RAMAI menjangka Majlis Syura Pas yang lalu akan menyingkirkan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tetapi ia berlaku sebaliknya. Ramai juga yang menjangka Nasharudin tidak akan datang ke Mesyuarat majlis tetapi tiba-tiba muncul. Ini yang memeranjatkan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kehadiran Nasharudin adalah suatu kebijaksanaan bermakna pandai membaca senario dan politik. Pengunduran Mursyidul Am Pas dari mempengerusikan mesyuarat juga suatu kemujuran bagi mengelakkan pertentangan wujud dalam majlis syura.
Dalam Majlis Syura terdapat dua kelompok. Paling tidak dari kenyataan Datuk Dr. Haron Din, Datuk Harun Taib, Dr. Mahfuz dan beberapa lagi menyebabkan Nasharudin memberanikan diri untuk hadir.
Kata pepatah 'berani kerana benar, takut kerana salah'. Nasharudin mengambil sikap gentlemen untuk hadir.
Dari kenyataan Nik Abdul Aziz, sikap Tuan Ibrahim Tuan Man yang mula dipertikai imej ulamaknya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang susah hendak dijustifikasikan pendiriannya memperlihatkan suatu lagi kelompok yang tidak sefahaman dengan isu yang dibawa oleh Nasharudin.
Isu yang dibawa oleh Nasharudin selama ini adalah isu yang menyangkut maruah Pas dan imej ulama. Kerana dalam masa sama kelompok Anwarinas menganggap Nasharudin ialah pendukung utama ke arah negara Islam, mendesak mengkaji semula tahallluf siasi, membangkitkan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bermaharajalela dan kerajaan Perpaduan.
Keputusan Majlis Syura adalah tempelak paling hebat kepada orang seperti Anwar Ibrahim, Husam Musa, Khalid Samad, Mohammad Nizar Jamaluddin dan DAP. Mereka yang berjaya mengeluarkan Nasharudin daripada Timbalan Presiden Pas dulu mahukan Nasharudin dipecat.
Pada hemat penulis tidak mungkin tidak berlaku perbincangan mengenai isu-isu yang dibawa oleh Nasharudin. Cuma keputusan tidak diambil memecatnya. Pembacaan penulis semacam isu-isu yang dibawa oleh Nasharudin adalah sesuatu yang relevan. Kalau tidak relevan, Nasharuddin tentu dipecat.
Mana-mana Majlis Syura dalam organisasi Islam lazimnya memberi kebebasan kepada anggota syuranya bercakap without fear and favour. Isu negara Islam dan hudud adalah isu yang valid atau sah dalam konteks Pas. Isu keluar dari Pakatan adalah isu yang relevan kerana DAP sering membuat kenyataan yang keras dan menghina terhadap Pas. Anwar Ibrahim dari PKR sedang menghadapi krisis integriti yang serius dan sentiasa menggunakan pengaruh Anwarinas untuk memberikan warna baru kepada perjuangan Pas.
Dalam struktur kepimpinan Pas, Majlis Syura mempunyai status yang tinggi, Jawatankuasa Tertinggi dan Lujnah Politik duduk dibawahnya. Kalau dibenarkan Jawatankuasa Tertinggi dan Lujnah Politik membuat keputusan sudah lama Nasharudin dipecat.
Haron Din yang menggantikan Nik Aziz mempengerusikan mesyuarat telah membuat kenyataan awal yang positif terhadap Nasharudin. Maksud kenyataan Haron supaya isu-isu yang dibawa oleh Nasrudin dibincangkan secara musyawarah bukannya kenyataan yang dibuat oleh Nik Aziz, 'langgar peraturan, gugur'.
Penulis percaya puak Anwarinas tidak akan berdiam diri dan puas hati dengan apa yang berlaku. Dari satu sudut keputusan yang diambil meletakkan ulama pada landasannya semula. Dengan isu Nasharudin yang diputuskan oleh Majlis Syura menjadikan ulama mampu menggunakan pendekatan al-Quran , "Waamruhum syuraa baina hum" sebagai landasan membuat keputusan.
Dari sisi lain, kelompok Anwarinas akan menggunakan gelanggang muktamar yang dijangka berlangsung pada November ini untuk membincangkan semula isu Nasharudin ini. Jika ini berlaku sudah tentu ada dua puak yang bakal bertelagah dan ia tidak baik bagi Pas menghadapi Pilihan Raya ke-13 yang semakin dekat.
Agak payah memenangi kerusi sekiranya di akar umbi terdapat dua kelompok, yang satu memperjuangkan kewibawaan ulama dan yang satu lagi akan terus mendukung misi Anwarinas dan sekutunya untuk mencapai hasrat ke Putrajaya.
Sekiranya wibawa ulama segar semula, perjuangan Nasharudin dengan isu yang dibawanya akan jadi relevan. Tetapi jika wibawa puak Anwarinas tangkas menghadapi barisan ulama, Nasharudin dan isu yang dibawanya dilihat tidak lagi relevan.
Pertarungan ini nampaknya ada tanda-tanda untuk menjadi sengit. Ia sesuatu yang tidak boleh dielakkan berlaku kerana ia adalah menentukan nasib perjuangan kelompok.
Bagi pihak Anwarinas menganggap Nasharudin adalah duri dalam daging perjuangan mereka. Ulama yang menguasai Majlis Syura mengambil pendekatan di sebaliknya. Nasharudin adalah aset untuk mengembalikan maruah ulama pada tempatnya.
Pada hemat penulis Nasharudin tidak hanya dipertahankan kerana damage control menjelang pilihan raya yang semakin dekat. Seorang Dr. Hasan Ali yang dipecat telah memberi kesan kepada Pas dan politik Malaysia.
Bayangkan Hasan, Nasharudin dipecat sudah tentu simpati Haron akan bertambah. Apakah selepas Hasan dan Nasharudin menjadi sasaran puak Anwarinas, Haron juga dianggap penghalang cita-cita mereka. Terdapat blog yang sudah mula mengkritik Haron. Hanya masa saja yang mampu memberi jawapannya.
No comments:
Post a Comment