Saturday, October 13, 2012

BILA WAKIL RAKYAT MALAS MENULIS....


Wakil rakyat perlu manfaatkan blog


Teknologi kini sudah jauh berubah. Perkembangan ini telah membolehkan kebanyakan rutin manusia dipercepatkan mengatasi masa 30 tahun yang lalu.

E-mel menjadi komunikasi utama hari ini dan banyak urusan yang dapat diselesaikan melaluinya. Begitu juga dengan penyebaran maklumat melalui laman web yang ada kalanya boleh dicipta menggunakan ruang percuma.

Hari ini, perkembangan dunia teknologi bergerak setapak lagi apabila weblog menjadi popular dan tumpuan ramai. Gabungan perkataan web dan log ini dengan sendirinya memberi tafsiran bahawa ia mendekati fahaman kita ke atas penggunaan buku log, catatan seharian yang boleh ditulis dalam laman web tertentu secara online.

Secara ringkasnya, ia dikenali sebagai blog. Penulisan dalam blog membolehkan pemikiran, perkongsian dan maklum-balas dilakukan di alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

Lazimnya catatan yang disiarkan dalam blog boleh diterjemahkan sebagai pengalaman atau pandangan yang mahu dikongsi bersama pembaca lain kerana ia tidak ada garis panduan. Pemilik blog bebas menyampaikan apa sahaja maklumat yang ingin disampaikan.

Oleh yang demikian, sudah tiba masanya wakil rakyat di negara ini menggunakan perkhidmatan ini sebagai salah satu usaha untuk mendekati orang ramai. Sehingga ke hari ini, hanya ada beberapa orang wakil rakyat yang mempunyai blog sendiri. Ini termasuklah Datuk Shahrir Samad di http://shahrir-umno.blogspot.com/ dan Lim Kit Siang di http://blog.limkitsiang.com/

Kedua-dua ahli politik ini aktif dalam mengemaskinikan blog dengan pandangan dan maklumat yang mahu dikongsi bersama pembaca. Lebih daripada itu, ia dengan mudah menghubungkan wakil rakyat dan orang ramai dalam menyuarakan pandangan di kawasan mereka.

Blog boleh dilihat sebagai usaha melintasi rangkaian jaringan untuk menyampaikan maklumat, satu proses berterusan dalam sistem penyampaian sosial.

Apabila wakil rakyat memiliki blog sendiri, ini secara langsung akan memperlihatkan keprihatinan wakil rakyat tersebut untuk menjalankan tanggungjawabnya apabila tidak dapat berada di kawasannya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Di Amerika, memiliki blog dalam kalangan ahli politik telah menjadi satu budaya yang bersifat persaingan kerana masing-masing mahu mempertontonkan bagaimana mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengundi.

Begitu juga di United Kingdom, beberapa wakil rakyat seperti Clive Soley, Boris Johnson, Tom Watson dan Richard Allan memiliki blog mereka untuk berinteraksi dengan penduduk di kawasan masing-masing.

Sekiranya ahli politik mula berjinak dengan memiliki blog sendiri, nilai kewibawaan mereka bukan sahaja akan mewakili rakyat kawasan mereka berkhidmat tetapi melangkaui persempadanan tersebut.

Tindakan ini akan melibatkan hampir kesemua individu yang melayari blog ahli politik tersebut. Ia membina jambatan antara ruang sendiri dengan ruang sosial umum yang akan membolehkan masyarakat awam bertindak dan sensitif dengan persekitarannya.

Blog juga akan membolehkan individu yang mahu berjumpa dengan wakil rakyat mereka tetapi gagal kerana ruang masa dan komitmen lain dapat dihubungkan melalui perbincangan di blog pada waktu yang ditetapkan.

Berinteraksi

Yang jelas, blog akan membolehkan wakil rakyat dan individu mendapatkan maklumat yang dikehendaki melalui interaksi; memahami peranan dan tanggungjawab wakil rakyat mereka melalui informasi yang disiarkan; menilai budaya dan norma perhubungan antara wakil rakyat dan individu; membolehkan orang ramai di luar kawasan wakil rakyat yang berinteraksi melalui blog mahu wakil rakyat mereka juga memiliki blog kerana faedah yang diterima; akan membuah minat pelbagai lapisan masyarakat untuk memahami pemikiran wakil rakyat ini dan menjadikan pandangannya sebagai satu rujukan dalam sesuatu isu.

Walaupun begitu, mungkin ada ahli politik yang tidak mahu memilikinya kerana implikasi daripada beban kerja mereka. Kadang-kadang, sesuatu blog dipenuhi dengan 50-100 maklum balas daripada pembacanya.
Apakah ahli politik ini sanggup berinteraksi dan memberi jawapan ke atas kesemua persoalan, masalah, kritikan ataupun komen yang dilontar dalam blog mereka. Ini kerana prestasi mereka akan dinilai sejauh manakah mereka bersedia menangani apa sahaja masalah yang disampaikan melalui blog mereka.

Lantaran itu, ada ahli politik yang mempunyai penyelenggara blog mereka yang juga bersedia membantu individu yang mahu berinteraksi dengan ahli politik tersebut. Dengan cara ini, sekurang-kurangnya kepercayaan ke atas ahli politik ini kekal dan kesemua individu masih dapat mencari jalan penyelesaian. Cara begini jauh lebih baik daripada terus menunggu melalui cara konvensional iaitu membuat temu janji dengan wakil rakyat.

Sudah tiba masanya wakil rakyat dan ahli politik negara ini mula menggunakan mekanisme terbaru ini dalam dunia politik supaya perkembangan sistem dan penyertaan dalam politik adalah seiring dengan kemajuan ekonomi yang dikecapi.

Internet sudah menjadi sebahagian dari peralatan dunia moden. Ada yang sukar untuk melakukan sesuatu aktiviti tanpa melayari e-mel atau halaman-halaman tertentu yang sering diikuti oleh mereka.
Blog ahli politik juga penting supaya mereka dapat menarik minat generasi baru supaya peka dengan perubahan yang mengambil tempat dan tidak hanya melibatkan diri dalam arus perubahan politik negara secara bermusim.

- DR. SIVAMURUGAN PANDIAN ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0126&pub=utusan_malaysia&sec=rencana&pg=re_06.htm&arc=hive#ixzz29AK63xqp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]