Perlembagaan wujud hubungan baik

Kesamarataan adalah antara prinsip penting sistem demokrasi. Sebagaimana demokrasi, kesamarataan bukanlah konsep yang mudah untuk difahami. Ini kerana perbahasan berkaitan demokrasi itu sendiri mengandungi pelbagai aspek yang payah untuk dianggap sebagai sejagat. Perkara ini berterusan berlaku walaupun demokrasi sehingga ke hari ini adalah ideal atau sistem yang dianggap terbaik dan diterima seluruh dunia.
Sebelum dikaitkan dengan kesamarataan, perlu disebut bahawa tujuan demokrasi seperti yang diterbitkan dalam sebuah buku Democracy; Its Principles and Achievements terbitan Inter-Parliamentary Union, 1998, Geneva, ialah untuk memelihara kehormatan dan hak asasi individu, mencapai keadilan sosial, memupuk perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan meningkat ketenteraman negara serta mencipta iklim yang menyemarakkan keamanan dunia. Kesamarataan wujud sebagai satu prinsip dalam hak asasi individu.

Demokrasi sebagai political association merujuk kepada keputusan secara kolektif dan pentadbiran secara kolektif, manakala demokrasi sebagai system of government merujuk kepada situasi persetujuan antara pelbagai pihak dalam mewujudkan kehidupan secara bersama tanpa memusnahkan antara satu sama lain. Dalam konsep ini demokrasi tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memusnahkan kelompok yang berbeza.
Peruntukan dijamin Perlembagaan

Saya membawa isu kesamarataan dan demokrasi di sini untuk berkongsi mengenai nilai peruntukan berkaitan kesamarataan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita telah menjumpai beberapa hujah yang memberikan perhatian hanya kepada sebahagian daripada peruntukan berkaitan kesamarataan dan meminggirkan beberapa prinsip yang disebut secara nyata dalam Perlembagaan. Pendekatan seperti ini melahirkan kekeliruan dan tidak dapat memberikan panduan terperinci kepada masyarakat.

Sebelum memahami konsep kesamarataan dalam konsep demokrasi, perlu disebut bahawa ada dua maksud demokrasi. Iaitu demokrasi sebagai berhubung kait politik (political association) dan sistem kerajaan (system of government). Perbezaan antara dua maksud demokrasi itu hendaklah jelas.

Demokrasi sebagai political association merujuk kepada keputusan secara kolektif dan pentadbiran secara kolektif, manakala demokrasi sebagai system of government merujuk kepada situasi persetujuan antara pelbagai pihak dalam mewujudkan kehidupan secara bersama tanpa memusnahkan antara satu sama lain. Dalam konsep ini demokrasi tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memusnahkan kelompok yang berbeza.
Kedua-dua maksud demokrasi yang disebut di atas, sekiranya berjalan dengan dan serentak secara baik, berupaya mencapai tujuan yang telah disebut di atas.

Dalam konteks negara kita, konsep demokrasi dan kesamarataan ini diterjemahkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi peruntukan berkaitan.

Kesamarataan dijamin oleh Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8(1) ini meletakkan dua prinsip utama. Pertama, semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Maksudnya di sini setiap orang berada di tempat yang sama rata dari sudut undang-undang. Kedua, semua orang berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Maksudnya undang-undang melindungi setiap orang dengan perlindungan yang sama rata.

Kedua-dua prinsip ini meletakkan panduan bahawa setiap orang hanya tertakluk kepada hanya satu undang-undang.

Diskriminasi bentuk positif

Fasal (2) seterusnya menyebut mengenai kesamarataan antara agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang, pelantikan apa-apa jawatan atau pekerjaan dan sebagainya. Bagaimanapun, Perkara 8(2) ini membolehkan diskriminasi sekiranya ia disebut secara nyata oleh Perlembagaan. Diskriminasi dalam konteks undang-undang Perlembagaan sering dirujuk sebagai diskriminasi positif (positive discrimination) atau klasifikasi positif (positive classification). Dalam kata lain, kesamarataan yang dijamin oleh Perkara 8(1) adalah tidak mutlak. Dalam beberapa keadaan, Perlembagaan membolehkan beberapa diskriminasi.

Fasal (5) menyebut beberapa perkara yang membolehkan diskriminasi positif itu. Perkara itu ialah, apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri; mengehadkan jawatan atau pekerjaan berkaitan agama; perlindungan, kesentosaan, dan perizaban kepada Orang Asli; penetapan kemastautinan bagi pemilihan ke jawatan tertentu atau pengundian dalam pemilihan dalam bidang kuasa negeri; mengehadkan pengambilan masuk hanya orang Melayu ke dalam Rejimen Askar Melayu.

Sebagai rumusan, konsep kesamarataan yang dijamin oleh Perlembagaan tidak terhenti dengan Fasal (1) dan (2) itu saja. Konsep kesamarataan yang dijamin adalah tertakluk kepada beberapa pengecualian.

Walaupun kesamarataan itu menjadi tema asas demokrasi, kita harus menerima prinsip bahawa demokrasi yang disandarkan kepada dua maksud, ideal dan juga sistem pentadbiran, mahu menzahirkan keamanan dan kesejahteraan. Dalam kata lain, apa yang dicita-citakan oleh demokrasi melalui konsep kesamarataan ialah hubungan sosial yang baik dalam kalangan masyarakat, bukan menafikan hak antara satu sama lain. Oleh itu, ‘kesamarataan’ tidak harus dibaca semata-mata sebagai ‘kesamarataan’. Terkandung di dalam ‘kesamarataan’ itu adalah ‘kesaksamaan’.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim UIAM