Saturday, October 13, 2012

BELAJAR MENGHORMATI PARLIMEN....


Pelihara institusi demokrasi berparlimen

SEWAKTU merasmikan pameran "Demokrasi Berparlimen Tonggak Pemerintahan Negara" di bangunan Parlimen pada 2007, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, "status Parlimen kekal penting kepada tadbir urus negara". Perlembagaan Persekutuan Bahagian 4 Fasal 44 menyatakan, kuasa undang-undang Persekutuan Tanah Melayu terserah kepada Parlimen yang merangkumi Yang di-Pertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.


Tahun ini merupakan tahun bersejarah bagi amalan demokrasi berparlimen Malaysia. Ini kerana genap 50 tahun amalan tersebut dipertahan dan diberi pengiktirafan sewajarnya. Ia bersesuaian dengan perkara yang dipersetujui dalam rundingan kemerdekaan di London pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956.

Pembinaan negara ini walaupun tidak melalui proses pertumpahan darah, tetapi ia juga tidak datang dengan mudah.
Sejarah kelahiran demokrasi di Tanah Melayu menunjukkan ia adalah demokrasi terpimpin walaupun ada sarjana menamakannya sebagai quasi-democracy ataupun semi-democracy. Ini bermakna, demokrasi berparlimen wujud dengan adanya nilai pengorbanan, kompromi, sifat tolak-ansur, hormat dan fahami komposisi kependudukan dan alam Tanah Melayu.

Jika ideologi diutamakan, tidak mungkin Demokrasi Berparlimen akan menjadi matlamat asas penubuhan sebuah negara-bangsa berdaulat. Ideologi diketepikan agar masyarakat pelbagai kumpulan etnik dapat hidup rukun dalam satu keluarga besar.

Bagi Raja-raja Melayu yang telah menghadiahkan cokmar kepada Majlis tersebut pada 1952, ia dilihat sebagai simbol pengukuhan kerajaan berparlimen yang demokratik dan memartabatkan kedudukan Perlembagaan.

Permulaan kepada sistem kerajaan berparlimen adalah pengenalan Sistem Ahli pada 1951 yang merupakan asas kepada usaha melatih rakyat membentuk dan mentadbir kerajaan sendiri yang seterusnya membawa kepada pembubaran Majlis Perundangan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum 1959; titik permulaan sejarah Demokrasi Berparlimen dengan sidang pertama pada 12 September 1959.

Parlimen bertanggungjawab ke atas hal- ehwal penggubalan undang-undang di samping menjalankan tugas memantau perbelanjaan am kerajaan.

Kesemuanya masih berpusatkan kepada kuasa rakyat dalam menentukan jenis, bentuk dan pemerintahan yang mahu dilihat berdasarkan kepada pilihan raya yang menjadi mekanisme terpenting menentukan pentadbiran negara.

Selepas 50 tahun, adakah ia masih menjadi simbol kebanggaan? Adakah peranan Parlimen sudah berubah hari ini disebabkan kelangsungan politik? Yang nyata, demokrasi berparlimen masih merupakan sistem terbaik negara ini yang mempertahan tanggungjawab pemimpin dan hak rakyat ke atas kerajaan.

Perlembagaan menjadi dokumen terpenting mendasari hubungan ini dan lebih daripada itu, ia menjadi asas kemuafakatan masyarakat negara ini.

Demokrasi berparlimen membolehkan rakyat menyalurkan pandangan dan kritikan melalui wakil yang terpilih. Adakah wakil mereka memain peranan yang signifikan dalam konteks kemasyarakatan perlu pertimbangan sewajarnya.

Suara kepentingan ramai perlu diutamakan daripada menjadikan Parlimen sebagai perdebatan emosi. Kesucian Parlimen perlu diiktiraf sebagai ruang untuk mengelak dari membuat pembohongan, fitnah mahupun mencari kepopularan.

Pemimpin mesti bertanggungjawab ke atas hak dan kedudukan mereka. Pembunuhan karakter berlebihan dalam Parlimen boleh merencat proses perjalanan persidangan.

Demokrasi berparlimen tidak bermakna imuniti digunakan bagi meraih publisiti tetapi ia untuk memperjuang, memperkukuh dan memantapkan dasar atau hala tuju kesejahteraan masyarakat.

Demokrasi bersifat mulia dan tidak boleh dirosakkan dengan amalan rakus untuk berkuasa. Kemajuan dan demokrasi sepatutnya bergerak seiring.

Keyakinan dan kepercayaan melalui mandat sebagai wakil di Parlimen penting untuk dituruti. Kesejahteraan masyarakat tidak boleh dikompromi.

Pemimpin akan dinilai daripada kewarasan perwatakan sebagai pemimpin yang bersedia berkhidmat untuk masyarakat tanpa mengira batasan kepercayaan, agama, keturunan mahupun gender.

Selama 50 tahun penubuhan Parlimen, pengisian ke atasnya cukup hebat. Ia telah melihat kelahiran pemimpin yang berjiwa rakyat, juga pada waktu yang sama berjiwa emosi kepentingan diri.

Tempoh itu juga menyaksikan penerimaan negara lain ke atas sistem kita dan turut dijadikan model. Malaysia masih dihormati kerana amalan demokrasi berparlimen dianggap suatu yang workable ke atas status kependudukan. 

Demokrasi berparlimen harus melahirkan kerajaan yang stabil dan boleh meneruskan tradisi pembangunan, pemodenan dan industrialisasi.

Jika ada kelemahan dasar, ia boleh dibetulkan dan ruang secukupnya perlu ada untuk memperbaharui. Amalan demokrasi hanya dapat berfungsi jika ada kesungguhan dalam kalangan kesemua pihak, bukan pemimpin semata-mata.

Setiap anggota masyarakat dalam mana-mana stratifikasi sekalipun ada tanggungjawab mereka. Kita bertanggungjawab ke atas sistem yang ada. Nilai moral dan integriti menjadi persoalan asas dalam demokrasi berparlimen hari ini. Ia dapat berkembang jika dilihat secara rasional dan bukan emosional.

Selama 50 tahun Parlimen, ada kegemilangan dan ada pasang surutnya. Ada pencapaian yang mendapat pengiktirafan dan ada cabaran yang dilaluinya.

Walau apa pun, ia masih merupakan sistem terbaik dan sama ada dapat bertahan untuk 50 tahun lagi, ia bergantung kepada tahap kematangan dan kesungguhan masyarakat untuk menjamin hak dan tanggungjawab mereka.

Hubungan antara institusi raja, kerajaan, pemimpin dan masyarakat mampu memastikan Parlimen kukuh berdiri kerana tanpa Parlimen, maka akan berkubur kebebasan dan institusi yang telah membawa kedudukan Malaysia hari ini.

Kuasa rakyat menentukan ketinggian Parlimen hari ini dan ia juga merupakan kuasa yang amat besar signifikasinya kepada kemakmuran dan kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan,Pusat Pengajian Sains KemasyarakatanUniversiti Sains Malaysia


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz29AMt3UgY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]