Hampir setiap hari apabila kita menyelak surat khabar, pasti ada saja program memakmurkan rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Razak. Sampai ramai berasa hairan, bila pula hari yang tiada durian runtuh? Dan, kenapa kerajaan wjudkan program demi program untuk setiap genap lapisan rakyat?
Kepada yang tidak faham, cubalah kenang kembali peristiwa Perang Tabuk, yang berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631 M).
Perang ini berlaku kerana empayar kuffar Rom berada dalam keadaan yang sangat bongkak. Mereka berasakan apabila sudah kuat dan besar, mereka mahu merempuh semua kerajaan dengan peperangan dan darah. Kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w. pun turut mahu dijadikan mangsa selepas mendapat tahu Daulah Islamiyah itu sedang tersebar ke seluruh Tanah Arab.
Untuk menyekat keangkuhan Rom itu, Rasulullah menyusun strategi yang tidak terfikir oleh sesiapa pun. Strategi pertama ialah menggerakkan semangat infak, kedua memobilisasi tentera ke Tabuk dan ketiga, menjalin hubungan harmoni dengan rakyat di seluruh daerah tersebut.
Strategi ketiga itu sangat menarik. Rasulullah sebenarnya tidak berhasrat sama sekali untuk bertempur dengan kerajaan Rom kerana mahu meneruskan kehidupan yang harmoni dan tenteram. Bagaimanapun, apabila kerajaan Rom sudah mula menggerakkan tentera mereka, maka kaum Muslimin perlu bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja kemungkinan.
Untuk itu, sebaik angkatan tentera Islam sampai di Tabuk, Rasulullah telah mengadakan perjanjian perdamaian dengan penduduk di sekitar. Rasulullah memberi jaminan keamanan kepada penduduk Tabuk, selagi mereka tidak menyebelahi musuh Islam atau memerangi dan berbuat jahat terhadap Islam.
Huluran tangan Rasulullah itu disambut oleh seorang penguasa Ilah (sebuah kawasan berdekatan Tabuk) bernama Yuhana bin Ru’bah. Beliau sanggup membayar jizyah. Kesanggupan menerima keselamatan dan bersedia membayar jizyah juga diterima baik oleh penduduk Jarba dan Azruh.
Rasulullah turut menghantar surat tawaran tersebut kepada setiap kawasan di sekitar Tabuk. Tujuannya adalah untuk menguatkan benteng perpaduan dan pertahanan Islam, menyampaikan dakwah Islamiyah serta menyekat pergerakan musuh supaya tidak menggunakan sempadan Syam sebagai pangkalan perang.
Akhirnya semua kabilah Arab di Tabuk menerima tawaran Rasullullah dengan tangan terbuka. Kekuatan tentera Islam di Tabuk dengan sendirinya menjadi begitu kuat dan mantap. Hasilnya, Rasulullah berjaya menyekat kemaraan tentera Rom yang di pimpin oleh Hercules. Mereka tidak jadi menyerang Tabuk dan Islam meraih kemenangan tanpa pertumpahan darah.
Kembali kepada topik asal, sebenarnya kebijaksanaan strategi itulah – YANG TIDAK KITA SEDARI – sedang diaplikasikan oleh Perdana Menteri. Bagimanapun, ia dalam bentuk yang berbeza, iaitu program demi program bagi merapatkan ikatan dengan semua lapisan masyarakat.
Sebagai contoh, pada 19 Julai lalu Perdana Menteri mengumumkan program khas Haji 1Malaysia, yang memperuntukkan insentif kepada 14,254 imam dan 138,746 orang ahli jawatankuasa masjid di seluruh negara. Insentif itu adalah dalam bentuk sumbangan kain dan jubah sempena aidilfitri dan kuota 400 orang imam serta Pngerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menunaikan ibadah haji. Jumlah ini jauh lebih besar berbanding 111 orang pada tahun lalu.
Sehari sebelum itu, Perdana Menteri melancarkan Skim Persaraan Swasta bagi memberi peluang kepada golongan pekerja swasta dan bekerja sendiri membuat simpanan persaraan secara sukarela mulai September ini.
Pada 15 Julai, diumumkan dana berjumlah RM100 juta bagi penubuhan Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) bagi golongan belia. Program itu dijalankan di bawah platform 1Malaysia For Youth (1M4U).
Seharai sebelumnya, Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KR1M) dilancarkan oleh Perdana Menteri bagi meringankan beban rakyat yang dihimpit peningkatan kos sara hidup.
Jangan dilupa, sebelum itu pada penghujung Jun lalu Perdana Menteri telah pun mengumumkan tiga insentif untuk meringankan beban kira-kira 100,000 pemandu teksi di seluruh negara (Teksi Rakyat 1Malaysia – TR1Ma). Intensif tersebut ialah baucar tukar tayar berjumlah RM520 setahun, perlindungan insurans dan rebat lupus teksi lama.
Durian runtuh itu menyusul selepas imbuhan yang diperolehi oleh para peneroka Felda, pada Mei lalu. Durian runtuh itu berupa agihan wang tunai berjumlah RM15,000 bagi setiap keluarga peneroka dan saham dalam Felda Global Ventures Sdn Bhd. Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM1.689 bilion yang akan diagih kepada 112,635 keluarga peneroka.
Jangan lupa juga, mulai penghujung 2011, kerajaan telah menyalurkan bantuan persekolahan RM100, baucar buku RM200 untuk pelajar Tingkatan 6 dan pelajar Institusi Penganjian Tinggi dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada semua rakyat yang berjkelayakan, tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.
Program BR1M sahaja melibatkan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion dan memberi manfaat kepada 5.2 juta isi rumah, iaitu kira-kira 80 peratus daripada jumlah isi rumah di Malaysia.
Ini semua tidak termasuk program-program lain di bawah jenama 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan banyak lagi. Kakitangan awam tidak pernah dilupa dengan pelarasan gaji (7 hingga 13 peratus), begitu juga dengan para pesara di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM).
Program transformasi ini dilakukan untuk pembangunan jangka panjang dan jangka panjang. Ringkasnya, transformasi ekonomi, politik dan sosial yang digerakkan oleh Perdana Menteri telah dijalankan dengan penuh iltizam. Ia meliputi semua golongan masyarakat.
Seperti yang kita tahu, PRU-13 kini semakin hampir. Parti pembangkang bagaikan sedang `meroyan.’ Mereka begitu giat menjalankan provokasi, propaganda, fitnah dan muslihat untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh UMNO (Baca: Melayu dan Islam). Ia merupakan satu ancaman yang sangat jelek dan perlu disekat.
Untuk itu, BN dan UMNO mesti memenangi PRU-13. Jadi, apa yang perlu dibuat? Perdana Menteri telah menjalankan tugasnya. Usaha ini sepatutnya disertai pula dengan semangat infak oleh seluruh jentera BN dan rakyat yang cintakan Islam dan keharmonian.
Bagi menghadapi Perang Tabuk, para sahabat memberikan infak yang sangat menakjubkan. Saiyidina Uthman Affan misalnya telah menyediakan 300 ekor unta dan wang 1000 dinar. Kalau dinilai dengan harga sekarang, kesemua infak itu berjumlah lebih daripada RM2juta.
Saiidina Abu Bakar menyerahkan semua hartanya bernilai 4000 dirham. Hinggakan Abu bakar berkata, yang tinggal untuk dirinya dan keluarga hanyalah Allah dan Rasul sahaja. Umar memberikan separuh harta manakala Abd Rahman bin Auf menyediakan separuh harta sebanyak 2000 dirham.
Sahabat yang tidak berkemampuan seperti Abu Uqail pula menyediakan setengah gantang kurma. Abu Khaithamah mempunyai 2 gantang kurma, iaitu separuh untuk keluarga dan separuh disediakan untuk perang.
Sementara itu, Abdullah Al-Mughaffal, Ulbah bin Zaid dan sahabat-sahabat lain menangis kerana tidak dapat memberi infak dan tidak dapat pula menyertai tentera Islam ke medan tempur kerana tiada harta dan kenderaan. Begitulah tingginya semangat infak dalam diri mereka demi menegakkan agama dan kebenaran.
Apabila semangat perjuangan yang penuh keikhlasan sudah ditunjukkan, semangat keperwiraan mula membara dan disertai pula dengan strategi perang yang penuh hikmah, maka Allah menurunkan pertolongan-Nya.
Bantuan itu datang dalam bentuk tentera Malaikat. Dikatakan semasa angkatan Rom ingin memasuki wilayah Tabuk, mereka telah dihambat oleh Malaikat (dianggarkan sebanyak 100,000 malaikat) yang menyamar sebagai panglima tentera Islam. Mereka berpakaian serba putih, berbadan besar, sasa dan tegap disamping mempunyai sut serta alatan tempur yang lengkap seperti angkatan berkuda dan memanah.
Ini menyebabkan tentera Rom patah semangat. Mereka terpaksa berundur dan tidak jadi menyerang tentera Islam. Akhirnya tentera Islam menang besar pun dan pulang ke Madinah dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa. Tentera Islam berada di Tabuk selama 20 hari.
Semangat dan strategi Perang Tabuk inilah yang perlu kita fahami. Bergeraklah sekarang agar kerajaan Islam/Melayu yang ada kini beroleh kemenangan, dan tidak ditumbangkan oleh gerombolan lain, yang natijahnya meletakkan agama serta bangsa dalam keadaan bahaya.
ZULKARNAIN ZAKARIA
No comments:
Post a Comment