Friday, June 3, 2011

PM : RAKYAT DIDAHULUKAN.....


Ketepikan fahaman politik - PM



NAJIB Tun Razak menyaksikan majlis pertukaran dokumen perjanjian kemudahan dan perjanjian pajakan antara Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dengan Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. Jaseni Maidinsa (kanan) pada majlis di Putrajaya, semalam. Turut sama, Peter Chin Fah Kui. - Bernama


PUTRAJAYA 2 Jun - Kerajaan Pusat sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan sanggup mengetepikan fahaman politik apabila bersedia menjalin kerjasama dengan negeri yang dikuasai pembangkang menerusi perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, permuafakatan dalam merealisasikan pelaksanaan dasar itu adalah demi kesejahteraan dan kebaikan rakyat.
''Penstrukturan semula industri air adalah satu inisiatif daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu memodenkan industri bekalan air di negara ini agar lebih bersifat holistik dan efisien.
''Kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan bagi kerajaan, saya berharap agar negeri lain di Semenanjung Malaysia akan segera turut serta kerana matlamat kita ialah menyediakan bekalan air bersih dan berkualiti kepada rakyat pada harga berpatutan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air negeri Pulau Pinang, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Inisiatif penstrukturan air telah dimulakan pada 2005 apabila kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan yang mana perkara berkaitan bekalan dan perkhidmatan bekalan air dipindahkan dari senarai negeri ke senarai bersama.
Pindaan itu menghendaki Kerajaan Persekutuan bersama-sama bertanggungjawab dengan kerajaan negeri menyediakan perkhidmatan bekalan air berkualiti.
Najib berkata, perjanjian yang dimeterai hari ini membawa dua makna kerana Pulau Pinang adalah negeri pembangkang pertama yang menandatangani perjanjian tersebut dan satu pencapaian yang dapat menjadi pemangkin kepada negeri lain untuk turut serta.
Tambah beliau, Pulau Pinang juga merupakan negeri kelima yang memuktamadkan perjanjian penstrukturan semula selepas Melaka dan Negeri Sembilan pada 2008 diikut Johor (2009) dan Perlis pada tahun lalu.
''Penstrukturan semula ini melibatkan pemindahmilikan secara pajakan aset air kerajaan negeri Pulau Pinang bernilai RM655.2 juta kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan sebagai balasan, PAAB akan mengambil alih liabiliti air kerajaan negeri daripada Kerajaan Pusat berkaitan bekalan air pada nilai yang sama.
''PAAB seterusnya akan menyewa pajak aset air ini kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada kadar sewa tahunan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.
Justeru, kata Perdana Menteri, penghijrahan Pulau Pinang ke rejim baru industri air negara akan menjana pembangunan pesat dan dinamik bagi negeri tersebut khasnya dalam industri air.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]