Dr. Mahathir berkata UMNO perlu ditegur dari semasa ke semasa. Sebagai parti yang besar, benar ia memang patut ditegur. Landasan yang bengkuk harus diluruskan.
Apakah ahli-ahlinya, khusus para pemimpin parti itu masih berpegang kepada falsafah asal penubuhannya? Siapa sebenarnya orang UMNO sekarang?
Ikhlaskah perjuangan ahli-ahli dan para pemimpin UMNO ini?
Mengapa masih kedengaran pergeseran di sana
dan sini mahu merebut menjadi calon Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli
Parlimen (MP)?
Apa hebat sangat mahu menjadi calon? Besarkah gaji
seorang ADUN dan MP? Mengapa ada yang sudah
berjawatan CEO dengan gaji berganda-ganda besar
daripada elaun MP atau ADUN, pun sanggup juga
melobi untuk menjadi calon?
Dalam usaha kerajaan mahu mewujudkan rakyat berpendapatan tinggi, tinggi sangatkah gaji seorang ADUN dan MP yang mahu direbut itu?
Saya kurang faham mengapa masih berlaku perebutan. Orang itu tikam belakang orang ini dan orang itu. Cantas sana, cantas sini. Malah yang sudah menjadi calon sejak muda sehingga
kini umur mencecah 70 tahun pun masih berangan-
angan mahu
menjadi calon?
Hebat sangatkah mahu menjadi calon?
Ingatlah UMNO ialah parti keramat orang
Melayu. Perjuangannya ikhlas. Pejuang
-pejuangnya dulu juga ikhlas. Ramai
pejuangnya yang berada di merata cerok
kampung dan desa akhirnya mati dalam
kemiskinan.
Namun mereka puas. Puas kerana dapat melihat anak cucu mereka sekarang masih boleh hidup dengan aman dan makmur, walaupun tidak sekaya bangsa lain.
Kita masih mempunyai kuasa politik. Kuasa itulah yang satu-satunya yang kita ada. Pertahankanlah. Tanpa kuasa itu, orang Melayu akan hancur. Dengan penguasaan ekonomi pun lemah, ke mana kita hendak pergi?
Tapi sedarkah orang UMNO sekarang? Berpijak di bumikah orang UMNO? Merendah dirikah orang UMNO?
Ada yang berkata ramai orang UMNO kini terlalu extravagant. Bahasa Melayu bermaksud terlalu mewah. Mewah yang kadang-kala lain macam. Benarkah, kata-kata popular mengatakan orang UMNO ini kaya-raya belaka?
Kalau nak kaya masuk UMNO? Bagi saya itu subjektif. Dalam PKR, Pas dan DAP di negeri-negeri kuasaan mereka juga sedang merebut-rebut projek. Malah, lahapnya lebih dahsyat lagi.
Tapi jika mewah sekali pun perlukah ditunjuk-tunjuk? Jika ada kereta yang mahal-mahal tidak perlu tunjuk-tunjuk. Janganlah masing-masing berlumba membeli kereta mengikut trend.
Ada sahabat bergurau, pakaian perwakilan kaya yang datang ke persidangan, jika dikira dari kepala sehingga ke kaki boleh mencecah nilai puluhan ribu ringgit. Kain samping songket sutera tenunan benang emas boleh mencecah ribuan ringgit. Itu tidak kira cincin batu zamrud, jam tangan hinggalah ke kasutnya.
Orang dulu hanya memakai kain samping UMNO. Kain samping UMNO pada masa itu sudah menjadi jenama yang dikenali.
Kini, mungkin kerana peredaran zaman, kain samping pun sudah berubah. Ia sudah menjadi barangan mewah. Ahli yang miskin pakai yang murah, yang kaya pakai yang mahal.
Jika DAP mengekalkan baju dan seluar putihnya, begitu juga Gerakan - yang masing-masing mengikut pakaian PAP Singapura, mengapa UMNO tidak boleh mengekalkan identitinya semula?
UMNO perlu kekal pada sifat asalnya. Kembalilah kepada fitrah semangat perjuangannya. Biar merendah diri dan kerja keraslah demi rakyat. Tunjukkan keikhlasan yang ikhlas, bukan yang dibuat-buat.
No comments:
Post a Comment