POLITIK KELAS MENENGAH
DALAM pilihan raya yang lalu 2008 , pengundi kelas menengah dianggap antara kelompok masyarakat yang menyumbang kepada kehadiran 'politik kelas' baru di negara ini. Ramai golongan kelas menengah di kawasan bandar khususnya terlibat dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dianggap sebagai platform untuk menyuarakan pandangan mereka dalam konteks kemasyarakatan.
Jika dibandingkan dengan kedudukan jurang antara masyarakat dalam stratifikasi penduduk, jelas sudah wujud pertumbuhan besar yang turut memperlihatkan penglibatan mereka dalam politik yang semakin meningkat. Hakikatnya, pembabitan mereka secara aktif dalam kempen dan jentera pilihan raya semakin ketara.
Jika dahulu, kumpulan ini merupakan penyokong status quo kerana bergantung kepada kedudukan ekonomi dan politik yang stabil, kini wujud sekumpulan lagi kelas menengah yang menjuarai isu universal yang dikaitkan dengan kesaksamaan, demokrasi dan ketelusan serta akauntabiliti, kesemuanya di bawah nama 'kebebasan'.
Malahan, sebilangan mereka terlibat dalam NGO yang dilabel sebagai 'kuasa ketiga' dalam menentukan hala tuju pembangunan negara yang turut melihat percambahan bilangan NGO kebelakangan ini. Kuasa ketiga ini dianggap sebagai mekanisme yang telah memberi nafas baru kepada beberapa pemimpin dan parti politik yang gagal berfungsi dengan sendirinya sebelum ini.
NGO yang mempunyai matlamat yang sama dengan parti politik sebegini menggunakan pelbagai kaedah untuk memahami sentimen pengundi agar berlaku perubahan drastik ketika itu. Mengapakah NGO mudah mendekati kelas menengah dan bukan kelas bawahan ataupun masyarakat luar bandar dan bagaimanakah kumpulan yang satu ketika dahulu tergolong dalam kategori kelas bawahan mampu melalui mobiliti atas tanpa ada sokongan sekuriti daripada pihak berwajib?
Bagaimanakah kumpulan ini berubah menjadi kumpulan 'kelas menengah' jika tidak kerana kemajuan dan dasar yang dikemukakan oleh pihak berwajib? Apakah kriteria yang membolehkan mereka dianggap sebahagian daripada kumpulan ini? Jika dahulu pemilikan kenderaan dan televisyen diguna pakai sebagai indikator kumpulan kelas pertengahan, hari ini ada yang melihat kepada latar belakang pendidikan, kebolehan dan kemahiran walaupun ada yang lain melihat kepada golongan profesional, pengurusan dan pentadbiran untuk tergolong dalam klasifikasi kelas menengah ini.
Ramai dalam kalangan mereka merupakan produk Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1970 sehingga 1990 seiring dengan masyarakat lain akibat proses pembangunan dan pemodenan dalam negara. Anjakan dalam kedudukan kelas menengah telah membawa kepada pemikiran baru sehingga ada segelintir tidak melihat kepada sejarah bagaimana boleh tergolong dalam kelompok masyarakat ini.
Jika dilihat secara menyeluruh, pihak berwajib membiayai dan menjana dana untuk sebahagian daripada mereka membolehkan mereka yang berada di bandar mahupun luar bandar untuk melanjut pelajaran ataupun diberi bantuan daripada cara yang lain.
Negara juga tidak akan dapat dibangunkan tanpa sumbangan kelas menengah dan tadbir urus kerajaan sentiasa cuba memenuhi ekspektasi kumpulan ini yang dilihat sebagai salah satu cabaran besar kepada kepentingan modenisasi negara.
Walaupun disediakan pelbagai infrastruktur dan prasarana sejajar dengan tuntutan ke arah pembentukan masyarakat yang berkualiti dan kerajaan dilihat berjaya sekurang-kurangnya mengawal kadar kemiskinan dan pengangguran, kumpulan ini muncul sebagai kumpulan pendesak yang dahagakan 'pembaharuan'; tetapi 'reformasi' yang mahu dilihat oleh mereka berubah-ubah mengikut emosi walaupun apa yang dilakukan selama ini oleh pihak berwajib tidak mengganggu gugat proses kehidupan kumpulan ini.
Adakah muncul ketidakyakinan dan kepercayaan kerana emosi politik atau pemasaran politik yang salah menyebabkan Barisan Nasional (BN) dihukum dalam pilihan raya yang lalu? Jika begitu, mengapa kumpulan kelas menengah yang menikmati kemewahan dan kekayaan negara tidak tampil untuk membetulkan keadaan dari dalam parti? Adakah sumbangan mereka tidak diiktiraf oleh kelompok tertentu dalam BN sehingga bertindak melalui NGO yang dianggotai oleh mereka untuk menyalurkan 'undi protes' terhadap BN walaupun ramai masih berterima kasih dan menunjukkan keyakinan BN akan berubah selepas mendapat mandat besar pada pilihan raya 2004.
Mahu tak mahu, kelas menengah telah muncul secara agresif berbanding pada pilihan raya 1999 yang turut memperlihatkan kehadiran mereka untuk mempertahankan isu yang dilaung-laungkan oleh beberapa NGO.
Persoalan yang timbul adalah sama ada isu yang dibawa oleh mereka mendapat tempat dalam kalangan generasi muda kerana kelas menengah masih digambarkan sebagai kumpulan yang bersifat elit sesama mereka dan cuba mendekati kumpulan bawahan dan muda yang masih belum tertarik sepenuhnya dengan kaedah mereka.
Jika kelas menengah kekal dengan sifat elitisnya, ia akan melahirkan jurang yang besar sehingga membawa kepada 'politik kelas' yang boleh memberi kesan ke atas perjalanan negara.
Ironinya, ramai generasi muda tidak mendaftar sebagai pengundi. Adakah mereka tidak yakin dengan politik kelas menengah yang selama ini menjadi 'pengundi atas pagar' dan yang boleh menjadi penentu kepada keputusan dalam pilihan raya dan hanya akan bersedia untuk aktif dalam sosialisasi politik jika kelas menengah bersifat partisan dan tidak memihak.
Pada waktu yang sama, bersediakah kelas menengah untuk tidak peduli kepada kestabilan ekonomi dan politik dan mahu melihat perubahan semata-mata untuk mencuba? Apakah kumpulan ini sudah bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang boleh memberi kesan yang cukup hebat ke atas sektor pembabitan mereka?
Perlu diakui, rentak yang dibawa oleh kelas menengah yang celik informasi dan mempunyai pelbagai sumber untuk menukar persepsi politik mereka telah memberi impak ke atas politik tanah air. Masa depan negara masih bergantung kepada pola pengundian kumpulan ini dan sekiranya kumpulan kelas menengah masih mahu meneruskan agenda untuk membawa perubahan, maka kelompok ini juga mesti bertanggungjawab ke atas masa depan negara dan ke atas keadaan yang tidak menentu yang berpanjangan untuk sekian lamanya.
Jika hanya mahu mengutamakan kepentingan agenda politik masing-masing, maka percaturan bijak harus dilakukan agar ia tidak sama sekali mengganggu masa depan generasi akan datang. Mungkin mereka perlu imbas semula kedudukan sewaktu tiga puluh tahun sebelum ini dan semasa mereka melihat negara sedang membangun yang memerlukan kestabilan dan kedudukan kemuafakatan yang utuh jika mahu negara bersaing dalam persekitaran asakan globalisasi.
Apakah sebenarnya aspirasi kumpulan kelas menengah? Adakah semata-mata mahukan perubahan atau membangkitkan rasa bantahan ke atas isu-isu tertentu yang berlaku dalam lingkaran mereka agar suara mereka dihormati dan diberi perhatian yang sewajarnya. Adakah graduan baru yang akan tergolong dalam kelompok ini diberikan sokongan sepenuhnya terutama dari segi pekerjaan dan memahami keperluan mereka agar mereka tahu peranan dan fungsi dalam konteks pilihan raya negara ini?
Kepentingan rakyat secara keseluruhan perlu diambil kira sebelum sesuatu langkah diambil oleh kelompok ini yang mempunyai kepentingan dan kemampuan untuk mempengaruhi persepsi politik tanah air hari ini. Barangkali, sudah tibakah masanya merungkai dilema politik kelas menengah?
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment