya pakatan pembangkang bersedia sepenuhnya menghadapi Barisan Nasional (BN) selain menumpukan perhatian menawan kembali Perak. Seperkara lagi yang menarik perhatian merujuk hasrat DAP untuk turut meletakkan calon Melayu mewakili parti itu pada PRU nanti. Apapun, maksud tersurat terhadap apa yang mahu dilakukan DAP sudah dinyatakan pemimpinnya. Namun, apa pula maksud tersirat parti itu? Adakah maksud tersirat itu lain pula makna dan tujuannya? Bagi penulis, jika diamati hasrat DAP itu menampakkan sikap tamak pemimpin parti itu yang begitu berazam mahu merampas kembali Perak, tanpa menghiraukan kesan terpaksa ditanggung rakan kerjasama khususnya Kelantan yang diperintah PAS. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, terus menolak cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang itu kerana ia boleh membahayakan kedudukan Kelantan yang ditadbir PAS jika negeri itu tidak membubarkan DUN serentak dengan pembubaran Parlimen. Tidak sukar untuk memahami mengapa DAP begitu teruja mahu memerintah semula Perak. Senario politik di Perak selepas PRU lalu hingga kini mungkin dapat menjelaskan maksud tersirat DAP. Umum tahu jika Perak jatuh ke tangan pembangkang, ia sebenarnya milik mutlak DAP manakala pemimpin PAS dan PKR negeri hanya menjadi ‘pak turut’. Senario ini sudah berlaku ketika 11 bulan pakatan pembangkang memerintah kerana DAP mempunyai bilangan kerusi DUN yang jauh lebih banyak berbanding PKR dan PAS. Umum juga tahu dendam pakatan pembangkang khususnya DAP terhadap BN begitu menebal selepas kuasa memerintah Kerajaan Perak yang mereka pegang selepas PRU ke-12 kembali ke genggaman BN apabila tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu seorang dari DAP dan dua PKR mengumumkan keluar parti dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong BN pada awal 2009. Pada masa sama seorang ADUN BN yang menyertai PKR juga kembali semula ke pangkuan UMNO. Senario itu menyebabkan bilangan kerusi DUN antara BN dan pakatan pembangkang sama banyak iaitu 28 kerusi. Namun BN mempunyai kelebihan berikutan sokongan tiga ADUN Bebas. Setahun kemudian, Pakatan pembangkang kurang satu lagi kerusi DUN apabila seorang ADUN DAP mengikut jejak langkah tiga rakannya keluar parti. Umum juga tahu, walaupun jawatan Menteri Besar Perak ketika pakatan pembangkang mentadbir negeri itu dipegang ADUN dari PAS iaitu Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, banyak kenyataan sebelum ini menjurus ADUN Pasir Panjang itu hanya boneka DAP kerana banyak keputusan berhubung dasar negeri dikatakan ditentukan dua Ahli Exco dari DAP. Justeru, apabila timbul perkhabaran mengatakan DAP bercadang meletak calon berketurunan Melayu bertanding pada PRU ke-13, dalam konteks Perak, ada pihak mengaitkan ia satu cubaan DAP mengisi jawatan Menteri Besar dari kalangan ADUN parti itu, walaupun mereka berjanji akan terus melantik Mohammad Nizar ke jawatan itu jika dapat menawan kembali Perak. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak memperuntukkan jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri itu disandang oleh seorang Melayu beragama Islam dan ada klausa yang menyatakan Sultan Perak boleh menggunakan budi bicara baginda dalam melaksanakan syarat itu. |
Thursday, June 9, 2011
MENGAPA DAP " TAKUT" PRU 13 JIKA DIBUAT PADA TAHUN INI?
Label:
PRU 13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment