Di kalangan pemuka kanan PR, Anwar adalah yang paling berpengalaman dalam pemerintahan hasil 16 tahun menjadi putera mahkota Umno dan anak didik (Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Tetapi Anwar bukanlah seorang yang “detail” atau menyeluruh kepakarannya. Kepandaian beliau adalah berpidato dan menggunakan orang lain bagi membuat kerja atau menjadi “fall guys” kalau berlaku kepincangan.
Walaupun beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pengetahuannya dalam bidang ekonomi tidaklah mengagumkan.
Sekalipun beliau kini menguar-uarkan dasar popular seperti pengurangan cukai, kereta murah dan pendidikan percuma, dasar beliau ketika krisis kewangan 1997/98 berlainan sekali.
Beliau mirip melaksanakan penyelesaian ala Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), yang antara lain menaikkan cukai, mengurangkan perbelanjaan awam dan mengimbangi belanjawan. Beliau sangat akrab dengan Pengarah Urusan IMF ketika itu, Michel Camdessus, dan meyakini penyelesaian ikat perut IMF.
Adalah sukar memahami bagaimana Anwar boleh mencapai belanjawan seimbang yang dijanjikan jikalau pada masa yang sama beliau berikrar mengurangkan cukai pemotoran dan memberikan kemudahan asas seperti air dan elektrik secara percuma kepada pengguna?
Sebagai ahli politik arus perdana, acuan Anwar adalah acuan Umno. Sampai hari ini pun beliau masih mempamerkan perwatakan Umno. Yang berbeza hanyalah lambang, cogan kata dan mantera.
Kalau boleh saya sebut contoh mudah dan semasa (current) sebagai pranonton atau trailer kepada apa yang mungkin berlaku sekiranya PR menubuhkan kerajaan dan Anwar menjadi Perdana Menteri adalah kisah beliau dan pemuka PR menggunakan jet persendirian (private jet) yang khabarnya dipinjamkan oleh seorang “kawan” untuk menjelajah Sarawak/Sabah baru-baru ini.
Selera dan gaya Anwar adalah selera orang kaya baru yang diajarkan kepada beliau oleh “corruptors” yang mengelilingi beliau ketika beliau di puncak kuasa. Para “corruptors” ini masih ada. Malah bilangan mereka mungkin bertambah kerana yakin Anwar akan menang pada PRU nanti.
Namun begitu, kita kena akui bahawa bukan Anwar seorang saja yang berkuasa dan yang menentukan hala tuju PR. Tidak kurang berpengaruh dan berkuasa adalah watak-watak seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh, Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi Awang. Wallahualam.
No comments:
Post a Comment