Permohonan PKR halang ROS batal parti didengar 8 Jun
KUALA LUMPUR - Permohonan PKR untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi menghalang Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran parti itu akan didengar 8 Jun ini.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Azrul Darus menetapkan tarikh terbabit dan turut memberitahu permohonan itu akan didengar hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim.
Tarikh pendengaran itu dimaklumkan oleh salah seorang peguam mewakili PKR, Fadiah Nadwa Fikri kepada media di sini, semalam.
Kelmarin, PKR memfailkan permohonan menerusi Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail dengan menamakan ROS sebagai responden.
Pemohon diwakili peguam, N Surendran memohon supaya mahkamah mengeluarkan perintah larangan bagi menghalang ROS daripada membuat sebarang tindakan hingga pendengaran kes di mahkamah selesai.
Permohonan itu difailkan kerana ROS mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap PKR bertarikh 9 Mei lalu meminta sebab mengapa pendaftaran parti tidak boleh dibatalkan sedangkan parti itu didakwa memecat seorang ahli secara salah.
Bagaimanapun, pemohon dalam alasan permohonannya mendakwa, dakwaan ROS bahawa ahli, A Rajagopal dipecat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 1 April atau 27 April 2009 adalah tidak berasas kerana lelaki terbabit tidak pernah menganggotai PKR.
Sebaliknya, pemohon menyatakan bahawa ahli yang dipecat adalah A Jayagopal, nombor keahlian K060000280 010 dan pemecatan itu dibuat menerusi keputusan mesyuarat MPT pada 26 April 2009.
Pemecatan itu didakwa dilakukan atas alasan Jayagopal melanggar Pekeliling Setiausaha Agung bertarikh 11 Mac 2009 apabila bertanding sebagai calon bebas dan menentang calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Selambau.
Jayagopal memperoleh 36 undi ketika pilihan raya itu dan berdasarkan pekeliling parti, ahli yang mendaftar sebagai calon tanpa kebenaran PKR akan dipecat serta-merta tanpa merujuk kepada ahli berkenaan.
Justeru itu, pemohon mendakwa keputusan ROS adalah satu perkiraan tidak wajar dan satu salah guna kuasa kerana ia jelas merupakan satu keputusan tidak mempunyai asas yang mencukupi.
Pemohon mendakwa keputusan ROS dibuat berdasarkan niat jahat dan bertujuan untuk menghalang PKR daripada mengambil bahagian pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.
No comments:
Post a Comment