Fahami Maksud, Mampu Elak 'Liat' Solat Tarawih
ADA masanya kita amat malas sekali mahu mengerjakan solat tarawih di surau atau masjid berdekatan.
Alasan yang sering diberikan apabila diajak oleh ibu bapa atau rakan-rakan untuk tidak bersama-sama mereka mengerjakan solat sunat ini ialah sibuk atau ada urusan lain yang perlu dibuat.
Namun, tidak kurang juga yang tidak bertarawih kerana menganggap solat ini meletihkan.
Persepsi solat tarawih, ibadat yang sangat dituntut oleh Allah pada bulan Ramadan bahawa ia meletihkan sehingga dianggap beban oleh sebahagian di kalangan kita sebenarnya tidak patut timbul.
Ini kerana, tanggapan itu sendiri amat bertentangan dengan perkataan "Tarawih" (bahasa Arab) yang bermaksud 'istirehat'.
Felo Kanan Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Farid Mohd Shahran berkata kaedah terbaik mengelakkan rasa 'liat' menunaikan solat tarawih ialah dengan memahami konsep dan maksudnya.
Dengan memahaminya, segala persepsi tentang tarawih yang sering berlegar-legar dalam minda selama ini juga akan dapat dihapuskan.
Katanya, lebih baik seseorang itu mempunyai sedikit ilmu dan pengetahuan tentang ibadat sunat ini supaya solat yang dilakukan dapat dihayati sepenuhnya, seterusnya dapat merebut ganjaran yang dijanjikan Allah.
Hukum tarawih dalam Islam ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang-orang Islam lelaki dan perempuan.
"Kita kena faham bahawa solat tarawih ialah aktiviti yang merehatkan, kerana tarawih itu sendiri bermaksud 'rehat'. Tujuan solat ini untuk kita berehat-rehat dan bersenang-senang.
"Kalau sentiasa fikir tentang pergerakan fizikal memang nampak penat walaupun pergerakan dalam solat tidaklah seteruk mana.
"Tetapi kalau dari segi rohani, solat yang dilakukan dengan khusyuk dan penuh penghayatan akan membuat jiwa kita tenang selain mendapat ganjaran pahala berlipat kali ganda," katanya ketika ditemuramah mStar Online.
Mohd Farid berkata ketenangan jiwa dan hati yang suci akan terbit secara langsung jika tarawih dilakukan dengan ikhlas, tidak kira sama ada ia dilakukan bersendirian di rumah atau secara berjemaah.
Mengerjakan tarawih untuk menunjuk-nunjuk atau menjadikannya sebagai 'trend' pada bulan Ramadan adalah satu tindakan kurang bijaksana dan merugikan.
Justeru katanya, sama ada menjadi imam, makmum atau solat sendirian di rumah, tarawih wajar dilakukan dengan tenang, penuh penghayatan dan bukan dalam keadaan tergesa-gesa.
Beliau menambah, solat di masjid atau surau yang mengikut imam bagaimanapun membuka peluang untuk jemaah menghayati bacaan ayat-ayat al Quran yang dibaca oleh imam.
Lapan Rakaat Bukan Masalah, 20 Rakaat Lebih Baik
Mohd Farid berkata masyarakat Islam juga tidak seharusnya khuatir tentang bilangan rakaat yang perlu dilakukan apabila menunaikan tarawih.
Katanya, umat Islam diberi pilihan sama ada mahu mengerjakannya sebanyak lapan rakaat atau 20 rakaat.
"Lebih afdal (baik) buatlah 20 rakaat, tetapi daripada meninggalkannya terus...lebih baik solat lapan rakaat," katanya.
Bersesuaian dengan maksud tarawih, beliau menjelaskan ia juga tidak semestinya dihabiskan sekali gus dalam satu masa.
"Boleh juga solat lapan rakaat di masjid dan sambung apabila sampai di rumah. Mungkin tidur atau buat kerja lain dulu dan kemudian solat semula.
"Ada sesetengah orang mereka rasa lebih khusyuk solat di rumah. Itu juga tidak jadi masalah. Yang penting jangan sampai tak buat langsung kerana menyangka solat ini memenatkan, membebankan dan akhirnya membuatkan seseorang itu terus hilang peluang untuk mendapat ganjaran Allah," katanya.
Bagaimanapun katanya, tarawih haruslah dilakukan hanya selepas seseorang itu menunaikan solat fardhu Isyak.
Tidak Wajib Dan Tak Membebankan
Mengimbas kembali sejarah dan asal-usul solat tarawih, amalan ini dimulakan oleh Nabi Muhammad yang menunaikan solat ini secara sendirian pada malam bulan Ramadan.
Mohd Farid berkata, baginda Rasulullah s.a.w melakukan amalan ini bagi menyemarakkan semangat pada malam-malam bulan Ramadan dan sebagai ibadat untuk lebih menginsafi diri.
"Lama-kelamaan amalan baginda diikut oleh para sahabat...semakin lama semakin ramai tetapi pada masa itu masing-masing melakukannya secara sendirian," jelasnya.
Sehinggalah malam keempat, baginda Nabi Muhammad tidak lagi solat tarawih di masjid semata-mata baginda bimbang amalannya dianggap amalan wajib.
Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku melihat sambutan daripada kamu. Aku tidak hadir pada malam itu hanya kerana takut solat itu diwajibkan ke atas kamu.”
"Baginda risau tarawih dianggap wajib tapi baginda masih melakukannya di rumah," Mohd Farid menjelaskan tentang sejarah ringkas solat tarawih.
Sahabat baginda Umar al-Khattab telah mengamalkan solat tarawih 20 rakaat dan memulakan solat ini secara berjemaah dengan melantik seorang lagi sahabat Ubai bin Ka'ab sebagai imam.
Banyak Kelebihan
Terdapat banyak hadis yang menggalakkan umat Islam untuk meningkatkan amal ibadat pada bulan Ramadan.
Mohd Farid berkata memandangkan solat adalah ibadat paling utama dan cara paling baik untuk mendapatkan pahala, tarawih terus diamalkan sehingga ke hari ini.
Beliau menjelaskan, solat sunat ini yang panjang berbanding solat sunat biasa dan dilakukan pada waktu malam akan menyegarkan kembali hati dan jiwa mereka yang mengerjakannya.
Dari segi kesihatan, tarawih akan menjadikan kita lebih sihat kerana ia melibatkan pergerakan tertentu dan diselang-selikan dengan rehat.
"Yang pasti, amalan ini akan memberikan pahala yang banyak selain dapat menyucikan diri dan menguatkan iman seseorang," katanya.
Dari segi sosial, tarawih mampu membawa lebih ramai jemaah ke masjid atau surau.
"Mereka akan berkenalan antara satu sama lain dan berjemaah di masjid juga dapat mengeratkan lagi ikatan sesama Islam yang terjalin," katanya.
No comments:
Post a Comment