Sunday, November 23, 2008

MENANTI GERAK CATUR POLITIK DR. MAHAHTIR


Dr Novandri Hasan Basri
DI PETIK DARI  http://novandri.blogspot.com/
 
Semasa forum yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana kelmarin, Tun Dr Mahathir telah berjanji untuk mendedahkan nama mereka yang terlibat di dalam rasuah politik termasuk pemimpin-pemimpinnya.

Beliau berjanji akan menyenaraikan nama-nama mereka itu di dalam blog beliau kelak.

Inisiatif Dr Mahathir ini pastinya akan menyemarakkan lagi usaha untuk 'membersih' UMNO daripada gejala rasuah politik/politik wang.

Dalam masa yang sama, ianya juga memberikan sedikit harapan kepada ahli-ahli UMNO dari akar umbi yang sangat prihatin kepada perkembangan yang tidak sihat ini.

Tidak dapat dinafikan bahawa jawatankuasa disiplin yang dipimpin oleh Tengku Ahmad Rithaudeen sedang bekerja keras untuk menyemak dan menganalisa segala tuduhan bertulis yang diterima oleh mereka.

Dengan matematik mudah, 900 aduan pastinya tidak akan dapat diselesaikan dengan cepat. Tetapi yang penting, penulis berharap agar jawatankuasa tersebut memprioritikan kes-kes yang melibatkan pemimpin-pemimpin atasan dahulu.

Ianya mungkin sukar kerana semuanya saling bersangkut paut. Jika cawangan tidak sah, mesyuarat bahagian mungkin juga tidak sah. Dan jika bahagian tidak sah, wakil-wakil yang hadir semasa Pemilihan pemimpin UMNO di PWTC kelak mungkin juga tidak sah.

Dan jika undi mereka tidak sah, pelbagai implikasi bakal wujud. Mesyuarat mungkin tidak sah. Satu lagi perkara yang mungkin timbul ialah pihak-pihak yang kalah di dalam pemilihan UMNO itu akan menggunakan isu ini untuk memastikan pemilihan di adakan sekali lagi atau di bawa ke mahkamah sekali lagi seperti tahun 1988.

UMNO telah diharamkan oleh mahkamah pada 4 Februari 1988 selepas berlakunya krisis kepimpinan UMNO pada 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah telah bertanding jawatan Presiden UMNO namun kalah dengan perbezaan undi yang kecil. Dr Mahathir telah mendaftar satu pertubuhan baru dengan nama UMNO Baru pada 13 Februari 1988. Kemudiannya, Tengku Razaleigh telah menubuhkan parti serpihan UMNO, Semangat 46 selain berlakunya Krisis Perlembagaan Malaysia 1988.

Walaubagaimana pun, inisiatif Dr Mahathir untuk menyenaraikan nama-nama tersebut pastinya akan mendapat reaksi yang berbeza di kalangan ahli-ahli UMNO dan penganalisa politik terutamanya mereka yang memang telah menggunapakai wang untuk meraih undi.

Mereka itu akan pasti cuba menegak benang yang basah dengan apa cara sekali pun.

Akan tetapi, modus operandi Dr Mahathir kali ini terasa amat berbisa walau pun jika beliau hanya sekadar mengertak sahaja. Dan tentunya sudah ramai yang berpeluh sejuk ketika ini kerana bimbang nama mereka akan disiarkan di dalam blog Dr Mahathir yang sehingga kini mencecah lebih daripada 9,000,000 pembaca!

Apakah modus operandi Dr Mahathir akan berjaya?

Sukar untuk diramalkan kerana ianya satu perkara yang bukan orthodoks dan bukan lazim. Malah implikasi kepada kenyataan Dr Mahathir itu juga perlu diteliti dengan serius kerana tindakbalas domino akan berlaku dan ianya saling jatuh menjatuhkan.

Sudah pasti, kita tidak mahu ianya terjadi tetapi kita tentu akan bertambah meluat dengan pemimpin-pemimpin UMNO jika mereka tidak dapat menyelesaikan isu-isu itu dengan waras dan baik.

Perlu diingat bahawa kemerosotan undi di PRU-12 dan sejarah hitam di dalam UMNO seperti pengharaman UMNO pada tahun 1988, tidak sekali-kali disebabkan oleh ahli-ahli UMNO dari akar umbi tetapi disebabkan oleh sesetengah pemimpinnya yang tidak mahu berfikir panjang, ego, mementingkan diri sendiri bukannya ahli-ahlinya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]