Analisis: Arah tuju pengundi bukan Melayu Oleh Ziauddin Sharuddin dan Magendran Rajagopal Pendirian masyarakat India, Cina jauh berbeza apabila memilih calon SUKAR untuk meramalkan kecenderungan pengundi Cina setiap kali pilihan raya umum, kerana pendirian mereka boleh berubah, termasuk pada saat akhir jika timbul isu misalnya yang boleh menggugat ekonomi atau kesejahteraan perniagaan mereka. Bagi masyarakat India pula, calon MIC kebanyakannya terpaksa bergantung harap kepada pengundi Melayu untuk menang tetapi pada pilihan raya umum kali ini dengan berbaki dua hari, MIC perlu bekerja lebih keras untuk meyakinkan bukan saja orang Melayu, malah di kalangan pengundi India sendiri setelah beberapa insiden berlaku sebelum ini. Namun, sejarah membuktikan pendirian masyarakat India dan Cina jauh berbeza apabila memilih calon pilihan masing-masing. Misalnya, pengundi Cina beberapa kali membuat kejutan dengan menjadikan MCA dan Gerakan sebagai mangsa, sekali gus membuka laluan kepada pembangkang DAP. Pada pilihan raya umum 1986, DAP mendapat 24 kerusi Parlimen, berbanding 17 milik MCA dan Gerakan (lima). Pilihan raya berikutnya pada 1990, DAP dengan 20 kerusi Parlimen mengatasi MCA yang hanya memiliki 18 kerusi dan Gerakan, kekal lima. Tiga pilihan raya umum seterusnya - 1995, 1999 dan 2004, giliran MCA dan Gerakan pula menidakkan kelebihan DAP. Bagaimana pula senario kali ini? Betulkah kaum kedua terbesar itu dikatakan lebih cenderung memberi undi kepada pembangkang. Bagi pengundi Cina yang majoriti tinggal di kawasan bandar, isu yang penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff, labelkan sebagai ‘kesejahteraan perut’ seperti ekonomi, harga barang dan minyak serta keselamatan menjadi keutamaan. MCA dan Gerakan yang menjadi sandaran kaum Cina, terus berdepan cabaran hebat DAP, yang secara teori berbilang kaum, tetapi majoriti ahli dan pemimpin adalah kaum Cina. Pertarungan ketiga-tiga parti tertumpu di kawasan majoriti kaum Cina, terutama Lembah Klang dan Lembah Kinta serta Pulau Pinang. Bagaimanapun isu lebih panas dan bersifat sentimen yang dimainkan DAP untuk menyerang MCA dan Gerakan adalah tohmahan bahawa kedua-dua parti itu bukan lagi menjadi pengawal kepada masyarakat Cina, tetapi kepada Umno. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendakwa setiap satu undi kepada MCA dan Gerakan atau parti komponen BN lain, bermakna satu undi kepada Umno, sekali gus menghakis demokrasi dan hak setiap rakyat. Isu sama juga digunakan menyerang kerajaan pimpinan Gerakan di Pulau Pinang dengan menggembar-gemburkan bahawa Gerakan dan MCA hanya boneka kepada parti yang sebenar berkuasa, Umno. Malah, isu calon Ketua Menteri menjadi bahan kempen pembangkang, DAP berikutan keputusan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon bertanding kerusi Parlimen Batu Kawan pada pilihan raya kali ini. Menghadapi serangan hebat DAP, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting, mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak termakan umpan DAP kerana untuk menjadikan MCA dan masyarakat Cina kuat bukan dengan cara mengundi DAP. Katanya, jumlah kerusi yang lebih sedikit bermakna suara MCA menjadi lemah dan merugikan masyarakat Cina dalam kerajaan BN. Persoalan sekarang, bolehkah diterima bahawa pengundi Cina lebih cenderung kepada pembangkang pada hari pengundian. Adakah DAP mampu mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Bintang dan Seputeh di Lembah Klang; Ipoh Timur dan Ipoh Barat di Lembah Kinta serta Tanjong dan Bukit Gelugor di Pulau Pinang, serta merampas kawasan milik MCA dan Gerakan. Jangan lupa di Pulau Pinang, DAP berdepan jalan sukar untuk menguasai Pulau Pinang. Lihatlah keanehan dalam pilihan raya lalu. Parlimen Tanjong dimenangi calon DAP, tetapi kedua-dua DUN dalam Parlimen itu, Padang Kota dan Pengkalan Kota diwakili Gerakan dan MCA. Bukan rahsia bahawa pengundi Cina memilih BN di DUN demi memastikan Ketua Menteri tetap daripada kaum itu, manakala DAP dihantar membangkang di Kuala Lumpur (Dewan Rakyat). Jika senario ini berterusan, DAP mungkin menang sorak, tetapi ayam sabung rebah di gelanggang. Mengambil pandangan pakar sejarah yang juga penganalisis masyarakat Cina, Prof Emeritus Khoo Kay Kim, bahawa setakat ini tidak pasti ke manakah undi itu pergi. “Memang benar bahawa cakap-cakap orang sekarang ialah pengundi Cina menyokong pembangkang, tetapi adakah kita pasti bahawa cakap-cakap itu diterjemahkan kepada undi. Sesetengah orang hanya bercakap tetapi apabila mengundi, keadaan berbeza,” katanya. Di sebalik kenyataan berapi pemimpin DAP sepanjang kempen pilihan raya, masyarakat Cina adalah pragmatik dan amat mementingkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Mampukah DAP memenuhi harapan itu? Sementara itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Pilihan Raya Umum 2008 menjadi penentu hala tuju politik MIC, terutama bagi Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu, yang menerajui parti tunggal mewakili kaum India dalam BN sejak 1979 dan menganggotai Kabinet sejak 20 Oktober tahun yang sama. Gelombang kemarahan `segelintir’ masyarakat India mendakwa mereka tersisih daripada arus perdana pembangunan negara yang ditampilkan menerusi demonstrasi jalanan 25 November lalu dan 16 Januari tahun ini sedikit sebanyak mencemarkan imej MIC dan tempiasnya sudah tentu terkena pada BN yang diharap tidak diterjemahkan dalam bentuk undi Sabtu ini. Meskipun Samy Vellu mengakui peratusan undi kaum India untuk calon MIC mungkin merosot, beliau tetap yakin parti itu dapat mengulangi kemenangan 100 peratus di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, tidak ada yang membuat penilaian kesan kemerosotan undi kaum India ini terhadap calon parti komponen BN lain yang sebelum ini hanya bimbangkan pecahan undi Melayu serta Cina dan yakin sokongan padu pengundi India akan memberi kelebihan kepada calon BN. Memang diakui undi masyarakat India tidak membentuk majoriti di mana-mana kawasan Parlimen atau DUN di negara ini. Namun undi mereka yang selama ini boleh dikatakan 99 peratus memihak kepada BN menjadi faktor penentu di kebanyakan kawasan. Secara keseluruhan, 62 daripada 219 kerusi Parlimen dan 135 daripada 505 kerusi DUN mempunyai lebih 10 peratus pengundi berketurunan India yang berdaftar pada pilihan raya umum 2004 tetapi MIC memastikan kemenangan 100 peratus semua kerusi yang ditandinginya sejak pilihan raya umum 1982. Kawasan majoriti Melayu turut menjadi masalah kepada BN, khususnya MIC, kerana liputan meluas mengenai tuntutan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mungkin menimbulkan kerisauan masyarakat Melayu sehingga mendorong mereka untuk tidak memilih calon berketurunan India, tidak kira parti mana diwakili. Ada yang mendakwa 80 peratus pengundi India tidak akan menyokong BN pada pilihan raya umum kali ini dan ada pula mendakwa MIC masih ada sokongan 50 peratus pengundi kaum India. Namun tidak seperti pengundi Melayu yang boleh memilih Pas atau pengundi Cina yang boleh memangkah DAP, pengundi India tidak ada parti pembangkang untuk mewakili mereka. MIC juga bernasib baik kali ini kerana pemimpin Hindraf sendiri mengakui sebahagian besar penyokong perjuangan mereka lewat mendaftar dan tidak layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Jika ditakdirkan MIC lolos rintangan kali ini, Samy Vellu, yang akan berusia genap 72 tahun pada hari mengundi, wajar bersyukur kerana tidak mengakhiri sejarah 29 tahun selaku Presiden MIC dan Menteri Kabinet dalam keadaan begitu mengaibkan sehingga dicemuh, dicerca serta dihina masyarakat sendiri. |
Wednesday, February 29, 2012
Analisis: Arah tuju pengundi bukan Melayu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment