Thursday, August 9, 2012

PRU 13 : MENUNGGU BN YAKIN MENANG DUA PER TIGA .

DALAM pilihan raya di negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap kerajaan mengidam mendapat kemenangan majoriti dua pertiga untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh. Kukuh bermakna mendapat sokongan padu rakyat bagi memudahkan kerajaan membuat keputusan dan menentukan dasar. 

Ia juga mengelakkan berlakunya pertukaran kerajaan akibat beli-membeli atau lompat melompat parti di kalangan wakil rakyat jika sesebuah kerajaan hanya mendapat kemenangan tipis. Keadaan ini akan menyebabkan kerajaan tidak stabil dan kucar-kacir. Pelabur tidak akan datang kerana kuasa membuat keputusan sering bertukar tangan. 

Di Malaysia, daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti, Barisan Nasional (BN) memerlukan 148 daripada 222 kerusi Parlimen untuk membolehkannya mendapat kemenangan majoriti dua pertiga. Pada masa ini kerajaan BN menghadapi banyak halangan dalam menentukan hala tuju negara kerana memperoleh kemenangan majoriti mudah dalam PRU-12 lalu, menyebabkan setiap keputusan, peraturan dan rang undang-undang yang memerlukan keputusan Parlimen sering terganggu dan ditentang pembangkang. 

Dalam sistem demokrasi, pembangkang tidak akan bersetuju dengan apa juga keputusan kerajaan. Jika keadaan ini berterusan, ia membantutkan pembangunan rakyat dan negara. Ada juga pendapat mengatakan kemenangan mutlak sesebuah parti akan menyebabkan parti yang memerintah menjadi terlalu bebas membuat keputusan. Ini berlaku kerana dikatakan tidak ada elemen ‘check and balance’ terhadap kerajaan, khasnya dari segi kepentingan kaum. Pandangan ini disuarakan oleh mereka yang pro-pembangkang atas alasan politik. 

Sebenarnya, keadaan ini tidak akan berlaku dalam kerajaan yang menggunakan pendekatan kongsi kuasa. Dalam BN sendiri ada 13 parti komponen diwakili pelbagai kaum dan kepentingan, termasuk rakyat Sabah dan Sarawak. ‘Check and balance’ sudah wujud dalam BN sejak Perikatan dan diteruskan dalam BN. Sistem BN lebih praktikal berbanding pakatan pembangkang yang diwakili tiga parti yang jelas berbeza ideologi. PAS tidak boleh hidup sebumbung dengan DAP manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah pertubuhan politik yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas. 

Bagi PRU-13 ini, BN mengharapkan kemenangan majoriti dua pertiga dengan mendapat sokongan daripada semua kaum termasuk Cina dan India. Atas keyakinan BN mampu kembali kepada kekuatan asalnya, BN mungkin memerlukan sedikit masa untuk menguatkan kedudukannya sebelum memanggil PRU-13. Atas kertas, BN boleh menang dengan majoriti dua pertiga walaupun mendapat saingan sengit akibat perubahan suasana politik dan kemajuan teknologi komunikasi hari ini. BN terpaksa bekerja kuat untuk mendapatkan semula undi kaum Cina bagi membolehkannya merampas semula beberapa kerusi yang tewas pada PRU-12 lalu. Jika yakin kaum Cina kembali kepada BN sama ada menerusi MCA, Gerakan atau siapa juga calon BN dalam pilihan raya, pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa saja. 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]