Thursday, August 9, 2012

KAWASAN CAMPURAN JADI TARUHAN!


KAWASAN CAMPURAN JADI TARUHAN

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusoff memberitahu BERNAMA dan RTM, di Wisma Radio, Angkasapuri, semalam, Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) dijangka saingan lebih mencabar. Mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, buat kenyataan 3 hari lepas, sekarang adalah masa yang sesuai diadakan PRU13, dengan kelebihan berada di pihak Barisan Nasional (BN).

Telahan tarikh PRU13, semakin menepati ramalan, sebagaimana disebutkan ramai di sekitar bulan Jun ini. Tarikh pilihan raya umum, yang biasanya mengejutkan, sejak beberapa siri PRU, adalah sesuatu yang amat menarik tentang amalan demokrasi ala Malaysia, yang lebih berfokus kepada bagaimana nak kekal kerusi, yang kadang-kadang mengotorkan nilai-nilai murni demoktasi itu sendiri.

Walau apa pun, PRU13 sudah dijangkakan banyak pihak amat berlainan dengan 12 PRU yang lalu. Manifestasi dari gelagat pengundi dalam PRU12, serta kutipan hasil dari 18 siri pilihan raya kecil serta pilihan raya DUN Sarawak, setahun yang lalu, menunggu PRU13, seperti menanti mimpi buruk bagi setengah orang dan kabar gembira bagi setengah pihak lain. Satu perubahan sikap yang radikal hasil tuntutan realiti politik semasa, beberapa andaian dan ramalan terdedah untuk diketengahkan kepada khalayak pengundi.

Yang paling menarik untuk diperhatikan ialah corak pengundian di kawasan campuran, kerana trend pengundi di Malaysia, pengalaman PRU12 dan 16 siri pilihan raya kecil, berbeza mengikut ras atau kaum. Tsunami atau perubahan besar PRU12 ialah perubahan sokongan masyarakat India, di mana sebelum ini, mereka adalah hardcore penyokong BN. Antara 60 hingga 65 peratus pengundi India mengundi calon-calon pembangkang utama: PKR, DAP dan Pas, yang mengadakan persefahaman pilihan raya, untuk satu lawan satu dengan BN. Di samping sedikit ayungan undi Cina dan Melayu dari BN ke pakatan pembangkang, khususnya di Semenanjung.

Di Semenanjung, terdapat 46 kawasan pilihan raya (constituency) Parlimen yang boleh dianggap sebagai kawasan campuran: 27 kawasan dengan pengundi Melayu 50 hingga 59 peratus dan 19 kawasan, pengundi Melayu 40 hingga 49 peratus. Dengan lain perkataan , kawasan yang tidak didominasi oleh satu kaum tertentu. Dari 27 kawasan kelompok, pengundi Melayu 50-59 peratus, BN menang 16, pakatan pembangkang: 11. Sementara, kawasan pengundi Melayu 40-49 peratus, BN dapat 8, pembangkang 11. Dari 46 kawasan Parlimen campuran: BN menang 24 dan pembangkang 22 kerusi.

Dengan keseluruhan analisis gelagat pengundian dalam pilihan raya kecil selepas PRU12, di mana 80 peratus pengundi Cina tidak memihak BN, walaupun peratusan pengundi India sudah naik dari 35 peratus kepada 50 peratus dan pengundi Melayu meningkat ke 60 peratus, dengan andaian kadar yang sama berlalu di seluruh negara, BN akan hilang semua 24 kerusi berkenaan.

Sementara 30 kawasan Parlimen, pengundi bukan Melayu menguasai lebih 60 peratus pengundi, dalam PRU12, DAP menang 24, PKR 1 dan BN 5. BN juga akan hilang semua 5 kerusi berkenaan iaitu Kampar, Labis, Keluang, Gelang Patah, dan Kulai. Kampar merupakan kawasan pengundi Melayu paling rendah (26.87%) yang dimenangi BN, sementara yang lain adalah lebih 30 peratus pengundi Melayu: Keluang (37.8%), Gelang Patah (33.55%), Kulai (31.54%) dan Labis (36.62%), semuanya di Johor. Mengetepikan kes ganjil di Kampar, bolehlah disimpulkan, undi BN bergantung kepada undi Melayu. Kampar, satu masa dulu, satu kawasan tradisi pembangkang, yang pernah menghantar Mendiang Fan Yew Teng ke Parlimen, seorang MP DAP yang lantang dan kritis.


Berbalik ke kawasan campuran di mana peratus pengundi Melayu, di antara 50 hingga 59 peratus, BN menang di 16 kawasan menerusi: UMNO 11, MCA 4, Gerakan 1. BN tewas di 11 kawasan yang ditandingan oleh UMNO 6, MCA 3, MIC 2. Perubahan mood pengundi India, menggagalkan MIC mengekalkan Hulu Selangor dan Kapar. 


Dari 16 kerusi dimenangi BN, 12 adalah dari negeri-negeri selatan: Jempol (57.8% pengundi Melayu), Alor Gajah (57.81), Bukit Katil (53.16), Sekijang (54.96), Ledang (52.92), Ayer Hitam (56.39), Batu Pahat (52.78), Simpang Renggam (54.51), Sembrong (54.09), Johor Bahru (51.03), Pulau (50.08), dan Tanjong Piau (50.16). Di samping Bagan Datoh (56.97), Tanjong Malim (51.23), Sepang (58.70), dan Setiawangsa (56.45). 


11 kerusi tradisi BN hilang kepada PKR di 10 kawasan: Sungai Petani, Padang Serai, Kuantan, Hulu Selangor, Ampang, Kapar, Kuala Langat, Wangsa Maju, Lembah Pantai dan Bandar Tun Razak,  dan 1 kawasan kepada Pas: Hulu Langat.


Bagi kawasan pengundi Melayu di antara 40 hingga 49 peratus, BN menang di 8 dari 19 kawasan, melalui MCA di 5 kawasan: Lumut (48.77 peratus pengundi Melayu), Raub (49.12), Bentong (43.06), Pandan (49.34), dan Tebrau (49.34), dan 3 MIC: Tapah (47.27), Cameron Highlands (43.12) dan Segamat (41.25).


BN gagal pertahan kerusi yang dimenanginya dalam PRU10 (1999) dan PRU11 (2004) di 11 kawasan campuran dalam kelompok yang sama, bila calon-calon MCA, MIC dan Gerakan, gagal meraih undi bukan Melayu, kecuali di Nibong Tebal yang ditandingi calon UMNO. PKR menang 7: Nibong Tebal (45.2% pengundi Melayu), Gopeng (42.53), Selayang (44.79), Kelana Jaya (41.88), Subang (49.96), Batu (44.27) dan Teluk Kemang (40.60), DAP menang 3: Puchong (43.58), Seremban (41.82) dan Bakri (43.40), sementara Pas menang 1 kerusi minoriti Melayu: Kota Raja (47.73% pengundi Melayu). 


Dianalisis berdasarkan angka di atas, senario dalam tempoh 4 tahun selepas PRU12, di kalangan pengundi Melayu: 60 peratus menyokong BN, penngundi, Cina pula 80 peratus condong ke parti-parti dalam Pakatan Rakyat, pengundi India, sudah mengubah sokongan dari 35 peratus ke 50 peratus kepada BN, BN akan hilang semua kerusi yang dimenanginya di kawasan pengundi Melayu kurang dari 60 peratus. 


Andaian Pakatan Rakyat dapat kekalkan semua 80 kerusi yang dimenanginya di Semenanjung tambah 24 kerusi campuran dan 5 kerusi dari kawasan majoriti bukan Melayu, menjadikan Pakatan Rakyat akan menang 109 kerusi Parlimen di Semenanjung. Dari corak pengundian dalam Pilihan Raya DUN Sarawak tahun lepas, jika tak berubah, DAP mengatasi BN jika dijumlahkan undi kerusi negeri dalam setiap kawasan Parlimen, di 7 kerusi Parlimen. Tambahan kepada 1 kerusi Parlimen DAP di Sabah, menjadikan 109 + 7 +1, berjumlah 117. Sudah cukup gabungan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan, dengan simple majoriti.


Secara tidak langsung, kewujudan lebih banyak kawasan pilihanraya campuran, tidak lagi menjadi faktor dominant membolehkan BN memanggil PRU13 dengan bergaya dan selesa. Faktor Johor, faktor Sabah dan Sarawak, faktor simpanan tetap, faktor kubu tradisi, dijangka tidak relevan untuk PRU13.  Dari 12 PRU lepas, Parlimen dibubarkan bila pihak kerajaan dalam nafas yang lega serta mempunyai keyakinan yang cukup tinggi. Mungkin, berdasarkan dilema inilah Pengerusi SPR yang sepatutnya berkecuali tidak mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan pihak parti pemerintah akan berdepan dengan PRU yang paling sengit dalam sejarah.



No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]