Monday, October 24, 2011

10 Agenda Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah.



"Bahawa kami, pada hari ini, 24 Zulkaedah 1432H bersamaan 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (Himpun), bersepakat mengambil ketetapan untuk;

Pertama: Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.

Kedua: Kerajaan yang memerintah baik di peringkat Pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi dalam Islam dan Perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi dalam negara ini dihormati. Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina dan mencabar kedudukan Islam hendaklah berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.

Ketiga: Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah memastikan supaya undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.

Keempat: Menuntut supaya kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kelima: Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan akidah. Kami mengesa Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Keenam: Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.

Ketujuh: Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk menganggu-gugat kesucian Islam.

Kelapan: Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya ibu bapa mengambil tanggungjawab yang tegas dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan akidah.

Kesembilan: Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media sama ada cetak, elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut undang-undang yang ada.

Kesepuluh: Menyeru umat Islam yang hadir dalam perhimpunan ini mahupun yang tidak dapat hadir, melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama bersatu menyonsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]