Wednesday, October 3, 2012

APABILA JET MENGATASI BAJET




Peristiwa beberapa orang pemimpin pembangkang menaiki jet eksekutif menjadi berita hangat. Walaupun Perdana Menteri mengumumkan bajet, tampaknya sesetengah pihak lebih mengutamakan berita jet. Saya berfikir sejenak, mengapakah jet mengatasi bajet?



Saya tiba pada kesimpulan, bahawa bagi pihak tertentu, hal ekonomi secara tidak langsung adalah lebih menarik. Pemimpin yang menaiki jet eksekutif telah melukiskan gambaran kekuatan ekonomi mereka. Jika bukan hal ekonomi, kenapakah orang ramai perlu sibuk dan heboh mendengar berita Datuk Seri Anwar Ibrahim dan teman-teman pembangkang lain menaiki jet?


Bagi orang berada, jet boleh dipinjam daripada kawan. Kawan yang kaya raya tidak akan bimbang memberi pinjaman jet, kerana dia yakin keadaan jet itu terjamin.  Syaratnya, pihak yang meminjam jet itu hendaklah sama taraf dari segi kekayaan. Rakyat murba, misalnya saya, jika hendak meminjam kereta buruk daripada kawan, kawan itu  berfikir panjang: bolehkah atau tidak?.


Inilah segi yang difikirkan oleh sejumlah orang ramai. Dalam pada itu, Azmin Ali menegur Tian Chua kerana memberikan maklumat yang berbeza tentang jet tersebut. Ini menambahkan kehangatan berita jet, dan kekal mengatasi berita bajet. Kata Tian Chua, jet eksekutif itu disewa oleh pakatan pembangkang. (Utusan Malaysia, 27 September, 2012).


Antara sewa dengan pinjam, ada beza yang besar. Istilah lain yang timbul ialah ‘taja’. Anwar yang membandingkan pinjam jet dengan pinjam baju, ada menyebutkan bahawa kenalannya sanggup menaja jet itu. 
Zuraidah Kamaruddin yang turut berada dalam jet tidak memberikan jawapan yang kukuh.

Kita boleh melupakan kisah orang naik jet dengan membuat kesimpulan begini: Kita tahu, selaku mantan Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Kewangan, Anwar pasti dikelilingi kawan-kawan yang kaya-raya. Kita tidak terfikirkan Datuk Nalakaruppan menaja jet itu kerana zaman berubah, tetapi kita tahu kawan-kawan Anwar bertukar ganti.





Selain berita jet, dalam kalangan pembangkang ada kisah Datuk Mansor Othman membuat komentar ringan tentang Lim Guan Eng. Timbalan Ketua Menteri mengkritik Ketua Menteri, satu hal biasa. Hal ini menjadi heboh seolah-olah orang ramai tidak tahu tentang sikap Lim Guan Eng.


Kritikan Mansor adalah agak objektif. Selaku Timbalan, beliau tahu lebih berbanding kita semua. Apabila berhadapan dengan Lim Guan Eng, beliau memuji ketuanya itu.


Itu biasa saja dalam politik. Rafizi Ramli ada menyatakan, bahawa berubah tempat berubahlah pandangan. Ini berada dalam lingkungan teori anjakan makna. Walaupun Mansor menafikan ada menyebutkan Guan Eng angkuh dan cocky, beliau mengakui menyebutkan ‘tokong’. Perkataan ‘tokong’ itu katanya adalah pujian kepada Lim Guan Eng. Itu ialah anjakan makna.


Berita hubungan yang mungkin tegang antara Guan Eng dan Mansor, berita pembangkang menaiki jet mewah, jika dicampur dengan berita hubungan tidak selesa antara seorang dua tokoh DAP dengan pemimpin Pas dalam hal hukum hudud, adalah faktor-faktor yang akan turut menjadi penentu keputusan pilihan raya nanti. Dalam politik, semua ini  hampir keseluruhannya hanyalah cakap-cakap yang berkaitan dengan kewibawaan.



Adalah berwibawa pemimpin yang menaiki jet. Di situ ada kehebatan, dan rakyat mungkin berasa agak gerun. Adalah berwibawa Mansor mengkritik Lim Guan Eng, walaupun kemudiannya beliau bimbang kalau-kalau Guan Eng lebih berwibawa daripadanya. Adalah berwibawa pemimpin DAP yang mencabar hudud, dan pemimpin Pas mesti menggambarkan kewibawaan mereka pula.


Tatkala sedang memandu pada suatu petang, berkumandang dari sebuah stesen radio suara Tan Sri SM Salim mendendangkan lagu Dulu lain sekarang lain.
Walaupun lagu itu secara asasnya, ‘dulu bujang, sekarang dah kahwin…’ namun ia membawa kesan dan impak lebih besar dari status perkahwinan seseorang.
Lihat sahaja diri penyanyinya, dulu juruhebah radio, sekarang dah bergelar Tan Sri. Dulu, sewaktu menjadi juruhebah Radio Malaya, SM Salim sudah menjadi penyanyi. Hari ini beliau masih juga seorang penyanyi, dan dalam sejarah Malaysia kini sudah ada ‘dulu Timbalan Perdana Menteri, kini Ketua Pembangkang’. ‘Dulu lain sekarang lain…”
Dulu masa saya mula berjinak dengan dunia penerbitan akhbar tabloid, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang lebih popular dengan sebutan Tok Guru baru menjadi Menteri Besar (MB) Kelantan.  
Kalau masa belum jadi MB beliau memakai imej Tok Guru, lepas jadi MB pun masih juga guna imej sama, kekal hingga ke hari ini. Ini berbeza dengan rakan seperjuangan beliau hari ini - Anwar Ibrahim yang menganggotai Kabinet lama sebelum Nik Aziz jadi MB. Dulu masa belum jadi menteri, penampilan Anwar cukup sederhana.  
Tahun-tahun awal jadi menteri, walaupun masih lagi duduk di tempat duduk hadapan kereta rasmi dan tak suka dipanggil ‘Datuk’ bila dah mendapat gelaran tersebut; cukuplah, menurut arahan beliau, dipanggil ‘Encik Anwar Ibrahim’ sahaja, tetapi sudah terlihat proses perubahan yang berlaku ke atas beliau. Daripada seorang yang makan nasi bungkus bersama rakan-rakan di Yayasan
Anda, Anwar sudah mula pandai menikmati Chinese food, makan pakai chop stick dan mula menyedari tentang pakaian designers’ brands.
Sebelum dan selepas jadi MB, Nik Aziz tetap tinggal di rumah papan milik beliau di Pulau Melaka, Kota Bharu.  Anwar pula berpindah ke Bukit Damansara (kini di Segambut) dan hidup bersama warga Kuala Lumpur yang bertaraf the rich and the famous. Tidaklah dapat dipastikan berapa harga banglo Anwar, tetapi hari ini nilai rumah di situ jutaan ringgit.
Kesederhanaan Nik Aziz bukan saja mengenai rumahnya, tetapi tutur kata dan cara beliau berpakaian. Tok Guru boleh saja dihubungi (oleh wartawan ketika itu) pada bila-bila masa, dengan kata lain, beliau mengetepikan protokol harian dengan meletakkan kerja sebagai ibadat.
Waktu itu juga Anwar yang kini menjadi Ketua Pembangkang memegang jawatan penting dalam kerajaan yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamed. Perbandingan mudah ialah Anwar memulakan hidup sebagai pemimpin pertubuhan belia (Abim) macam juga yang dibuat Nik Aziz sehingga berjaya menambat hati banyak pihak. Pakaiannya serba sederhana dan macam juga Tok Guru, PR Anwar adalah sangat berkesan.
Karakter Anwar dan juga penampilannya melalui proses perubahan sebaik beliau dilantik menjadi Menteri Kewangan. Anwar mula dilihat keluar dari skop kesederhanaan. Bajunya sering dipuji kerana berjenama. Dulu masa Anwar duduk di bahagian depan kereta, budak-budak Pas kata, tunggulah, masa akan buktikan dia akan berubah. Tak lama lepas tu, Anwar sudah berani duduk di belakang, biarkan pengawal peribadinya memenuhi ruang depan.
Sebab itu apabila sebuah blog kemudian dikutip oleh media arus perdana dan elektronik siar cerita Anwar bawa beberapa pemimpin pembangkang menaiki sebuah jet yang disewa khas ke Sabah pada 15 September lalu, ia bukan suatu yang menggemparkan.
Apa yang menghairankan ialah gambar Anwar memakai cermin mata hitam ala hero filem India, MGR dirakam dan kemudian disiarkan oleh orangnya juga. Persoalannya bukankah dengan menyiarkan gambar dan cerita mereka menaiki jet ke Sabah boleh menimbulkan kemarahan rakyat?
Salah satu kempen yang mempopularkan Anwar sehingga berada ke tahap sekarang ialah ia dilihat sangat sederhana. Isu bermewah-mewah dan sering utamakan projek mewah amalan kerajaan BN adalah salah satu bahan ceramahnya. Bukankah Anwar yang mendedahkan kehidupan serba mewah anak-anak mantan Perdana Menteri bagi menunjukkan kepada umum kekayaan itu berpunca daripada sokongan bapa mereka?
Hari ini apa yang dulunya haram dihalalkan kerana dia kini sebahagian daripada orang yang hidup dalam kemewahan. Anwar, dulu lain sekarang lain.


No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]