Friday, March 6, 2009

Bajet mini dianggarkan RM10b






KUALA LUMPUR 5 Mac - Pakej rangsangan ekonomi kedua atau bajet mini yang akan dibentangkan Selasa depan melibatkan anggaran peruntukan RM10 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Kong Cho Ha berkata, daripada jumlah tersebut, RM5 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan manakala selebihnya untuk perbelanjaan pengurusan.

''Setakat ini ia lebih kurang lima campur lima. Ini yang dibentangkan hari ini (bagi bacaan kali pertama)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pakej rangsangan kedua di bawah bajet mini itu akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Mac ini.

Pakej itu merupakan pendekatan kerajaan untuk merangsang ekonomi domestik yang terjejas berikutan krisis ekonomi global.

Menurut Najib, pakej itu juga bakal menilai perangkaan dan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta sumber pembiayaan.

Ditanya sama ada jumlah tersebut merupakan peruntukan sebenar bajet mini itu, Cho Ha berkata, ia sebahagian daripada perbelanjaan pembangunan dan jumlah itu boleh menjadi lebih besar dengan pelaburan langsung pihak swasta.

Sementara itu, pada persidangan Dewan Rakyat sebelum itu, Cho Ha membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 yang merujuk kepada bajet mini untuk bacaan kali pertama.

Menurutnya, pembentangan bacaan kali kedua pula dijadualkan pada pukul 4 petang, Selasa depan oleh Najib.

Ketika itu, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) bangun mencelah bertanyakan sama ada pembentangan bagi bacaan kali kedua itu adalah merujuk kepada bajet mini.

Katanya, ini berikutan dalam dokumen yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen, tidak dinyatakan tentang bajet mini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudian menjelaskan bahawa kedua-duanya merujuk kepada perkara yang sama.

''Bacaan kedua Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan pada Selasa ini yang dinyatakan Timbalan Menteri Kewangan itu merujuk kepada perkara tersebut. Kita tak sebut bajet mini sebab tiada istilah tersebut," katanya.

Ketika penggulungan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Kementerian Belia dan Sukan, Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee mengeluarkan arahan supaya dokumen yang diedarkan berhubung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan itu tidak diedarkan kepada pihak lain.

Tegas beliau, sebaliknya dokumen yang mengandungi butiran awal tentang bajet mini itu hanyalah untuk kegunaan ahli-ahli Parlimen.

''Saya minta kertas perintah 4 dan 5 yang diedarkan itu hanyalah untuk kegunaan Yang Berhormat sahaja sehingga bacaan kali kedua rang undang-undang itu dibentangkan Selasa depan.

''Sebagai menghormati peraturan Dewan, ia tidak boleh diedarkan kepada pihak lain sebaliknya hanyalah untuk kegunaan Yang Berhormat," jelasnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]