Friday, June 17, 2011

"NEGARA KEBAJIKAN PAS - UMPAN UNDI BUKAN ISLAM

Slogan baru PAS sekadar pancing undi bukan Islam
Oleh Ridzuan Yop
ridzuanyob@bharian.com.my
2011/06/17

Dasar parti bentuk negara berkebajikan tak mampu gugat BN pada pilihan raya akan datang

PADA Muktamar Tahunan PAS Ke-57 baru-baru ini, parti itu menukar dasar perjuangan asalnya daripada membentuk negara Islam kepada negara berkebajikan. Pelbagai reaksi diberikan banyak pihak kepada pertukaran slogan baru PAS itu.
Pemerhati politik berpendapat kesanggupan PAS menukar slogan parti itu daripada membentuk negara Islam kepada negara berkebajikan bukan sekadar mahu menjaga hati rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi ada agenda lebih besar PAS iaitu untuk meraih sokongan bukan Islam terhadap parti itu, seterusnya menerajui pakatan pembangkang.

PAS perlu membuktikan perancangan dan setakat mana kemampuan mereka untuk melaksanakan negara berkebajikan itu Dr Khoo Kay Kim Penganalisis politik Menggantikan slogan itu barangkali juga sejajar dengan satu lagi slogan parti itu ‘PAS for all’. Umum mengetahui sejak PAS berpegang teguh kepada dasar parti untuk membentuk negara Islam, sedangkan sokongan bukan Islam terhadap parti itu tidak seperti yang diharapkan.

Ini kerana wujud kebimbangan dalam kalangan bukan Islam terhadap pendekatan yang mungkin diguna pakai PAS seperti hukum hudud sehingga boleh menimbulkan rasa kurang selesa seperti yang sering dipaparkan di beberapa negara Islam seperti Afghanistan, malah Islam dikaitkan dengan kemunduran dan kemiskinan.

Namun, persoalannya sejauh mana bertukarnya slogan negara Islam kepada negara berkebajikan ini mampu menarik sokongan bukan Islam terhadap parti itu, terutama dalam keghairahan PAS membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Penganalisis politik, Prof Dr Teo Kok Seong, berkata adalah jelas perubahan prinsip perjuangan PAS daripada membentuk negara Islam kepada negara berkebajikan semata-mata mahu meraih sokongan undi bukan Islam kepada parti itu.
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata walaupun PAS bertukar slogan itu bukanlah bermakna sokongan bukan Islam akan beralih kepada parti itu dengan begitu mudah.

“Orang bukan Islam terutama kaum Cina melihat banyak aspek dan mereka tidak mudah memberikan sokongan semata-mata kerana PAS sudah mengubah slogan yang sebelum ini ‘menakutkan’ kaum Cina untuk mengundi parti itu.

“Yang penting bagi orang bukan Islam sejauh mana sesebuah kerajaan itu dapat ditadbir dengan berkesan, cekap dan memacu pembangunan ekonominya dan tidak sekadar slogan sama ada negara Islam mahupun negara berkebajikan,” katanya.

Teo berkata, sebelum ini PAS mungkin tidak pernah bermimpi untuk memerintah Malaysia, tetapi sejak akhir-akhir ini selepas melihat mereka mempunyai peluang, mereka tidak teragak-agak untuk menukar slogan bagi meraih sokongan bukan Islam.

Sementara itu, beliau tidak menolak undi yang diterima PAS pada pilihan raya umum lalu daripada pengundi bukan Islam sebahagiannya adalah undi protes terhadap Barisan Nasional (BN) dan ia tidak menggambarkan sokongan menyeluruh kepada parti itu.

Beliau berkata, keadaan sudah berubah dan sokongan kaum Cina serta orang bukan Islam lain terhadap PAS juga boleh berubah. Ada orang bukan Islam masih yakin BN dapat membela nasib mereka lebih baik berbanding yang dapat dibuat PAS dan pakatan pembangkang.

Teo menegaskan pakatan pembangkang sendiri sebenarnya masih mencurigai antara satu sama lain kerana asas dan dasar perjuangan mereka mempunyai perbezaan matlamat yang amat ketara.

“Mereka berpakat sebagai mencari jalan pintas hanya untuk menjatuhkan BN, sedangkan mereka belum bersedia untuk bergabung seperti yang dilakukan BN yang mempunyai asas gabungan yang kuat terutama ketika menuntut kemerdekaan,” katanya.

Penganalisis politik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang berkongsi sentimen sama, berkata pertukaran slogan PAS daripada negara Islam kepada negara berkebajikan belum tentu dapat meraih sokongan bukan Islam.

Pakar sejarah itu berkata, walaupun mungkin ada masyarakat bukan Islam di negara ini berasa lega dengan pernyataan itu tetapi perkara yang lebih penting ialah mereka mahu melihat tindakan selanjutnya sejauh mana konsep negara berkebajikan itu dapat dilaksanakan.

“Pada saya perkataan (slogan) bukan tindakan. PAS perlu membuktikan perancangan dan setakat mana kemampuan mereka untuk melaksanakan negara berkebajikan itu. Masyarakat bukan Islam mahu melihat pelaksanaannya dan bukan mudah memberi sokongan begitu saja,” katanya yang mempersoalkan kenapa PAS menunggu begitu lama untuk berbuat demikian, apatah lagi ketika menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]