Sunday, October 28, 2012

PEMBANGKANG KATA NEGARA INI SEKULAR.


Malaysia bukan negara sekular

MUNGKIN kerana tiada peruntukan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah negara Islam mengundang perdebatan sekarang, malah ia telah lama dibangkitkan sejak dari zaman Almarhum Tunku lagi. Mungkin kerana ketiadaan peruntukan khusus ini jugalah yang menyebabkan DAP dan Pas mempertikaikan perisytiharan yang dibuat oleh Dr. Mahathir Mohamad pada 2001. Tetapi tidak juga tepat bagi mereka yang mengatakan bahawa Malaysia sebuah negara sekular dengan peruntukan lain yang memberi kedudukan istimewa kepada agama Islam.

Kedudukan Islam yang begitu tinggi juga telah disebut dalam kes Meor Atiqulrahman dll lwn Fatimah Sihi dll [2000] 5 MLJ 375. Hakim Datuk Mohd. Noor Abdullah dalam memutuskan kes pemakaian serban oleh tiga murid sekolah mengatakan bahawa menurut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, agama Islam merupakan ad-deen, satu cara hidup dan bukan hanya khusus untuk upacara-upacara rasmi sahaja. Katanya lagi, "agama Islam adalah agama utama, mengatasi agama-agama lain di Malaysia. Status agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain".

Dalam kes Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dll [2004] 2 MLJ 119 YA Hakim Datuk Faiza Tamby Chik memutuskan bahawa Perkara 3 (1) Perlembagaan itu sendiri menempatkan kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama utama dan dominan mengatasi agama-agama lain. Maka, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan memelihara, menjaga dan mempromosikan Islam. Memandangkan kedudukan khas yang diberikan kepada agama Islam, dan kaitan antara Islam dan Melayu, Hakim menolak permohonan Lina Joy untuk menukar nama Islam kepada nama bukan Islam, untuk memelihara agama Islam.

Memandangkan bahawa kedudukan Islam yang diperuntukkan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan membawa maksud yang besar, maka pandangan yang mengatakan bahawa negara ini merupakan negara sekular pada pandangan penulis tidak tepat. Masakan negara sekular memberi keistimewaan yang begitu besar kepada agama Islam. Ini termasuk penggunaan wang negara. Perkara 12(1) memberi keizinan kepada kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit bagi pembangunan dan apa-apa saja kaitan dengan agama Islam.

Profesor Emaritus Dr. Shad Saleem Faruqi (UiTM) berpendapat dalam sesebuah negara sekular, peruntukan agama rasmi bagi negara lazimnya tidak dimasukkan dalam perlembagaan negara itu dan tiada peruntukan dan bantuan diberi bagi aktiviti-aktiviti agama. Tetapi perkataan 'agama' diulang tidak kurang daripada 20 kali dalam Perlembagaan Persekutuan. Jadi, bagaimana boleh dikatakan Malaysia sebuah negara sekular? Almarhum Prof. Ahmad Ibrahim juga tidak dapat menerima pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular.

Menurut Almarhum Tunku Abdul Rahman, perkataan 'agama' dalam Perkara 3(1), Perlembagaan Persekutuan seharusnya tidak disempitkan hanya untuk upacara-upacara rasmi keagamaan sahaja tetapi seharusnya meliputi undang-undang utama negara. Walaupun begitu, pandangan Prof. Shad Saleem Faruqi yang menyatakan bahawa kedudukan Malaysia yang agak unik. Beliau menganggap Malaysia sebuah negara hibrid (hybrid).

Dengan mengkelaskan status sedemikian, Malaysia tidak boleh sama sekali dianggap sebagai negara sekular. Masakan dalam negara sekular boleh memberi bantuan pembinaan masjid-masjid, kuil-kuil dan gereja. Ini yang membezakan Malaysia dari negara-negara lain. Walaupun agama Islam merupakan agama Persekutuan dan dianggap dominan justeru kerana orang Melayu itu adalah orang Islam (mengambil definisi orang Melayu dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan), ia tidak sama sekali menafi hak orang bukan Islam.

Hujah lain ialah lafaz sumpah Yang di-Pertuan Agong setiap kali ditabalkan antara lain adalah untuk "memeliharakan setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri". Ini mencerminkan bahawa agama Islam diberi tempat yang tinggi.

Pandangan yang mengatakan bahawa negara ini adalah negara sekular kurang tepat. Ini kerana, Perlembagaan Malaysia itu sendiri tidak menyebut negara ini adalah negara sekular. Walaupun secara zahir, tidak terdapat peruntukan dalam Perlembagaan itu yang mengatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam, tetapi ciri-ciri dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan itu sendiri mengiktiraf bahawa negara ini mengagungkan agama Islam.

Mana mungkin sebuah negara sekular memberi keistimewaan yang luar biasa kepada agama Islam. Ini terbukti dengan adanya peruntukan-peruntukan dalam Perkara 3(1) yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Perkara 12(2) yang memberi keizinan kerajaan membelanjakan duit negara untuk tujuan pembangunan agama Islam.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121027/re_03/Malaysia-bukan-negara-sekular#ixzz2AZLtF56L
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]