KITA melangkah ke tahun 2012 dengan dipenuhi keyakinan dalam keadaan tidak menentu selepas menyaksikan satu tahun yang penuh dengan kejutan, sandiwara, ramalan, drama, krisis dan tidak kurang keadaan di luar kawalan dan jangkaan.
Krisis ekonomi global pula diramal akan menjadi lebih buruk dan tempiasnya sudah pun dirasai di negara ini. Ada juga yang membuat spekulasi bahawa tahun 2011 dan awal serta pertengahan 2012 bakal diwarnai dengan konflik antara negara-bangsa dan ketegangan hubungan antara kaum dalam sesebuah negara akibat desakan dalaman dan luaran.
Jika tahun 2011 menyaksikan kesungguhan golongan tertentu untuk berubah; kini ia menimbulkan dilema. Adakah perubahan yang mahu dibawa menjanjikan keamanan dan keharmonian?
Sejauh mana perkembangan semasa mempengaruhi keadaan setempat sehingga masyarakat dapat hidup selesa menerusi perubahan yang tidak menjanjikan kestabilan dalam waktu kita berhadapan dengan keadaan duniawi yang tidak menentu.
Adakah masyarakat sudah matang dalam memikirkan perubahan untuk bersepadu, hidup harmoni dan tidak dibelenggu oleh sentimen etnosentrik, prejudis dan stereotaip sesama anggota masyarakat?
Wajarkah menggunakan ruang kebebasan untuk mengkritik agama tanpa menyedari sensitiviti pengikutnya?
Hakikatnya, kelonggaran yang wujud menyebabkan ada segelintir individu yang mengambil kesempatan untuk terus berpolitik dan mempolitikkan apa sahaja isu untuk kepentingan diri dan bukan keseluruhan anggota masyarakat. Ia boleh mempengaruhi dan menjejaskan demografi kependudukan negara ini jika tidak ditangani dengan segera. Malahan ianya juga membina persepsi negatif rakyat kepada kerajaan.
Dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia, siapakah yang bertanggungjawab ke atas soal penghayatan perpaduan dan keharmonian dan apakah pendekatan yang secara rasional boleh diterima pakai membelakangi nilai emosional.
Mengapa sejak kebelakangan ini, ramai mula memberi tumpuan ke atas isu ini walhal Malaysia sering dijadikan sebagai negara contoh oleh dunia global. Apakah darjah toleransi dan penerimaan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik sudah jauh merosot atau ia dianggap sebagai isyarat pemulihan supaya tidak mengganggu perjalanan kehidupan harian kita.
Isyarat ini perlu diambil serius kerana pencapaian negara selama ini bergantung kepada kematangan pemimpin dan rakyat menangani apa sahaja isu di belakang tabir dengan rasional berasaskan kepada pengalaman yang pernah dilalui dan didikan generasi lepas.
Sedar atau tidak, nilai pengorbanan dan kompromi telah mendasari proses kemuafakatan anggota masyarakat negara ini sebagaimana yang telah ditinggalkan oleh para pejuang kemerdekaan yang mahu generasi berikutnya kekal dengan nilai kemasyarakatan yang tinggi disulami dengan unsur toleransi, hormat-menghormati dan saling faham-memahami antara satu sama lain.
Gusar
Ketinggian sifat ini jelas dalam Kontrak Sosial yang membawa kepada kemerdekaan dan jika perlakuan yang wujud dalam kontrak sosial diiktiraf dan dihormati, ahli masyarakat tidak perlu gusar mengenai perpaduan di negara ini.
Ini merupakan nilai yang memerlukan kejujuran dalam kalangan ahli masyarakat dan melalui amalan nilai tersebut, tanah air kita berjaya mengisi kemerdekaan atau kebebasan dengan proses pemodenan, pembangunan dan industrialisasi yang sekali gus membawa manfaat kepada rakyat.
Segalanya berkemungkinan di negara ini kerana warisan kepimpinan mahu memastikan bahawa kesejahteraan rakyat terpelihara dan para pemimpin sedar ia hanya dapat dilakukan dalam persekitaran yang kondusif, bebas daripada konflik dan ancaman terutamanya hubungan antara kaum. Keharmonian, perpaduan dan kesediaan untuk hidup rukun memacu kecemerlangan pencapaian negara selama ini.
Tanggungjawab ke atas perpaduan termeterai dalam Perlembagaan yang memperincikan butiran ketinggian perilaku dan tanggungjawab pemimpin lalu yang wajar dihalusi kerana dokumen ini sebenarnya memberi petunjuk kepada kesemua ahli masyarakat tanpa mengira batasan agama,
keturunan, kepercayaan dan gender bagaimana pejuang kemerdekaan sedar polemik yang boleh berlaku dalam jangka panjang di negara ini.
Pemahaman ke atas Perlembagaan boleh membawa keinsafan mengapa kita harus bersama dalam berhadapan dengan krisis lain sebagai warga Malaysia dan bukan bertelagah sesama kita kerana garis ideologi politik.
Perpaduan merupakan tanggungjawab bersama. Rakyat termasuk kesemua lapisan masyarakat terutamanya generasi muda perlu akur bahawa apa yang mereka nikmati hari ini adalah pengorbanan dan kompromi nenek-moyang mereka.
Nilai budi yang tinggi bermula dari rumah. Ibu bapa mesti menanam sifat nasionalisme dan patriotisme yang tinggi agar kesemua ahli masyarakat boleh berhadapan dengan krisis global bersama.
Polemik politik juga wajar dihentikan sebagaimana yang disarankan oleh Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah. Keharmonian mesti diperkukuhkan. Itu adalah tanggungjawab pemimpin dan parti politik supaya pemimpin tidak disalahkan sebagai punca pertembungan sesama ahli masyarakat. Permusuhan politik boleh menjejaskan nilai ikatan keharmonian masyarakat negara ini.
Pada waktu yang sama, media dan agensi kerajaan juga boleh memainkan peranan mereka agar menjadi penyalur utama kepada proses memartabatkan kedudukan bangsa. Penghayatan ke atas nilai perpaduan dan kewarganegaraan boleh dilakukan bersama kerana itu adalah tanggungjawab kita.
Kerajaan mungkin perlu menubuhkan satu jabatan khas menangani isu sensitif yang bertindak sebagai badan pemantauan, pemulihan dan pengurusan hubungan antara kaum agar isu ini tidak menjadi propaganda politik atau disensasikan sehingga menjejaskan proses pengukuhan hubungan antara kaum di negara ini.
Pejuang kebebasan, kemerdekaan dan barisan kepimpinan awal dari pelbagai lapisan kaum tidak berkorban dan berkompromi untuk kepentingan diri tetapi mereka melakukannya untuk membolehkan kita menikmati kehidupan yang selesa, aman dan sejahtera.
Adalah menjadi tanggungjawab kita membelakangkan perbezaan dan melihat persamaan berpaksikan nilai kemanusiaan kerana sentiasa ada ancaman luaran yang cemburu dengan kejayaan kepimpinan mengurus hubungan antara kaum di negara ini.
Ia akan menjadi lebih buruk jika lahir musuh dalam selimut yang mahu melihat perpaduan di negara ini berkecai. Kekuatan sebenar tanah air ini adalah pada kepelbagaian dan jadikan ia sebagai pedoman 2013 untuk terus hidup rukun, sejahtera dan makmur demi masa depan generasi akan datang.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment