KERAJAAN Pusat atau Negeri haruslah berusaha memisahkan sesuatu tindakan yang berbau politik kepartian yang dilaksanakan untuk rakyatnya. Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) baru-baru ini rasanya telah melakukan satu tindakan yang bercampur aduk dengan sentimen politik kepartian, ketika menahan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel kerana membantah dasar pihak kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang telah menjalankan kempen politik untuk memansuhkan skim pinjaman PTPTN sekiranya berjaya menawan Putrajaya, dan Unisel adalah Universiti Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.

Hari ini nampaknya Kerajaan Negeri Selangor juga  akan mengambil tindakan yang hampir serupa apabila seorang anggota Exco Kerajaan Selangor mengeluarkan pandangannya bahawa Kerajaan Selangor mungkin boleh membantu pelajar UiTM yang digantung pengajiannya selama tiga semester iaitu pelajarnya yang bernama Khalid Ismath, yang telah mengambil bahagian dalam satu aktiviti yang dikatakan melanggar undang-undang sedangkan tindakan pelajar tersebut pada pandangan kerajaan PR adalah sesuai dengan dasar  Kerajaan PR yang  mendokong aktiviti itu.

Bagaimanapun KPT telah membetulkan tindakannya iaitu bersetuju meneruskan pinjaman PTPTN kepada para pelajar Unisel dan tindakan ini saya rasa wajar kerana para pelajar itu adalah rakyat negara ini yang seharusnya diberikan layanan yang sama dengan para pelajar lain.

Oleh itu saya rasa amat tidak wajar Kerajaan Selangor atas nama Kerajaan juga mengambil tindakan untuk membela pelajar yang berkenaan, dan memberikan bantuan atas nama kerajaan kepada pelajar yang diambil tindakan disiplin oleh institusi tempat pengajiannya atas dasar yang termaklum sedangkan Kerajaan Selangor merasakan wajar membantunya kerana pelajar ini seolah-olah telah bertindak mengikut matlamat yang sama dengan tindakan yang didokong PR.

Saya pernah menulis dalam blog ini bahawa rakyat yang matang dan sedar akan kedudukannya sebagai rakyat, seharusnya tahu membezakan di antara dasar parti politik dan peranan kerajaan. Kerajaan menjalankan dasarnya yang adil kepada semua rakyat tanpa diskriminasi. Parti politik sememangnya akan bertindak untuk ahli-ahlinya sendiri, termasuk membela yang bersalah, yang tidak berdisiplin dan sebagainya.

Kalau seorang pelajar yang didapati bersalah oleh sebuah IPT kerana melanggar disiplin, maka tidak seharusnya sebuah kerajaan akan membelanya atas nama kerajaan tetapi mungkin boleh membelanya atas nama parti politik.

Inilah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kedah tempoh hari yang mengambil tindakan ke atas para pelajar IPT Kerajaan Kedah iaitu Kolej Universiti Insaniah kerana para pelajar itu telah melanggar disiplin, malah MB bertegas mempertahankan disiplin dan peraturan IPT  tersebut, bukan dasar parti pemerintah kerajaan Negeri.

Tindakan yang bercampur aduk seperti yang saya sebutkan di atas itulah yang nampaknya menjadi budaya pemikiran kita di negara ini sehinggakan seorang rakyat yang didapati bersalah oleh undang-undang negara, maka kita atas nama parti politik akan bermati-matian mengatakan dia tidak bersalah, pada hal yang melakukan kesalahan mengikut undang-undang tetaplah bersalah, walau sebesar mana sekali pun pangkat dan kedudukannya kerana ia diadili atas nama peribadinya sebagai rakyat negara ini.

Oleh itu kita haruslah segera sedar akan keadaan yang sebenar dan menimbang sesuatu tindakan kita itu secara rasional dan objektif, bukan dengan pandangan yang sempit, taksub dan radikal.

Saya rasa tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Pusat dengan pemberian wang Bantuan Rakyat 1M kepada rakyat dan pelajar merupakan satu tindakan Perdana Menteri yang tidak mengira ideologi politik penerimanya. Demikian juga bantuan lain kepada sekolah, tempat ibadah dan sebagainya, semuanya dilakukan tanpa mengira keturunan kaum dan agama, iaitu satu tindakan untuk rakyat semua. Namun begitu hal ini pun sering dipolitikkan oleh ramai pihak yang hanya memandang segala-galanya melalui kaca mata politik partisan, yang seharusnya tidak timbul sama sekali dalam masyarakat demokrasi berbilang kaum dan agama ini.

Oleh itu dalam kuat kuasa undang-undang dan peraturan IPT umpamanya, kita haruslah rasional dalam tindakan kita, bezakan diantara politik kepartian dan kedudukan seseorang itu dari segi undang-undang negara dan peraturan yang tertentu. Mahkamah mempunyai banyak peringkat, boleh rayu dan bawa ke peringkat penghakiman yang lebih tinggi, sekiranya bersalah juga pada akhirnya, maka bersalahlah, jangan pula menuduh sistem kehakiman begitu dan begini mengikut selera dan kehendak kita.

Bacalah juga entri saya tidak lama dulu dalam blog ini tentang amaran Rasulullah SAW bahawa baginda akan mengambil tindakan ke atas sesiapa saja yang bersalah dan menghukumnya, walau pun yang melakukan kesalahan itu ialah puteeri baginda sendiri!

Kita sering berbicara tentang agama dan ajarannya, tetapi kadang-kadang kita tidak memahami falsafahnya yang adil dan saksama. Kita lebih mementingkan politik fanatik dan berat sebelah, pendek akal budi.


* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim