Monday, July 23, 2012

APA KATA MEREKA.....?????


Mempertahan Islam, umat Melayu dan Institusi Raja sesuatu yang wajar

Antara perkara yang dikemukakan oleh Dato Hasan Ali dan Ustaz Nasaruddin Mat. Isa dalam kenyataan akhbarnya ialah mereka komited untuk memperjuangkan Islam, umat Melayu dan institusi Raja. Dalam apa sudut pun ianya adalah sesuatu yang wajar.
Dato Hasan dan Ustaz Nasaruddin adalah tokoh yang sudah mencapai kedudukan tertinggi dalam kepimpinan PAS iaitu Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Sekarang ini mereka masih lagi menjadi Ahli Jawatankuasa Tertinggi PAS. Tentu ada sebab mengapa mereka membuat kenyataan ini yang patut dikaji oleh Presiden Parti dan Setiausaha Agung.
Sepanjang sejarah perjuangan PAS pada hemat penulis, perjuangan mempertahan Islam, Umat Melayu dan Institusi Raja sentiasa menjadi dukungan perjuangan PAS. Sejak zaman Abu Bakar Bakir, Zulkifli Muhammad dan Burhanuddin Helmi lagi perkara ini menjadi perkara utama yang diperjuangkan.
Tentu ada sebab mengapa Dato Hasan Ali dan Ustaz Nasaruddin membuat penegasan semula perkara ini. Bukan saja mereka berdua, ramai lagi orang-orang PAS dan yang simpati dengan perjuangan PAS resah dengan perubahan halatuju perjuangan PAS daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan. Lebih malang lagi Hj.Hadi memberitahu dalam Muktamar bahawa Negara Islam tidak ada dalam al Quran. Mengapa Hj.Hadi jadi begitu. Apakah ada faktor-faktor lain yang menyebabkan ianya terjadi?
Dato Hasan Ali dan Ustaz Nasaruddin mempunyai latar professional dan ilmuan yang memang dihormati. Mereka mempunyai sudut pandangan yang kritis dan iltizamnya pada Islam adalah tinggi. Pengalamannya dalam perjuangan parti sukar dinafikan.
DatoHasan Ali menjadi exco Pakatan Rakyat di Selangor mengurus portfolio agama. Kesukaran yang dihadapinya untuk melaksanakan sesuatu yang sesuai dengan peraturan dan undang-undang yang sedia ada untuk menjaga maruah Islam semacam dihalang oleh kerajaan yang ada dan tidak diberi perhatian oleh kepimpinan PAS Pusat. Apakah ini antara punca kekecewaannya?
Hal yang sama terjadi kepada Ustaz Nasaruddin dalam pemilihan yang lalu. Lazimnya Majlis Syura Tertinggi akan memberi pertimbangan tentang kedudukannya sebagai Timbalan Presiden kerana latar agama dan professional yang ada padanya. Pandangan syura selalunya yang terbaik untuk diperakukan oleh para muktamirin yang membuat pilihan. Pernahkah terjadi Timbalan Presiden terdiri dari orang yang tidakberlatarbelakangkan agama?
Sekiranya berlaku sesuatu kepada Presiden, apakah PAS akan diterajui oleh pengganti yang tidak mempunyai pengetahuan agama yang mendalam. Dan cara Ustaz Nasaruddin dijatuhkan dan menemukannya dengan Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat sesuatu yang tidak bijaksana yang sepatutnya syura boleh berusaha mengelakkannya.Apakah ada tangan-tangan lain yang berperanan menemukan kedua-kedua ulama’ supaya undi mereka pecah dan menyebabkan yang bukan ulama menang.
Ketidakupayaan Dato’ Hasan mengatasi masalah kemungkaran yang sedang berkembang subur sekarang tentu ada kesan kepada perjuangan politik Islam. Peristiwa di DUMC pada 3 Ogos yang melibatkan agen pemurtadan diberi perhatian serius oleh Dato’ Hasan dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Aqidah dan ianya tidak disetujui oleh PAS dan Anwar Ibrahim apalagi DAP.
Penglibatan Dato Hasan dalam HIMPUN memang tidak direstui PAS. Kalau begitu apa maksud Pakatan Rakyat kalau hal-hal agama Islam tidak menjadi sesuatu yang utama. Ke mana sebenarnya perjuangan PAS untuk memertabatkan Islam. Kalau dengan sebuah negeri seperti Selangor, mengatasi kemungkaran dianggap sebagai “social policing” oleh pemimpin DAP dan tidak disokongoleh orang seperti Khalid Samad, Shaari Sungip danramai lagi apa ertiperjuangan PAS kalau Pakatan Rakyat memenangi Malaysia dengan PAS menjadi salah satu komponen pentingnya?
Itu belum lagi diteliti tokoh-tokoh PAS yang cenderung kepada negara Republik yang berperanan di Selangor sekarang. Perjuangan mereka dengan Suara al Islam di United Kingdom dulu masih kuat dipegang.Begitu juga tokoh-tokoh yang “baiah”nya dengan Ikhwan Al Muslimin mempunyai cita-cita yang serupa.
Mengamati perkembangan ini penulis percaya Dato Hasan dan Ustaz Nasaruddin menyedari bahawa PAS sedang berada di suatupersimpangan yang kuat dipengaruhi oleh kelompok “Erdogen” yang ingin mengubah halatuju perjuangan PAS dan sedang ditentukan nasibnya oleh kelompok liberal dan pluralis dalam Parti Keadilan dan sosialis Demokratik Malaysian Malaysia dalam DAP.
Langkah Dato Hasan dan Ustaz Nasaruddin dan yang lain-lain akan bersama dengannya harus menjadi pembuka mata kepada semua yang cintakan Islam dan kekuatan Umat Melayu serta institusi Raja bahawa pupusnya kuasa politik Umat Melayu bakal membawa kepupusan Islam, Melayu dan Institusi Raja. Pelanduk selalu lupakan jerat tetapi jerat tidak pernah lupakan pelanduk.
Nukilan Kolumnis,
Sang Murabbi

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]