Tak perlu berbai’ah kepada pemimpin manusia biasa - Tun M
22/02/2012 3:31pm
SHAH ALAM 22 Feb. - Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, seseorang Muslim tidak perlu berbai’ah kepada pemimpin yang hanya merupakan orang biasa.
"Bai’ah bermakna kita ”swear loyalty” (sumpah taat setia) kepada pemimpin yang manusia biasa dan boleh buat benda yang salah... bahkan kita dapati banyak pemimpin Pas yang buat salah daripada segi agama,” katanya.
Katanya, seseorang Muslim hanya perlu tunduk kepada Allah SWT dan mengiktiraf Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah.
Dr. Mahathir mengulas laporan akhbar hari ini bahawa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, setiap calon Pas yang bertanding dalam pilihan raya diwajibkan berbai’ah, satu bentuk pengakuan yang lebih besar dan berat daripada bersumpah dan sesiapa yang melanggarnya “akan celaka dunia dan akhirat”.
"Tidak ada perlu bai’ah kepada sesiapa... bukan pun Nabi, jadi nak bai’ah buat apa?” kata Dr. Mahathir pada sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana “Transformasi Minda Penyelidik Muda” anjuran Persatuan Pascasiswazah Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata, Pas cuba mengongkong pemikiran para penyokongnya dengan tidak membenarkan mereka menerima pendapat-pendapat yang berlainan daripada parti itu kerana itu mereka mengamalkan bai’ah di dalam parti itu.
Mengenai kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak akan menyaman The Wall Street Journal, Dr. Mahathir berkata Anwar memang menyokong Israel.
"Jadi Nik Aziz (Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) nak cuba pertahan dia kononnya soalnya kenapa kerajaan Malaysia benarkan kapal Israel masuk pelabuhan?
"Ya, itu adalah satu amalan antarabangsa. Kita kalau nak ada sekatan kita mungkin melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.
Dr Mahathir berkata Malaysia tidak boleh menyokong Israel sama sekali kerana negara itu ditubuhkan daripada tanah yang dirampas daripada hak orang lain dan ini bukan satu perkara yang betul. - BERNAMA
ISU BAI'AH.
Isu bai’ah telah didedahkan dengan meluas sejak hujung minggu lalu. Ia menjadi hangat apabila ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dari parti Pas mengakui wujudnya bai’ah talak tiga kepada mereka yang melanggari sumpah taat setia itu dan kemudiannya mengakui kesilapan beliau mengesahkan kewujudan amalan songsang itu tetapi enggan menarik balik kenyataan.
PANDANGAN ULAMA MENGENAI BAI'AH.
Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya berkata, bai'ah boleh menjadi haram dan berdosa sekiranya terma yang terkandung di dalamnya melanggar hukum Islam dan lebih menjurus kepada kepentingan parti atau pemimpin.
Menurutnya, tidak salah bagi mana-mana individu untuk berbai'ah selagi sumpah taat setia dinyatakan itu tidak terkeluar daripada syariat dan peraturan Islam.
"Misalnya, satu ketika dulu, Pas perkenalkan amalan bai'ah menceraikan isteri dengan talak tiga sebagai tanda kesetiaan kepada parti. Perkara seperti ini yang harus diperincikan oleh Pas.
"Jika bai'ah yang baru ini mengandungi unsur-unsur tersasar dari syariat Islam maka ia satu dosa dan haram,"
Bekas Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya, Tan Sri Abd. Kadir Talib berkata, mana-mana individu bebas mengamalkan bai'ah selagi pelaksanaannya mengikut syariat dan hukum syarak.
Namun, katanya, jika kandungan bai'ah tersebut bertentangan dengan Islam maka amalan itu wajib dijauhi.
''Bai'ah ini sesuatu yang baik dan dituntut oleh Islam, oleh itu, jika amalannya bertentangan dengan syariat Islam maka ia salah mengikut agama," katanya.
Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Syeikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata, bai'ah lebih menjurus kepada pengakuan sumpah setia kepada pemimpin untuk melakukan perbuatan yang mengikut lunas-lunas Islam.
''Bai'ah ini sebenarnya hanya perkara sunat dan digalakkan melakukannya jika ia menjadikan seseorang itu lebih baik dan tidak melanggar hukum syarak," kata beliau.
Ujar beliau, hasrat Pas mewajibkan calon parti itu melakukan bai'ah sebelum pilihan raya sememangnya baik namun pada masa sama, parti itu harus memastikan pelaksanaannya mengikut hukum syarak Islam.
Pendakwah bebas, Md. Daud Che Ngah berkata, tidak salah mana-mana parti atau individu untuk berbai'ah tetapi ia wajib dilaksana mengikut keperluan Islam.
"Bai'ah ini kata-kata ikrar taat setia berlandaskan prinsip agama tetapi sukar untuk memberi jaminan yakni jika ia gagal dipatuhi maka boleh menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat,'' katanya.
"Bai'ah ini kata-kata ikrar taat setia berlandaskan prinsip agama tetapi sukar untuk memberi jaminan yakni jika ia gagal dipatuhi maka boleh menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat,'' katanya.
No comments:
Post a Comment