BENARKAH KEBEBASAN MUTLAK ITU WUJUD?
APAKAH batas atau had kebebasan? Ini adalah persoalan yang sukar dijawab oleh sesiapa juga. Jika seorang anak menuntut kebebasan, sejauh mana kebebasan yang boleh diberikan oleh ibu bapa yang bertanggungjawab kepada anak mereka. Begitu juga, jika rakyat di sesebuah negara menuntut kebebasan, sejauh mana kerajaan yang bertanggungjawab dan dipilih secara demokrasi boleh memberi kebebasan kepada rakyat mereka. Sama ada suka atau tidak, kebebasan mesti ada had dan batasannya. Sebagai anak atau rakyat, walaupun mereka diberi kebebasan, mereka tidak puas dan tetap mempersoalkan had atau kebebasan yang diberikan kepada mereka.
Jika tidak, tidak mungkin perumpamaan ‘bagi betis, mahu paha’ wujud dalam budaya masyarakat. Mereka tidak akan puas hati kerana bagi mereka had kebebasan adalah setinggi langit. Mereka boleh melakukan apa saja atas nama kebebasan. Inilah yang sebenarnya berlaku dalam dunia hari ini yang menuntut erti kebebasan. Mereka bukan saja diberi kebebasan tetapi mereka mahukan kebebasan yang liberal, kebebasan tanpa batas. Jika ada lagu yang yang menceritakan perasaan seseorang ‘rindu serindu-rindunya’ kepada seseorang yang lain, begitu jugalah bagi mereka yang menuntut kebebasan politik.
Mereka menuntut hakbebas sebebas-bebasnya’ untuk memenuhi cita-cita atau nafsu politik mereka. Dari segi definisi, secara amnya, kebebasan menekankan kehendak seseorang bertindak tanpa sekatan atau larangan. Sekali pun mereka sudah mendapat kebebasan pada satu tahap tertentu, mereka akan menuntut ruang yang lebih luas berasaskan hak kebebasan yang liberal. Sudahlah bebas, mereka mahu kebebasan yang lebih longgar.
Maknanya, mereka boleh berbuat apa saja, malah sanggup melanggar batasan undang-undang. Mereka mahukan kebebasan yang maksimum. Inilah yang diajar oleh Barat. Kebebasan tidak lagi dianggap sebagai kemerdekaan daripada penjajahan tetapi, di dalam sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, ada golongan rakyat yang mahukan kebebasan mutlak. Kebebasan mutlak juga amat sukar ditakrifkan definisinya kerana ada yang mahukan kebebasan semutlak-mutlaknya.
Kebebasan wajib mempunyai sekatan moral. Tidak ada individu yang boleh melakukan apa saja atas nama kebebasan. Sesebuah negara tidak boleh membenarkan rakyatnya melakukan apa saja sesuka hati kerana dalam mana-mana sistem sekali pun, mereka perlu sedar bahawa pandangan rakyat tidak sekata. Kedua-dua pihak juga menuntut kebebasan.
Jika BERSIH 3.0 mengatakan mereka bertindak atas nama kebebasan, BERSIH 4.0 juga boleh mengatakan mereka bertindak atas nama kebebasan. Jika Penganjur BERSIH 3.0, Datuk S Ambiga menganjurkan perhimpunan rakyat untuk sesuatu tujuan, Penganjur BERSIH 4.0 yang juga Pengerusi Majlis Bertindak Peniaga-Peniaga dan Penduduk Warga Kota (MBPPWK), Datuk Jamal Md Yunus juga mempunyai hak kebebasan untuk melakukan apa saja, termasuk berhimpun di depan rumah Ambiga atas nama kebebasan. Ini adalah contoh kecil bahawa jika kita mahukan kebebasan, orang lain juga mahukan kebebasan. Ada orang yang mahukan kebebasan bersuara atau melakukan sesuatu, namun ada juga pihak yang mahukan kebebasan supaya ketenteraman mereka tidak diganggu-gugat.
Ada yang berpandangan bahawa tanpa kebebasan, akan membentuk sebuah masyarakat yang mundur dan tidak terurus. Tetapi, persoalannya pula apakah hasilnya sebuah masyarakat yang diberi kebebasan sebebas-bebasnya. Perbuatan atau sikap itu, mungkin mewujudkan sebuah masyarakat yang pincang, tidak ada haluan dan merosakkan dari segala sudut. Jika soal agama juga cuba ditafsirkan kepada kebebasan, ia akan menghasilkan sebuah masyarakat yang kalut-sekalut-kalutnya.
No comments:
Post a Comment