Thursday, May 13, 2010

Peristiwa hitam 13 Mei 1969




Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu tragedi berdarah yang banyak meninggalkan kesan terhadap politik , ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia. Peristiwa 13 Mei sememangnya bukan suatu peristiwa yang berlaku secara tiba - tiba atau kerana sebab-sebab yang spontan tetapi ianya merupakan suatu rentetan kepada sebab-sebab atau peristiwa yang telah berlaku sebelumnya. Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan salah satu faktor yang turut menyumbang kepada peristiwa 13 Mei . Selain itu kesan peninggalan penjajah Inggeris juga boleh dilihat sebagai punca kepada peristiwa tersebut. Amalan diskriminasi oleh Inggeris contohnya telah banyak merenggangkan lagi hubungan antara kaum di Tanah Melayu. Dari sudut ekonomi peristiwa 13 Mei, banyak meninggalkan kesan yang negatif terhadap masyarakat Melayu khasnya dan golongan bumiputera amnya. Pengenalan ekonomi mengikut ras umpamanya adalah bukti yang jelas kepada persoalan ini.Keadaan ini merupakan suatu kesan yang nyata selepas penjajahan British. Dasar ekonomi baru yang dirancangkan oleh kerajaan pada 1971 merupakan satu usaha bertujuan untuk mengimbangi kembali kedudukan ekonomi dan hubungan antara kaum di Malaysia.

2.0 Punca-Punca Yang Membawa Kepada Peristiwa 13 Mei 1969
Peristiwa 13, Mei 1969 merupakan rusuhan kaum yang paling tragis dalam sejarah di negara ini iaitu antara orang Melayu dan orang Cina. Perbincangan ini bukan untuk melihat ketegangan yang berlaku atau ‘melukakan kembali parut yang telah pun kering’ dalam peristiwa berkenaan tetapi tujuannya lebih menjurus untuk memperkatakan rentetan sebab musabab mengapa ianya terjadi seterusnya dapat menjadi pedoman kepada semua. Hubungan antara orang Melayu dan Cina sejak berabad lamanya ibarat ‘tidur sekatil tetapi mimpinya berlainan’ (Siew Chang Yee, 2007). Antara punca konflik adalah:

2.1 Layanan Berat Sebelah Oleh Tentera Jepun
Pada zaman pendudukan Jepun, masyarakat Tanah Melayu telah dilayan secara berbeza-beza. Masyarakat Cina umpamanya telah dilayan dengan begitu teruk oleh tentera Jepun berbanding dengan orang-orang Melayu. Keadaan ini berikutan Jepun yang pernah berperang dengan China sebelum ini menyebabkan perasaan saling mendendami antara satu sama lain masih segar dalam ingatan. Layanan berat sebelah ini telah menyemai perasaan permusuhan antara orang-orang Melayu dan Cina.

2.2 Dasar Pecah & Perintah Penjajah Inggeris
Hasil daripada kajian, kejadian ini disebabkan oleh dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British yang mengaitkannya dengan beberapa faktor. Dasar penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah merupakan satu tindakan yang berkesan dan telah menjadi punca wujudnya jurang antara kaum sama ada dari sudut ekonomi dan juga polarisasi kaum. Umpamanya orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong dan merekalah sebenarnya memiliki aset yang tinggi dalam ekonomi masyarakat Malaysia. Sementara orang-orang Melayu tinggal di luar bandar sebagai petani atau nelayan kecil. Kaum India kebanyakannya pula sebagai buruh kasar kerajaan dan pekerja di ladang. Pada hakikatnya kegiatan ekonomi orang-orang Melayu dan India adalah bercorak sara diri. Keadaaan ini menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan. Corak penglibatan ekonomi antara kaum dalam kegiatan ekonomi yang berbeza telah menjadikan kedudukan sosio-ekonomi mereka tidak seimbang.

Dasar ini dilakukan oleh British untuk mengelakkan perpaduan antara pelbagai kaum yang dikhuatiri akan mengancam kedudukan mereka. Masyarakat melayu terdiri dari petani dan nelayan di kampung, masyarakat cina pula telah mewarisi perniagaan secara turun temurun dan tinggal di bandar manakala masyarakat india bekerja sebagai penoreh dan tinggal di estet. Dasar ini telah berjaya direalisasikan bagi mewujudkan kelompok-kelompok etnik yang berdasarkan kegiatan ekonomi yang tinggal dalam kelompok masing-masing. Kesannya, interaksi antara kaum hanya terbatas di pejabat dan pasar sahaja. Ini melahirkan perasaan prasangka antara kaum yang telah mengapi-apikan lagi tercetusnya sentimen 13 Mei 1969.

Suasana yang seperti ini menyebabkan hubungan masyarakat antara kaum di negara ini menjadi terbatas. Di sisi penjajah keadaan seumpama ini amat baik baginya untuk mengukuhkan kedudukannya serta mengekalkan kuasa mereka. Suasana yang tidak seimbang ini telah berlanjutan sekalipun negara telah mencapai kemerdekaan . Bahkan suasana sosio-ekonomi yang tidak seimbang itu semakin melebar akibat daripada penekanan yang berlebihan terhadap pertumbuhan ekonomi tanpa menghiraukan ketidakseimbangan sosio-ekonomi dalam masyarakat Malaysia. Perkembangan rumit yang melibatkan kelas dan kaum ini akhirnya telah membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei 1969. Kerajaan yang sedar akan keresahan dan perasaan tidak puas hati yang berlaku antara kaum tidak seyharusnya dibiarkan. Berikutan inilah lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilancarkan pada tahun 1971 sebagai usaha untuk memulihkan keadaan. Latar belakang pendidikan yang berbeza juga telah dikaitkan sebagai punca yang membawa kepada meletusnya peristiwa 13 Mei.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]