Friday, June 3, 2011

TIMBALAN DAN NAIB PRESIDEN DIKETAHUI HARI INI..

 

nasha-mat-tuanDatuk Tuan Ibrahim Tuan Man bukanlah nama kecil dalam PAS.  Namun, tidak seperti Nasharudin Mat Isa, Mohammad  Sabu atau Datuk Husam Musa, umum di luar PAS agak kurang mengenali Pesuruhjaya PAS Pahang ini sekalipun beliau turut menyandang jawatan Naib Presiden. 
Selasa – ketika semua pihak menduga pemilihan jawatan Timbalan Presisen PAS kali ini dua penjuru saja antara Nasha dan Mat Sabu...Tuan Ibrahim mencelah mengumumkan beliau akan turut serta.
Ia sebenarnya adalah satu kejutan kerana sebelum ini beliau berkali-kali membayangkan tidak berminat langsung dengan jawatan nombor dua dan hanya mahu mempertahankan jawatan Naib Presiden.
Difahamkan Tuan Ibrahim telah menerima sebanyak 39 untuk jawatan kedua tertinggi dalam hirarki parti dan 97 pencalonan lagi bagi beliau mempertahankan jawatan Naib Presidennya.
Ironinya PAS sendiri secara rasmi tidak menghebahkan jumlah pencalonan yang diterima calon-calon yang bertanding.

ikon-yusofharun150xx
.

Entah apa sebabnya PAS begitu berahsia-rahsia tentang perkara ini, kita pun tak tahu.  Tapi pemimpin parti itu tak bolehlah menyalahkan media arus perdana dan media alternatif lain, sebagaimana yang sudah menjadi kelaziman parti itu, sekiranya spkulasi mengenainya terus dibuat.
Apapun nampaknya dalam pemilihan kali ini, debaran dan keceriaan perebutan jawatan Naib Presiden sudah semacam hilang ummpnya. 
Sebaliknya spotlight media terus bertumpu kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden.
Sebenarnya dalam pemilihan-pemilihan terdahulu, kecuali ahli PAS dan penyokongnya sendiri, umum tak berapa minat sangat mengambil tahu tentang perubahan yang berlaku atau bakal berlaku dalam pucuk pimpinan parti tersebut. 
Tapi kali ini, lain sedikit halnya.  Sudah ada tanda-tanda wujudnya ‘pengaruh luar’ yang berganding dengan pemimpin tertentu dalam PAS yang mencaturkan pemilihan yang bakal berlangsung bulan depan.

Ada pemerhati politik yang melihat Nasha yang akan mempertahankan jawatannya  terpaksa menghadapi ujian getir. Dalam pada itu tidak ada blessing ataupun endorsement dari Presiden.

Datuk Seri Haji Hadi Awang awal-awal lagi sudah mengumumkan beliau berkecuali atau dengan ayat lain Presiden PAS yang sudah menang tanpa bertanding itu tidak akan mempengaruhi mood perwakilan untuk mempertahan Nasha. Macam kata mat salleh, “you’re on you own.”
Sebenarnya kebebasan itu tidak menjadi masalah besar kepada calon-calon  yang bertanding kerana mereka lebih suka tiada restu dari atas walau dari Presiden sekalipun kerana belum tentu menjamin kemenangan.

Cuma dalam kes Nasha ada yang melihat kali ini beliau bukan saja berdepan dengan pencabar terdekat, Mat Sabu, tetapi menghadapi common enemy,  ibarat berdepan  satu jentera PAS yang kesemuanya mahukan beliau kalah.
Siapa lagi kalau bukan kumpulan Erdogan yakni yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.Mereka dikatakan sudah set untuk memastikan Nasha bukan saja kalah tapi akan “hilang deposit.”
 Bagi kumpulan Erdogan ini musuh sebenar  bukanlah Nasha per se. Dalam sifir politik sekarang, tempat Nasha harus diisi dengan calon lain yang boleh menjadi proksi mereka.
Calon yang paling mereka gemari tentulah yang boleh ke tepi ke tengah dengan  Anwar. Soalnya siapakah calon  yang dianggap proksi Anwar itu?  
Walaupun Nasha berpendidikan lslam dan Barat serta dalam usia yang relatifnya masih muda serta luas pengalaman di pelbagai peringkat dan sangat disenangi oleh kumpulan ulama dalam parti namun masih ada sesuatu yang tidak lengkap sebagaimana yang dilihat oleh kumpulan Erdogan.  
Nasha tidak termasuk ciri-ciri orang yang layak duduk semeja bertukar fikiran dengan kumpulan Erdogan  serta dilihat tidak termasuk dalam inner circle Anwar-PAS.
Seperti umum ketahui Nasha dimusuhi kerana ia dilihat lebih condong kepada usaha penyatuan orang Melayu menerusi kerajaan perpaduan.
Semuanya bermula dari ura-ura penubuhan kerajaan perpaduan tidak lama dulu. Bukan  lagi satu rahsia bahawa Nasha, setelah mendapat restu tokoh-tokoh PAS termasuklah Hadi sendiri (melainkan Datuk  Nik Aziz Nik Mat) mengusahakan pembentukan kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Apapun agak malang perpaduan PAS dan UMNO  dalam konteks pembentukan sebuah kerajaan perpaduan ataupun apa yang disebut oleh Hadi sebagai  “unity government” tidak dibuat bersungguh-sungguh. 
Baik UMNO mahupun golongan PAS yang menyokongnya  semacam mudah putus asa apabila ada tokoh tertentu dalam parti mengeluarkan fatwa keras melarang perpaduan sesama Islam sedemikian (walaupun tokoh tersebut lebih selesa berpadu kasih politik dengan bukan Islam). 
UMNO pula sentiasa mengambil sikap terbuka dan sanggup mempertimbangkan apa juga formula yang diusulkan.
 
Untuk rekod Allahyarham Tun Abdul Razak mengambil masa dua tahun mengadakan siri rundingan sebelum mengumumkan pembentukan BN menggantikan Perikatan dengan melihat kemasukan Gerakan, PAS dan lain-lain ke dalam BN selaku parti komponennya.
Justeru tidak hairanlah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membuat tawaran secara serius supaya PAS menyertai BN. Namun sebaliknya PAS khususnya Datuk Nik Aziz Nik Mat memperlekeh tawaran itu.

Dalam hal ini Mat Sabu walaupun tidaklah begitu rapat dengan Anwar sejak 20 tahun kebelakangan ini kerana isu-isu tertentu namun  beliau dilihat boleh menerima gagasan Anwar sebagaimana Anwar boleh menerima pemikirannya.
Setidak-tidaknya  inilah kira-kira tolak campur mudah pada peringkat awal pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden PAS.
 
Bagi puak itu membiarkan Nasha mempertahankan jawatannya bermakna membiarkan wujudnya peluang dan ruang bagi beliau dan Hadi memikir dan seterusnya  melaksanakan sesuatu usaha untuk menjadikan kerajaan perpaduan itu satu realiti. 
Walaupun umum ahli PAS boleh menerima gagasan ini tetapi ia akan mengakibatkan Parti Keadilan Rakyat bukan sahaja hilang dahan untuk berpaut tetapi menghadapi prospek terus berkubur dan lenyap daripada peta politik Malaysia. 
Yang pasti puak Erdogan tidak akan membenarkan ini berlaku.

Namun di saat-saat akhir ini, perancang dan broker kuasa dalam PAS, yang  berkiblat kepada Anwar, merasa ada risiko dan tidak kena sekiranya Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden.

Umum tahu  Mat Sabu adalah seorang tokoh akar umbi atau grassroot man yang bergaul dengan segenap lapisan ahli, dari pemimpin negeri bertaraf  Pensuruhjaya sehinggalah budak yang diupah memanjang tiang lampu untuk memasang bendera PAS.

Tetapi apa yang tidak diketahui ialah cara berpolitik beliau yang tidak keterlaluan jika dikatakan sebagai mengamalkan ‘high-politics’. Di sebalik cerita kelakarnya tatkala berceramah, sukar untuk mendalami apakah sebenarnya minda politik beliau.
Walaupun congak campur tolak mudah atas kertas menunjukkan memberikan Mat Sabu jawatan Timbalan Presiden adalah lebih selamat dari mengekalkan Nasha tetapi  seperti orang tersedar lamunan,  banyak yang tidak kena di antara Anwar  dan Mat Sabu ini. 
Dengan mengambil kira minda politik beliau ‘yang tidak boleh dikawal’, maka apa sahaja boleh berlaku sekiranya Mat Sabu berada dalam kedudukan selesa dalam parti.

Untuk menarik balik pencalonan yang diperolehi oleh Mat Sabu sudah agak terlambat.  Difahamkan oleh itu, langkah terbaik selanjutnya ialah ‘ jolok’ Tuan Ibrahim selaku calon alternatif dengan harapan ia dapat menewaskan Nasha dan Mat Sabu. 
Soalnya apakah Tuan Ibrahim sanggup membiarkan dirinya menjadi kuda tunggangan puak Erdogan dalam PAS ?
Politik adalah seni serba kemungkinan. Apa sahaja boleh berlaku dan kita  harus tunggu dan lihat apa cerita selanjutnya. -24/5/2011- OLEH YUSOF HARUN




Tuan Ibrahim buat pengumuman mengejut nak sertai pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS
Senario menjelang pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS menjadi bertambah menarik Selasa berikutan penyertaan mengejut Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk bersaing dengan penyandang jawatan sekarang Nasharudin Mat Isa dan Mat Sabu.
Tuan Ibrahim yang juga Persuruhjaya PAS Pahang membuat pengumuman berkenaan menerusi laman blognya.
Beliau sebelum ini beberapa kali menyatakan tidak berminat untuk bertanding jawatan nombor dua parti sekalipun mendapat pencalonan untuknya.Katanya beliau hanya ingin mempertahankan jawatan Naib Presiden sahaja.
Berikut ialah kenyataan Tuan Ibrahim:
Kenyataan media – pencalonan Timbalan Presiden diterima
Saya telah menerima surat rasmi daripada Jawatankuasa Pemilihan PAS pada 22hb Mei 2011.  Saya telah  mendapat pencalonan untuk dua jawatan, iaitu jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak memberangsangkan.
Walaupun saya telah berkali-kali menyatakan hasrat bahawa saya lebih berminat untuk diberi peluang bagi meneruskan kerja saya dalam parti sebagai Naib Presiden sekiranya ada pencalonan yang mencukupi, namun kawasan-kawasan terus juga mencalonkan saya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden dengan jumlah pencalonan yang agak besar.
Saya tidak bercadang untuk menyatakan jumlah pencalonan yang saya terima, namun ianya suatu jumlah yang memerlukan saya untuk memikirkannya semula hasrat saya sebelum ini secara mendalam sebelum membuat sesuatu keputusan.
Sebagai seorang pekerja parti, saya melihat keadaan ini sebagai kehendak sebahagian daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang perlu dipertimbangkan, dihormati dan tidak boleh diketepikan begitu sahaja.
Setelah memikirkan secara mendalam, saya akur dan menerima pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dengan hati yang terbuka, pada masa yang sama saya menyerahkannya kepada perwakilan untuk membuat keputusan.
Saya ingin merakamkan ucapan  terima kasih kepada semua kawasan yang telah mencalonkan saya - dengan rendah diri, saya sedar saya bukanlah calon terbaik berbanding calon-calon lain, yang jauh lebih layak dari saya dengan pengalaman perjuangan yang panjang serta pengorbanan yang hebat untuk parti sekian lama.
Sebagai sebuah parti besar dengan kekuatan tarbiyah dan kefahaman mendalam terhadap tanggungjawab yang diamanahkan, saya penuh keyakinan dan berdoa bahawa pemilihan ini akan berjalan dengan nilai ukhuwah yang sangat tinggi selaras dengan kedudukan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.- 24/5/2011
 
________________________________________

 
PAS: Salahuddin tarik diri, Idris Ahmad bertanding Naib, Mahfuz umum Ahad...

MENJELANG 26 Mei ini, makin ramai  pemimpin PAS yang terima pencalonan untuk pemilihan parti itu sibuk call sana sini, tanya sokongan. Ada juga yang sudah berani isytihar tarik diri sebab tahu setakat mana keupayaan masing-masing.
Pada Khamis, jumlah calon bagi merebut kerusi timbalan presiden PAS pada pemilihan semasa Muktamar Pas ke-57 berkurang kepada lima apabila Salahuddin Ayub, menarik diri dari bertanding jawatan itu.
"Selepas saya melihat diri saya sendiri dan keupayaan saya tidak berkelayakan untuk jawatan nombor dua itu.
"Saya tak layak bertanding...terpulanglah kepada orang untuk menilai tetapi saya rasa selepas saya muhasabah diri saya tidak berkemapuan di situ," katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itum masih ramai rakan seperjuangan yang layak untuk bertanding jawatan itu.
Selasa lalu, Salahuddin diumumkan antara yang layak bertanding bagi kerusi timbalan presiden selain penyandangnya, Nasharudin Mat Isa; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dan dua ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.
Pada pemilihan PAS 2009, Salahuddin dipilih buat pertama kali sebagai naib presiden selepas memegang jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan mendapat undi kedua terbanyak iaitu 824 undi, selepas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (871 undi).
Seorang lagi naib presiden ialah Datuk Mahfuz Omar dengan 663 undi.
Salahuddin juga layak untuk bertanding mempertahankan kerusi naib presiden, namun keputusannya bergantung kepada pencalonan yang diterimanya dari 146 kawasan.
Beliau berkata, jika jumlah pencalonan itu menggambarkan bahawa anggota parti yakin dengan tanggungjawab yang dipikulnya selama ini maka beliau bersedia pertahankan jawatan naib presiden.
Katanya, keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak hanya akan diketahui semasa pengumuman calon yang mengesahkan akan bertanding oleh pengerusi jawatankuasa pemilihan, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Sementara itu, Agendadaily difahamkan calon naib presiden Datuk Mahfuz Omar akan mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat PAS pagi Ahad bagi memaklumkan pendirian beliau samada mempertahankan jawatan itu atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad Khamis mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Naib Presiden PAS dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Idris yang akan bertanding buat julung kalinya bagi jawatan itu berkata beliau menerima pencalonan dari PAS kawasan.
"Ya, saya akan bertanding (jawatan Naib Presiden),"katanya kepada Bernama.
Selain Idris, dan Mahfuz, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub, Bendahari PAS Pusat Mohd Hatta Md Ramli, Exco Kerajaan Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Nik Zawawi Nik Salleh layak bertanding Naib Presiden.
Tiga anggota Ahli JawatanKuasa Pusat PAS Mazlan Aliman, Mujahid Hj Yusof Rawa dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut layak bertanding jawatan yang sama.
Bagaimanapun, Mujahid, yang juga bekas calon Naib Presiden PAS pada pemilihan lepas serta Nik Zawawi telah mengumumkan pada Khamis mereka tidak akan bertanding jawatan naib Presiden pada pemilihan kali ini.
Pada pemilihan 2009, Mujahid bertanding jawatan Naib Presiden tetapi kalah. Bagaimanapun, beliau menang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.
Calon-calon lain yang layak bertanding jawatan Naib Presiden, termasuk penyandang masih belum memutuskan sama ada bertanding atau tidak kecuali Idris, Mujahid dan Nik Zawawi.
Kesemua mereka diberikan masa sehingga 26 Mei ini untuk menentukan sama ada menerima pencalonan tersebut. -19/5/201

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]