Sunday, October 28, 2012

BILA GAGAL DIFAHAMI, DITUDUH PULA!


Istilah sekularisme, asabiah gagal difahami

Orang yang mentafsirkan erti sekular tanpa merujuk kepada kamus dan juga sejarah yang berkait dengannya dan menyebarkan fahaman asabiah tanpa merujuk kepada asbab periwayatan hadis oleh Baginda Nabi SAW, merupakan parasit yang merosakkan umat Islam.

Sekular tidak boleh disamakan apa yang terjadi di Barat dengan senario politik dalam negara. Sekular itu menolak penglibatan atau peranan agama dalam tadbir urus negara sehingga akhirnya para ahli agama di Barat hanya berperanan dalam gereja.

Rakyat yang inginkan sentuhan agama hanya boleh diperolehi dengan mengunjungi gereja. Ini berbeza dengan suasana politik negara kita yang tidak menolak pengaruh dan kepentingan agama Islam, bahkan terlalu banyak aspek agama diterapkan dalam pentadbiran, dasar dan juga perundangan.

Melabelkan Malaysia sebagai negara sekular adalah satu tohmahan yang dangkal kerana cetek kefahaman mengenai konsep sekularisme itu. Lebih dangkal lagi jika menghasut rakyat untuk bangun menentang pemerintah atas alasan sekularisme vs Islamisme.

Begitu juga dengan istilah asabiah yang menjadi duri dalam kalangan umat Islam sehingga melabelkan sesuatu puak sebagai asabiah yang terkeluar daripada ajaran Nabi SAW.

Yang dikatakan asabiah ketika Baginda meriwayatkan hadis tersebut adalah merujuk kepada tindakan membela atau mempertahankan kaum kamu, puak kamu yang melakukan dosa atau kesalahan, sehingga mengetepikan keadilan. Oleh kerana dia orang kamu, pengikut kamu, kaum kamu, maka kamu membela dan mempertahankannya, walaupun dia salah, itulah asabiah namanya.

Bukanlah membela kaum kerana kebaikan itu dianggap asabiah. Bukanlah memperkatakan tentang Melayu itu asabiah dan bukan juga mempertahankan hak bangsa itu dianggap asabiah.

Fahaman asabiah bukan berlaku pada sesuatu tema kaum seperti parti Melayu, bangsa Cina atau India tetapi ia adalah tindakan yang menafikan keadilan untuk semua manusia.

Orang Islam yang taksub dengan pemimpin mereka seolah-olah pemimpin mereka maksum iaitu terhindar daripada salah silap, apa yang diperkatakan semua betul tanpa dihujahi dengan ilmu pun tetap percaya itulah asabiah.
Pemimpin itu jahat, berbuat dosa, tapi kerana dia adalah pemimpin kamu dan kamu pertahankan dia kerana dia pemimpin kamu, itulah Asabiah.

Wahai orang Melayu, janganlah melabelkan perjuangan untuk Melayu itu asabiah. Mempertahankan bangsa itu bukanlah asabiah selagi mana tidak menyimpang daripada keadilan dan menafikan hak orang lain.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121026/re_06/Istilah-sekularisme,-asabiah-gagal-difahami#ixzz2AZNXbeYC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]