Pengajaran 2008 dan persiapan PDM menghadapi PRU Ke-13
KEBELAKANGAN ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering mengingatkan mengenai persiapan parti dan pengalaman dari keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12. Begitu juga dengan kenyataan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kekalahan di beberapa negeri mempunyai hikmah tersendiri.
Apa sebenarnya berlaku dalam PRU Ke-12 pada 8 Mac 2008? Mengapakah sokongan ke atas Barisan Nasional (BN) merosot sehingga hanya menang 140 kerusi (63%) berbanding sebelumnya 219 kerusi (98%); terhakis sebanyak 79 kerusi (219-140). Sebanyak 55 kerusi (40%) dari 140 kerusi BN adalah dari Sabah dan Sarawak. Hari ini, BN mempunyai 137 kerusi selepas melalui proses Pilihan Raya Kecil dan keluarnya wakil parti SAPP dari BN.
DAP pula 29, Pas 23, PKR 24, PSM 1 dan Bebas 8. Peningkatan berlaku kepada DAP satu kerusi manakala PKR hilang 7 kerusi sejak 2008 sehingga kini kerana keluarnya wakil rakyat mereka menjadi wakil rakyat Bebas. BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dan tewas di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan.
Dilihat apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia, calon parti UMNO yang menang adalah 79 dari 117 kerusi; MCA pula 15 dari 40 kerusi dan MIC 3 dari 9 kerusi pada 2008. Sokongan ke atas UMNO ketika itu dikatakan sekitar 35.5%; MCA - 38.1% dan MIC - 8.3%.
Terdapat banyak faktor menjadi penarik dan penolak ke atas terhakisnya sokongan BN. Antaranya, nilai dan legitimasi moral kepimpinan ketika itu; strategi BN yang seolah-olah berada dalam zon selesa sehingga lahirnya pemimpin angkuh dan bongkak, mensabotaj jentera parti, dana tidak sampai kepada akar umbi, mandat besar 2004 disalahguna atau diambil mudah oleh kepimpinan, pemilihan calon yang berubah pada saat-saat akhir akibat campur tangan kuasa 'ketiga', demonstrasi Hindraf, kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kemunculan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pergerakan generasi Y yang pernah melihat reformasi 1998-1999, peranan badan bukan kerajaan, media sosial dan janji manifesto (2004-2008) yang tidak dipenuhi.
Maka, yang wajar dijadikan pengajaran adalah bagaimanakah kekuatan parti akan terserlah dengan 'kesepaduan' dan kemuafakatan; mengurus isu dan memenuhi kemahuan serta keperluan rakyat di bawah 'kepimpinan representasi proposional' yang mahu dilihat umum. Sepanjang 51 bulan lalu, banyak perubahan dan pembaharuan dilakukan sama ada memenuhi apa yang dilihat sebagai pengajaran 2008 atau melakukan persiapan ke arah PRU Ke-13.
Bermula dengan pertukaran kepimpinan, Najib memaparkan kewibawaan kepimpinan dengan pendekatan yang jauh berubah untuk disesuaikan dengan persekitaran politik semasa.
Rakyat dijadikan sebagai asas untuk memulihkan semula kepercayaan dan krisis keyakinan. Konsep 1Malaysia dijadikan landasan hala tuju sebagai enjin kepada Wawasan 2020. Pelan transformasi menjadi tunjang dalam konsep tersebut dan pencapaiannya juga sudah dipapar kepada umum sewaktu kepimpinan Najib menjejaki tiga tahun.
Malahan transformasi politik turut ditekankan dengan memberikan keutamaan kepada parti dari kepentingan diri; mengutamakan pasukan dari kumpulan; memenangi pemikiran rakyat; menjadi juara media baru; mendekati orang muda dan menuju sifar masalah.
Jika BN mahu menunjukkan ia sudah berubah sejak 2009, salah satu indikatornya adalah calon; bukan calon popular dalam parti tetapi calon yang disenangi ramai wajar dijadikan sandaran; calon yang mantap, disukai dan dilihat 'cool' oleh kesemua lapisan pengundi.
Begitu juga dengan penstrukturan parti penting dalam menjamin jentera mantap bersedia untuk berhadapan dengan PRU sebagaimana yang diungkap oleh Muhyiddin bahawa ia merupakan ibu segala PRU dan penentu hidup-mati BN ketika berhadapan dengan cabaran mengurus persepsi. Semboyan yang dibunyikan bertujuan mengeluarkan ahli, penyokong dan pemimpin BN dari zon keselesaan sebagaimana sebelum PRU 2008 dan melakukan yang terbaik untuk parti dan bukan diri sendiri.
Ada ahli yang memberikan maklumat kepada lawan kerana gagal mendapat ganjaran dan bersikap dendam kepada parti sendiri. Ada yang mengambil sikap mengangguk kepada segalanya termasuk yang berkhidmat dalam institusi dan sistem hari ini tetapi di belakang 'pangkah' lain.
'Orang parti' akan berfikir untuk masa depan anak bangsa, agama dan tanah air kerana diselubungi dengan emosi untuk melihat negara terus maju dengan kestabilan dan kemuafakatan kesemua warga negara ini. Kepentingan generasi akan datang diberi keutamaan bukan pilihan; kepentingan negara dipertahankan manakala kepentingan keharmonian tidak akan dijaja kepada orang luar hanya kerana tamakkan kuasa.
Apabila bercakap mengenai BN, ia bukan membabitkan hanya tiga parti utama tetapi keseluruhan 13 parti yang menjadi komponennya. Pengerusi BN selaku Perdana Menteri memberi peringatan yang amat tajam ketika Majlis Makan Malam di Kulim, baru-baru ini bahawa pemimpin BN mesti bekerja sebagai 'satu pasukan' dan 'tidak membiarkan beliau melakukannya keseorangan' untuk mendekati hati dan minda pengundi pelbagai kumpulan etnik.
Najib berhati-hati kali ini kerana intensiti barometer persaingan untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan dengan apa cara sekalipun oleh beberapa pihak termasuk menggunakan helah, pembohongan secara licik dan bermain dengan persepsi serta emosi pengundi termasuk tawaran 'percuma' di sana-sini yang dekat dengan sentimen manusia secara lumrahnya.
Mood 'a feel good factor' ke atas Najib bergantung bukan hanya pada beliau. Ia adalah faktor holistik bagi sesuatu parti politik dan hanya 'orang parti' dapat menjamin kejayaan. Semangat 'orang parti' jika sudah kelihatan sepenuhnya, ia juga akan memberikan keyakinan kepada Perdana Menteri, persiapan kali ini jauh lebih baik dari 2008.
Selagi itu, teka-teki dan sembang kedai kopi akan berterusan dan jangan terkejut jika tahun 2013 kita masih bercakap mengenai tarikh pilihan raya walaupun senarai nama calon sudah sampai ke tangan Pengerusi BN. September, Oktober, November sekalipun masih berkemungkinan tetapi saya rasakan pilihan raya mungkin seperti sudah semakin hampir tetapi tidak berapa dekat sebenarnya apatah lagi BR1M ke-2 jika ditawar sekali lagi, mungkin memerlukan lebih masa.
PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia
PANDANGAN PPUBJ :
Melihat kepada persiapan jentera parti khususnya PDM ternyata tidak seragam. Ada yang masih dibuai angin PRU 2004 tidak kurang juga ada yang masih berpolitikng hingga terlupa kepada tugas hakiki untuk menghadapi ibu segala pilihanraya yang menentukan hidup dan terkuburnya UMNO/BN.
Jika diibaratkan pilihanraya itu satu "peperangan" hanya Jeneral saja yang bersedia tetapi askar dibelakang masih lagi ada yang lena. Ini sudah pasti merencatkan persiapan dan sudah pasti jika bertempur juga maka kita sudah tahu keputusannya.
Jadi rumusan dari ini, untuk memastikan kemenangan 2/3 sudah tentu kita perlu bertindak dan bekerja lebih dari biasa untuk memastikan misi dan visi berjaya. Selamat berjuang kepada pewira parti.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment