Wednesday, October 3, 2012

HIKAYAT "BATU API" NURUL IZZAH ?


Komen Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berhubung dengan cadangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk menganjurkan pentas patriot bagi memberikan penjelasan umum mengenai hakikat sejarah serangan kumpulan bersenjata PKM yang menjadi kontroversi ekoran kenyataan Mat Sabu pada 21 Ogos lalu menggambarkan hakikat sebenar yang sedang bermain dalam fikiran pembangkang. (Baca Malaysia InsiderPentas Patriot: Umno Guna Pentas Semai Rasa Benci,Dakwa Nurul, 4 September 2011).
Pembangkang ingin menjadikan sejarah tersebut sebagai “batu asas” dan kerana itulah sentiasa berperanan sebagai “batu api” menerusi strategi propanda mereka yang terkenal dengan pendekatan menimbulkan suasana kelam-kabut. Sebagaimana pernah dilakukan oleh ayahnya, Anwar Ibrahim, Nurul Izzah amat memahami dalam situasi apa pun, jika ingin mengubah sesuatu persepsi umum, maka persepsi asal itu terlebih dahulu perlu dikelirukan.
Apabila persepsi umum terkeliru, maka gerakan selanjutnya mestilah bermula. Dalam bahasa propaganda ia dikenali sebagai “neutralize” dan kemudiannya diikuti dengan kaedah-kaedah yang lebih serius melalui pernyataan bukti. Proses selanjutnya dikenali sebagai “reinforcing” atau juga dipanggil dengan istilah “indoctrination.” Dalam perspektif propaganda, indoktrinasi menjadi siri pemasukan fakta baru yang sesuai dengan kehendak sumber.
Berdasarkan strategi pelabelan meletakkan sejarah sebagai “batu asas” dan hentaman bertalu-talu itulah akhirnya memungkinkan Nurul Izzah ataupun Mat Sabu mampu membawa obor pembangkang sebagai hero dan heroin baru dalam sejarah persepsi masyarakat Malaysia yang semakin kehilangan kenangan sejarah kesan dari sistem pendidikan yang tidak memberikan penekanan kepada pengajian sejarah.
Sebelum isu kontroversi Bukit Kepong, pembangkang pernah mempersoalkan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai syarat wajib lulus Sijil Peperiksaan Malaysia pada tahun 2013 nanti. Bagi mereka, langkah mewajibkan mata pelajaran itu akan membuka minda para pelajar dengan kaedah sebenar perspektif sejarah yang pelu mereka pelajari, dan dengan cara itu akhirnya para pelajar lebih bijak membuat penilaian.
Para pelajar akan lebih cekap membuat penyisihan antara fakta sebenar dan fakta yang mempunyai nilai tambah berasaskan kepentingan pihak tertentu dalam merakamkan sejarah negara. Pembangkang menjadi takut kerana sepanjang kewujudan mereka dalam pentas politik tanah air, tindak tanduk mereka lebih bersifat “batu api” daripada sebuah pandangan yang boleh dilihat sebagai konstruktif.
Kita mungkin boleh mengambil contoh dengan gelagat PAS yang terlalu inginkan kuasa sanggup mengeluarkan fatwa yang bertentangan dengan kesucian Islam. Semasa Haji Hadi dilihat sebagai seorang tokoh muda dalam PAS, pada awal tahun 1980-an beliau telah meracuni pemikiran orang Islam dengan fatwa jihadnya. Dalam fatwa itu beliau menggesa agar orang Islam melancarkan jihad melawan UMNO sedangkan beliau sedar ahli UMNO juga merupakan orang Islam.
Fatwa PAS terus menjadi bahan motivasi jihad sehingga menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu menerusi tindakan sembahyang dua imam, boikot kenduri-kendara kerana perbezaan fahaman politik dan seterusnya ialah melabelkan setiap tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai taghut. Perspektif itu telah membawa konflik dalam masyarakat Melayu sehingga kini masih terus berlaku.
Sejarah kegagalan Anwar Ibrahim untuk “memerintah” menerusi rancangan 16 September 2008 juga tidak boleh dihapuskan kerana ia sudah menjadi “batu tanda” besar dalam politik Malaysia. Bahkan, liku-liku reformasi yang dilaksanakan oleh bapanya sudah pun dilihat sebagai “batu api” yang telah berjaya memecahbelahkan kehidupan bermasyarakat. Ianya akan terus tercatat sebagai fakta sejarah yang mungkin menjadi “batu tanda” yang ingin dipinda oleh Nurul Izzah.
Percubaan untuk meminda sejarah negara, terutamanya yang dilihat boleh memberikan “political mileage” kepada pembangkang bukanlah bermula dengan kenyatan Mat Sabu. Sudah banyak kali dilakukan, tetapi masyarakat Malaysia yang cintakan keamanan dan kedamaian tidak boleh menerimanya kerana mereka mengetahu niat sebenar pembangkang lakukan perkara tersebut. Kita mungkin boleh jadikan ia sebagai “batu tanda” bagaimana pembangkan sentiasa ingin menghidupkan nyalaan api kemarahan rakyat dengan menyimbah minyak ke atas sesuatu isu yang bermula.
Ramai rakyat Malaysia masih ingat bagaimana sekumpulan pembangkang telah menggunakan platform badan-badan bukan kerajan dan kebebasan mengeluarkan pendapat untuk mengangkat semula peristiwa berdarah 13 Mei 1969 bagi melunakkan hakikat kesombongan DAP dan penglibatan komunis. Mereka mengangkat sumber yang berdasarkan catatan Inggeris berhubung dengan perkara tersebut sehingga memberikan gambaran bahawa pembangkang tidak bersalah, yang salahnya ialah orang Melayu bertindak balas ketika perarakan yang dimulakan oleh mereka bagi meraikan kemenangan.
Mereka juga memperjuangkan untuk membina sebuah tugu peringatan bagi mengenang pejuang Malayan Peoples Anti Japanese Army (MPAJA) di Nilai. Tujuannya adalah jelas kerana semasa pendudukan Jepun, kelompok radikal yang terpengaruh dengan ideologi komunis itu merasakan kedudukannya terancam disebabkan faktor permusuhan antara Jepun dan China semasa Perang Korea. Ketika Jepun memerintah, keturunan Cina yang tinggal di Malaysia merasakan kedudukannya terancam dan tatkala Jepun menyerah kalah, MPAJA menerusi Bintang Tiga telah mengambilalih pentadbiran.
Setelah Jepun menyerah kalah, Inggeris yang kembali berkuasa mengambil langkah memerangi mereka. Untuk berhadapan dengan suasana itu, maka lebih ramai orang Melayu dibawa masuk ke dalam perkhidmatan polis dan tentera, manakala penduduk tempatan digalakkan menganggotai home guards. Suasana ini menjadi ilham kepada Sasterawan Negara, Allhayarham Usman Awang menulis sebuah novel yang sepatutnya dibaca secara meluas oleh generasi muda hari ini. Novel itu ialahTulang-Tulang Berserakan. Kita boleh minta agar Izzah membaca dan mengkaji novel itu bagi menolehkan beliau sedar bahawa sejarah itu memang menjadi “batu tanda” dan bukannya “batu api.”
Saya setuju dengan komen Izzah bahawa “ Kita tidak boleh nafikan kewujudan pendapat berlainan mengenai sejarah Malaysia dan kita juga tidak boleh nafikan pelbagai pihak yang masih belum sembuh luka silamnya.” Tetapi, bukannya perbezaan pendapat boleh diasaskan dalam konteks emosi marah dan rasa geram kerana kegagalan pembangkang untuk memerintah maka apa saja yang dilaksanakan oleh kerajaan sebagai tidak berguna dan tidak mendatangkan faedah kepada masyarakat.
Budaya penafian atau dikenali sebagai denialism sudah sekian lama berakar dalam pemikiran pembangkan, dan kerana itulah apa saja yang diambil oleh kerajaan dlilihat sebagai langkah yang kurang bijak. Seharusnya pembangkang berlaku jujur dalam membuat sebarang penilaian, barulah perbezaan pendapat boleh diterima sebagai sesuatu yang kontruktif dan bukannya “batu api.”
Kita mungkin mengingat sejarah bagaimana pembangkang melihat pembinaan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan bagi menggantikan Kuala Lumpur yang semakin padat sebagai langkah yang membazir. Ketika era kepimpinan PAS dibawah Haji Fadhil Noor, tekadnya adalah mudah “jika PAS memerintah, Putrajaya akan dilelong.” Memangnya Haji Fadil Noor sedar sampai bila pun PAS tidak dapat memerintah Malaysia kerana untuk menjadi pemerintah, parti itu perlu menang secara majorit. PAS bertanding dalam kawasan yang terhad, malah kurang dari separuh kerusi Dewan Rakyat.
DAP juga pernah menyelar pembinaan projek Jambatan Pulau Pinang pada awal tahun 1980-an sebagai projek yang membazir kerana rakyat lebih memerlukan benda lain. Setelah membentuk kerajaan di Pulau Pinang, DAP terus menggesa kerajaan pusat agar meneruskan cadangan membina jambatan kedua walhal cadangan itu berasal dari kerajaan BN. Apakah itu bukan suatu paradok dalam sejarah politik Malaysia yang terpaksa ditelan oleh DAP? Mungkinkah suatu hari nanti DAP akan menulis sejarahnya semula agar tidak memberikan gambaran politik cetek pemimpin mereka dalam menilai sesuatu perkara yang mempunyai kepentingan umum?
Bagaimana DAP Pulau Pinang telah cuba menulis semula sejarah Balik Pulau menerusi tajaan sebuah risalah MyBalik Pulau? Tidakkah itu sesuatu yang jelas menggambarkan suatu kaedah untuk memesongkan fakta sejarah sebenar mengenai Balik Pulau. Apakah tujuan mereka melakukan perkara itu? Ia mungkin ada hubungkait dengan iltizam DAP untuk membangunkan sebuah university berbahasa pengantarkan Mandarin di situ malah penduduk tempatan telah membantahnya kerana melibatkan pengambilan tanah milik orang Melayu. Maka, dengan mengukir semula penilaian sejarah baru, maka hubungan orang Melayu dengan Balik Pulau akan dapat dipinda, dan sejarah baru akan muncul bahawa Balik Pulau merupakan kawasan yang dibuka oleh orang Cina. Itulah matlamat sebenar DAP setelah memerintah Pulau Pinang.
Selepas beberapa bulan memerintah Pulau Pinang, DAP terus dilanda kontroversi besar dari kes Kg Buah Pala kepada perobohan gerai-gerai peniaga kecil Melayu dan seterusnya agihan tapak kedai di KOMTAR dan kini bangunan meletakkan kenderaan bernilai RM 5 juta. Semuanya ini mewarnakan sejarah DAP di Pulau Pinang, dan tentunya akan ada usaha budaya penafian yang akan terus dicipta. Tanpa mencipta alasan baru sebagai tindakan menafikan fakta sejarah itu akan mengakibatkan parti itu tidak lagi mendapat kepercayaan pengundi, bahkan sudah ada gerakan untuk menolak kepimpinan Lim Guan Eng dengan seruan “balik ke Melaka.” Sudah diberikan hadiah seluar dalam berwarna hitam, kek hitam dan sebagainya, tetapi Lim Guan Eng tetap menebalkan muka, tidak peka dengan kehendak pengundi. Masih bersikap seperti si luncai yang bakal terjun dengan labunya.
Itu adalah fakta sejarah yang menjadi “batu tanda” pemerintahan DAP, yang tidak boleh dilakonkan semula bagi menjernihkan kepekatan nilai pengurusan yang dilihat cuba menerapkan keadilan, ketelusan dan kebertanggungjawaban. Salahkah jika ada orang Melayu membuat penilaian bahawa apa yang dilaksanakan oleh DAP sekarang tidak banyak membantu orang Melayu, bahkan sebagai proses mengeluarkan orang Melayu dari kandang sejarahnya sendiri di Pulau Pinang untuk digantikan dengan membina semula sejarah berasaskan perspektif politik Cina? Bagaimana Pulau Pinang menyediakan kemudahan perumahan kepada rakyatnya? Lihatlah, semakin memenuhi ruang tanah di bahagian pulau dengan rumah-rumah mewah sama ada ala-Bali dan villa yang memangnya tidak mampu dibeli oleh orang Melayu?
Di manakah orang Melayu akhirnya akan berkelana, Balik Pulau atau Bayan Lepas.sudah dilihat bakal terlepas manakala Kg Asam sudah pun tertinggal bekas. Inilah sejarah baru yang sedang menjadi “batu tanda” orang Melayu Pulau Pinang, yang akhirnya juga akan menjadi sasaran pembetulan politik pembangkang. Apakah apabila ada orang Melayu membangkitkan kesahihan faktanya, maka ia dilabelkan sebagai “batu api.” Mungkin Nurul Izzah boleh menjawabnya, kerana setakat ini beliau sebenarnya belum mampu memberikan makna yang tepat mengenai dua istilah yang dilihat sebagai kesan sejarah.
Syak wasangka telah lama ditimbulkan oleh pembangkang kerana telah menilai bahawa sejarah pembinaan negara tidak memberikan peluang kepada mereka. Mereka tidak memberikan kezahiran makna, yang ternampaknya sikap menentang yang arrogan sehingga menimbulkan suatu bentuk yang mendebarkan masyarakat. Contohnya bagaimana keadaan Kuala Lumpur apabila pembangkang melancarkan pelbagai bentuk “politik jalanan” dan memusingkan fakta sejarah. Kaji dan telitilah secara ilmiah apakah sebenarnya objek demonstrasi jalanan? Apakah objektifnya tercapai atau tidak? Nyatakan secara jujur, kewajarannya ada di mana? Kenapa demokrasi sentiasa dijadikan topeng, sedangkan dalam kepengurusan PKR tersemai begitu banyak bentuk totalitarian? Bolehkah sejarah berbohong bahawa corak kepimpinan yang dilaksanakan oleh PKR tempoh hari membawa kepada perpecahan penyokongnya, kerana kronisme dan nepotisme menjadi peraturan baru di sebalik usaha merealisasikan demokrasi sebenar?
Kalau pemuda UMNO mengadakan Pentas Patriot boleh disifatkan oleh Nurul Izzah sebagai “menyerang Mohamad Sabu” maka perkara yang sama pernah berlaku dan dilakukan oleh bapanya sendiri. Anwar telah menggunakan pelbagai pentas untuk menyerang peribadi Dato’ Sri Najib kerana mengaggap kerusi Perdana Menteri adalah miliknya, sedangkan secara legalnya, Anwar memang tidak layak. Pernahkah Izzah bertanyakan bapanya, kenapa begitu degil Anwar ingin bersandiwara bahawa Tun Dr Mahathir telah melakukan kesilapan dan tidak berperaturan bila memecatnya pada tahun 1998? Pernahkah Izzah meneliti semula kebenaran sejarah bahawa ibu pernah berbohong bahawa Anwar telah disuntik dengan virus HIV dan diracun dengan bahan kimia arsenik beberapa hari sebelum ditahan di Penjara Sungai Buloh?
Kenapa Izzah tidak mentafsirkan semua perkara itu agar benar-benar mendapat “batu tanda” bahawa ibunya pernah berbohong, tetapi bapanya masih lagi sihat sehingga sekarang setelah lebih 13 tahun “disuntik virus HIV dan diracunkan dengan arsenic”. Ibunya berbuat demikian kerana inginkan simpati masyarakat, dan cuba menggambarkan suaminya tidak bersalah dan menjadi mangsa politik. Hari ini semakin terbukti bahawa sejarah bapanya adalah sebuah sejarah pembohongan, sejarah “batu api” dan sejarah seorang propagandis yang sanggup menggunakan apa saja kaedah demi mencapai hasratnya. Kita jangan lupa, sejauhmana handal atau bijak kita sekalipun, tanpa restu Allah SWT kita tidak memperolehi kemenangan, kerana kita percaya rezeki kita memangnya anugerah Allah dan bukannya hak mutlak kita.
Terang dan bersuluh itu dua sifat yang amat diperlukan, kerana memberikan keterangan yang jujur akan memberikankita cahaya yang boleh memandu arah mana yang hendak kita lalu untuk derap langkah selanjutnya. Membina kekeliruan pemikiran masyarakat meskipun jangka pendeknya dianggap hebat, tetapi jangka panjangnya akan mengakibatkan kemenangan itu tidak ubah seperti malangnya Pak Kaduk. Ayam menang sabung, tapi kampong tergadai. Tolonglah Izzah memeriksa sejarah, dari mana punca kewangan yang bapanya peroleh sehingga mampu menggerakkan PKR dan menghadirkan diri seantero dunia, sehingga bapanya dilihat sebagai seorang pemimpin paling mewah serta boleh ke sana ke mari. Bukan sedikit belanja. Bukanlah calang-calang orang boleh lakukan, dan sebenarnya Anwar sudah menjadi sejarah, sebuah sejarah fenomena politik yang resah, politik serba salah kerana sentiasa membudayakan hidup dan perjuangan seperti teori kupu-kupu (pinjam istilah yang digunakan oleh Muturesan, Strategi Kemenangan Anwar).
Mengkaji dan menulis semula sejarah boleh dilakukan, tetapi ia perlu bersandarkan disiplin yang betul dan pendapat semata-mata. Perlu ada bukti, maka kontroversi yang hendak ditimbulkan oleh pembangkang, masih kekurangan fakta sahih, maka itulah percubaan sedemikian dilihat keterlaluan dan membingungkan. Biarlah rakyat menilai siapa sebenarnya puteri kesayangan Anwar itu, sama ada sebagai serikandi ataupun seorang wanita yang tewas kerana kegagalannya mempertahankan sejarah yang sedang dirungkaikan oleh masyarakat apa yang telah dan sedang berlaku dalam keluarga besarnya. Tidak perlu Nurul Izzah mempersoalkan kewajaran perkara-perkara lain selagi sejarah yang telah dan sedang dibangunkan oleh kedua orang tuanya masih bersimpang-siur antara benar dan salah, antara kenyataan dan rekaan, mitos atau reality.
Masyarakat akan menjadi hakim yang muktamad, kerana sejarah itu adalah sejarah masyarakat bukannya milik Nurul Izzah seorang. Batu tanda ada di mana-mana dan batu api tetap menjadi senjata pembangkang untuk membina persepsi buruk rakyat terhadap kerajaan. Itulah sebahagian sejarah politik Malaysia yang harus difahami dan memerlukan waspada, maka Pentas Patriot menjadi kaedah terbaik menangkis sebarang percubaan memutarbelitkan fakta sejarah yang semakin semarak kerana merasakan masa terlalu sempit, keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin kemas sedangkan pembangkang masih terkial-kial dengan retorik politiknya, cakap tidak serupa bikin, malah bikin tidak serupa cakap.
Itulah sejarah yang sedang diukir dan dalam percubaan menghakiskannya untuk episod seterusnya menerusi Hikayat Batu Api Nurul Izzah.

Putera Syakir Mubarak

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]