<'Sumbat gol sendiri' punca UMNO lemah
Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my
2011/06/19
Ahmad Zahid mahu ahli henti berbalah
TANAH MERAH: Semangat perjuangan parti yang sudah hilang dikatakan menjadi penyebab berlakunya perbuatan ‘menyumbat gol sendiri’ atau ‘cah keting’ di kalangan ahli UMNO di negeri ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kekalahan UMNO atau Barisan Nasional (BN) di Kelantan, bukan disebabkan parti pembangkang iaitu PAS yang kuat, tapi UMNO sendiri yang memberikan kekuatan kepada mereka.
Katanya, sikap segelintir ahli UMNO yang dikatakan mempunyai agenda peribadi menyebabkan berlakunya kejadian menyumbat gol sendiri itu yang akhirnya memudaratkan keadaan parti keramat ini pada masa depan.
“Saya akui setiap pihak ada masalah, namun kita akan cuba menyelesaikannya dengan memperincikannya di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belimbing, di sini, semalam.
Hadir sama Ketua UMNO bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abd Aziz. Pada majlis itu, Ahmad Zahid mengumumkan UMNO bahagian Tanah Merah menjadi anak angkatnya selain meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 bagi membolehkan dewan SMK Belimbing dibekalkan dengan kemudahan pendingin hawa.
Seramai 3,000 ahli serta perwakilan menghadiri majlis itu.
Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO supaya jangan membiarkan hanya Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekerja keras, sedangkan ada yang mengamalkan sikap ‘cah keting’.
Katanya, pilihan raya umum akan datang dijangka luar biasa kerana kebangkitan semangat pembangkang kini semakin kuat berikutan kejayaan membentuk ‘simpanan tetap’ di lima negeri yang dimenanginya sebelum ini.
“Pembangkang sudah menganggap kekuatan UMNO sudah terhakis disebabkan kekalahan di lima negeri terbabit selain wujudnya perbuatan ‘menyumbat gol sendiri’ atau ‘cah keting’.
“Eloklah bermula sekarang, orang UMNO perlu menghentikan sebarang pergaduhan.
“Kita akui dalam pembangkang juga berlaku pergaduhan, namun mereka bergaduh dalam bilik tidur, sedangkan orang UMNO, bergaduh di depan rumah tempat orang lalu lalang, ini harus dihentikan,” katanya.
Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, transformasi pembangunan yang dilakukan UMNO Tanah Merah sejak kebelakangan ini membuahkan hasil, apabila semua masyarakat jajahan itu tanpa mengira kaum menikmati pelbagai kemudahan prasarana termasuk projek pembangunan insan.
Katanya, antara kejayaan cemerlang transformasi itu ialah dalam sektor pendidikan apabila Parlimen Tanah Merah menjadi antara jajahan yang mencatat peratusan tertinggi kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di negeri ini.
“Sejak saya mengambil alih jawatan Ketua UMNO bahagian ini (Tanah Merah), banyak usaha sudah dilakukan melalui pelbagai transformasi, bertujuan membantu rakyat miskin di samping meraih semula sokongan rakyat terhadap UMNO.
“Kejayaan cemerlang ialah dalam sektor pendidikan apabila Parlimen Tanah Merah mencatat peratusan kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh dan MRSM antara tertinggi di Kelantan dan ini adalah rekod 10 tahun berturut-turut,” katanya.
No comments:
Post a Comment