SHAH ALAM 5 Mac - Pergerakan Pemuda UMNO Selangor hari ini mendedahkan yang mereka mempunyai bukti kekecohan di pekarangan Parlimen pada 26 Februari lalu dimulakan oleh wakil rakyat DAP. Ketuanya, Abdul Shukor Idros berkata, bukti itu diperoleh daripada rakaman suara dan video yang disediakan oleh penyokong Ahli Parlimen Ipoh Timur yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam laman blognya. Beliau berkata, berdasarkan rakaman tersebut, terdapat sekurang-kurangnya empat insiden provokasi yang dimulakan serta dilakukan terhadap Pemuda UMNO oleh wakil rakyat DAP. ''Kita diserang daripada pelbagai sudut dan didakwa memulakan kekecohan dalam insiden di Parlimen itu seolah-olah kita yang bersalah. ''Jadi kita berterima kasih kepada kakitangan Kit Siang yang menyediakan rakaman ini yang boleh membuktikan siapa sebenarnya yang memulakan kekecohan tersebut," kata beliau kepada pemberita di Bangunan UMNO Selangor di sini petang ini. Hadir sama memberikan sokongan ialah Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib dan semua Ketua Pemuda UMNO Bahagian termasuk Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Lat Sharizan Abdullah yang terlibat secara langsung dalam insiden di Parlimen. Menjelaskan lebih terperinci apa yang berlaku di Parlimen ketika itu Abdul Shukor berkata, beberapa Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Selangor telah datang ke Parlimen atas jemputan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad untuk satu perbincangan disusuli makan tengah hari. Ujar beliau, selepas selesai urusan tersebut, beberapa Ketua Pemuda UMNO berdiri di laluan tertutup antara bangunan pentadbiran dan bangunan utama Parlimen sebelum pergi ke kereta masing-masing dan ketika itulah Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dilihat sedang menuju ke arah di mana mereka berada. ''Ekoran dakwaan Karpal yang menuduh Pemuda UMNO menghantar peluru kepadanya dan menghina Pemuda UMNO dengan mengatakan 'Pemuda UMNO celaka', beberapa Ketua Pemuda UMNO yang berada di situ mendekatinya untuk meminta penjelasan. ''Ketika itu Pemuda UMNO tiada niat untuk melakukan kekecohan seperti yang dituduh Ahli Parlimen pembangkang dan tiada sebarang bentuk kekasaran mahupun serangan dilakukan terhadap Karpal dan tiada sehelai pun rambutnya gugur. ''Kekecohan hanya berlaku apabila beberapa Ahli Parlimen DAP datang kemudiannya dan pada waktu itu Karpal sudah pun mula meninggalkan kawasan insiden. "Jikalau pun ada pihak yang mengadu terkena tepis, ia hanya lambaian tangan oleh semua pihak di dalam kekalutan yang berlaku," kata beliau. Sehubungan itu Abdul Shukor memberitahu, Pemuda UMNO Selangor akan mengemukakan rayuan dan usul bagi memohon pembelaan terhadap kekasaran yang dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP ke atas rakyat biasa. Sementara itu Lat Sharizan berkata, Pemuda UMNO Selangor akan menyerahkan salinan bukti yang diperoleh kepada semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Parlimen agar rayuan mereka dipertimbangkan. ''Antara usul yang dikemukakan ialah agar Karpal dan semua wakil rakyat DAP memohon maaf atas pembohongan mereka di Parlimen serta satu tata etika perlakuan dan adab yang mesti dipatuhi wakil rakyat apabila berada di luar Dewan Rakyat. ''Rayuan, usul dan salinan bukti itu akan diserahkan pada Selasa ini kepada seorang wakil Ahli Parlimen BN untuk diserahkan kepada semua Ahli Parlimen BN yang lain," kata beliau. |
Friday, March 6, 2009
'Kekecohan di Parlimen dimulakan DAP'
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment