Tuesday, May 11, 2010

Selamat Ulang tahun UMNO ke-64




64 tahun yang lalu, pada 11hb. Mei 1946, setelah melalui beberapa
pertemuan dan perbincangan, pemimpin-pemimpin Melayu dari pelbagai
persatuan dari seluruh tanahair telah bersepakat untuk menyatukan seluruh
perjuangan Bangsa Melayu di Tanah Melayu yang selama ini terpisah-pisah
atas faktor primordial dan parochial.

Perjuangan orang Melayu yang pernah dijajah ratusan tahun hanya berjaya
apabila ianya disatukan dibawah satu wadah: Pertubuhan Kebangsaan Melayu
Bersatu, PEKEMBAR atau UMNO.

Sebelum itu Melayu berjuang secara terpisah-pisah kerana mementingkan
semangat kesukuan dan kedaerahan. Melayu Kelantan berjuang untuk orang
Kelantan. Melayu Perak berjuang untuk orang Perak. Begitu juga Melayu dari
negeri-negeri yang lain termasuk Melayu Johor.

Lahirlah bermacam-macam persatuan seperti API (Angkatan Pemuda Insaf), KMM
(Kesatuan Melayu Muda), PETA (Pembela Tanahair), LKMJ (Lembaga Kesatuan
Melayu Johor), PMSJ (Pergerakan Melayu Semenanjung Johor dan banyak lagi.
Masing-masing mempunyai matlamat perjuangan yang sama iaitu untuk
menentang penjajahan Inggeris, tetapi mereka terpisah kerana semangat
negatif, yang mengecilkan perjuangan mereka iaitu semangat kesukuan dan
kedaerahan.

Dato Onn Jafar adalah tokoh pemimpin Melayu yang telah berjaya menyatu dan
memperkasakan perjuangan Melayu melalui satu sahaja wadah Perjuangan iaitu
UMNO.

Walaupun UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946, masih ada persatuan Melayu
seperti SABERKAS dan Persetiaan Melayu Kelantan yang masih berdegil dan
enggan membenarkan ahlinya menjadi ahli UMNO secara terus.

Dengan kebijaksanaan Allahyarham Dato’ Onn Jaafar, melalui sebuah
ucapannya pada tarikh 27hb Disember 1947, beliau telah berjaya menyedarkan
orang Melayu tentang kesilapan ini dan perjuangan Melayu dapat disatukan
melalui parti UMNO yang unggul.

Kesannya, hanya sepuluh tahun sahaja kemudian daripada itu, iaitu pada
tahun 1957, Tanah Melayu telah mencapai kemerdekaannya setelah melalui
zaman penjajahan yang penuh keperitan dan penghinaan kira-kira selama 450
tahun. Peringatan Dato Onn ini kepada orang Melayu telah dilafaskannya
kira-kira 64 tahun yang lalu.

Hari ini terdapat juga dari kalangan kita yang berjuang dengan mengajak
dan menyeru orang Melayu khususnya Ahli UMNO agar kembali semula ke era
atau zaman kelemahan perjuangan Melayu. Mereka ini berusaha untuk
melemahkan UMNO. Mereka mengajak orang Melayu berundur kebelakang. Mereka
mengajak orang Melayu membongkar kubur pejuang-pejuang kesukuan dan
kedaerahan yang telah lama dikuburkan oleh UMNO dan cuba menghidupkan
tulang-tulang yang telah reput itu.

Menyentuh tentang mereka ini, saya teringat akan sebuah pesanan Lukmanul
Hakim yang terkenal itu kepada anaknya. Lukmanul Hakim pernah berpesan
kepada anaknya : “wahai anakku, Jika kamu tidak dapat menjadi garam yang
boleh menahan ikan dari menjadi busuk, maka janganlah sekali-kali kamu
menjadi langau yang akan mempercepatkan lagi ikan itu menjadi busuk.

Moral atau pengajaran yang boleh kita dapat dari pesanan Lukman Hakim itu
adalah : Jika kita tidak dapat untuk menyumbang kepada memastikan UMNO
terus utuh dan kuat bagi menjayakan agenda perjuangan bangsa Melayu, maka
janganlah pula kita menjadi orang yang beria-ia dan bersungguh-sungguh
berusaha untuk merosak dan menjahanamkan UMNO yang keramat ini.
Mudah-mudahan, kita akan mendapat pengajaran dari pesanan yang sungguh
amat bermakna ini.Dalam setiap langkah perjuangan UMNO, ianya hanya boleh
berjaya jika ia terus diberikan sokongan, khususnya oleh orang-orang
Melayu. Lagi ramai orang Melayu menyokong UMNO, lagi pantas, lagi mudah
dan lagi cepat UMNO bergerak, untuk memberi pembelaan dan perjuangan
kepada orang-orang Melayu.

Orang Melayu tidak menyokong UMNO hanya kerana nama pertubuhan kita adalah
UMNO. Orang Melayu akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada
UMNO, hanya jika kita sentiasa berjuang untuk memelihara kekuasaan
politik, kesejahteraan ekonomi dan martabat sosial serta mempertingkatkan
kesucian agama islam dan keagongan bangsa kita.

Keputusan Pilihanraya Umum ke 12 (PRU12) yang lalu telah menunjukkan
bahawa, ada tanda-tanda bahawa orang Melayu khususnya generasi muda, telah
mula hilang kepercayaan kepada parti kita UMNO. Selain Kelantan, kini
Kedah, Perak (dapat kita tawan kembali), Pulau Pinang dan Selangor telah
berjaya ditawan oleh Parti Pembangkang. Negeri Johor yang terkenal selama
ini sebagai kubu kuat UMNO, juga telah berjaya dicerobohi oleh pihak
pembangkang.

Lanjutan dari kemerosotan Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang
lalu, telah menyebabkan kegawatan dalam parti kita UMNO. Begitu juga dalam
parti-parti komponen BN yang lain. Masing-masing cuba menuding jari
menyalahkan pihak yang lain.

Tindakan menyalahkan pihak lain tidak akan menyelesaikan masalah yang
sedang kita hadapi, melainkan kita sendiri harus mengkaji semula kelemahan
dan kesilapan diri kita, seterusnya mengambil jalan secepat mungkin, untuk
memperbaiki kelemahan dan kesilapan tersebut. Masa terus berjalan. Jika
kita lambat bertindak dan terus menyalahkan pihak lain, kemungkinan untuk
bangkit semula dalam Pilihanraya Umum yang akan datang menjadi semakin
tipis.

Kesan dari keputusan PRU12 yang lalu juga, telah menyebabkan orang-orang
Melayu yang merasa cemas dan tergugat, mula mengambil tindakan menubuhkan
bermacam-macam pertubuhan. Dalam keadaan kita mahu menyatukan Orang Melayu
yang telah mula berpecah, tindakan ini tentunya tidak akan membantu. Malah
tindakan menubuhkan lebih banyak pertubuhan ini akan menambahkan lagi
perpecahan kepada Orang Melayu.

Namun bagi saya, keadaan ini juga sebenarnya boleh ditafsirkan sebagai
menunjukkan, bahawa sudah ada tanda-tanda Orang Melayu mula merasakan
bahawa mereka tidak boleh lagi mengharapkan Parti UMNO untuk menjamin dan
membela nasib mereka. Orang Melayu mula merasa tidak selamat lagi.

Banyak seminar, banyak forum dan perbincangan telah diadakan untuk
mengkaji apa yang sebenarnya telah terjadi kepada UMNO dan Barisan
Nasional, pada PRU12 yang lalu. Maka begitu banyak sebab telah kenal pasti
sebagai punca kepada keadaan ini. Banyak juga cadangan yang telah diterima
oleh UMNO untuk dilaksanakan, bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan
pengundi kepada parti kita.

Apa yang pasti, persepsi atau pandangan masyarakat dan pengundi terhadap
parti kita telah banyak merosot dan berubah. Ahli UMNO kini dilihat
mementingkan diri sendiri berbanding melaksanakan tanggungjawabnya untuk
berkhidmat kepada masyarakat.

Ahli UMNO jugai dilihat lebih gemar mengejar jawatan bagi kepentingan diri
dan kumpulan mereka sendiri. Ahli UMNO kini dilihat malah dituduh sebagai
orang yang rasuah.

Ahli UMNO juga digambarkan sebagai gila kuasa sehingga sanggup
menghabiskan wang yang banyak untuk menyogok dan merasuah bagi mendapatkan
jawatan tertentu dalam parti.

Bermacam-macam persepsi buruk yang telah dilabelkan kepada UMNO. Semua ini
tidak boleh kita ambil dan pandang ringan kerana semua inilah yang
menentukan kemenangan atau kejayaan parti kita pada masa depan.

Samada kita suka atau tidak dengan setiap persepsi mahupun label buruk
yang telah diberikan kepada parti kita, rakyat atau pengundi telah membuat
keputusan di peti-peti undi pada PRU12 yang lalu.

Samada kita menerimanya atau menafikannya, kita telah kehilangan 4 buah
lagi negeri pada PRU12 yang lalu. Adakah kita sanggup kehilangan beberapa
buah negeri lagi pada PRU13 yang akan datang.

Jika kita terus berbalah dan menyalahkan pihak lain serta tidak cepat
bertindak, kita malah mungkin akan menerima kekalahan yang lebih teruk
lagi, dan mungkin juga akan terus kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan
Persekutuan. Adakah kita sanggup perkara ini terjadi kepada parti kita.

Tidak ada maknanya jawatan dalam parti yang kita perolehi dengan
menggunakan sogokan itu, sekiranya parti kita telah kehilangan kuasa untuk
memerintah.

Justeru itu, marilah kita bermuhasabah diri. UMNO tidak boleh kalah dalam
pilihanraya. UMNO tidak mampu untuk menerima kekalahan dalam
pilihanraya.UMNO yang keramat ini mempunyai tanggungjawab besar kepada
kelangsungan dan masa depan Bangsa Melayu. UMNO, parti keramat yang banyak
berjasa ini, memikul amanah yang sungguh besar bagi memartabatkan Bangsa
Melayu.

Kepada UMNO diletakkan harapan yang tinggi untuk memastikan Bangsa melayu
dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa yang
lain. Dan kepada UMNO jugalah diharapkan menjadi benteng kepada ketinggian
syiar Islam di Negara bertuah ini.

Maka pada hari ini, bersempena dengan ulangtahun ke-63 kelahiran parti
Keramat UMNO, saya ingin menyeru kepada semua ahli dan pemimpin UMNO,
marilah kita bersatu memulih dan mengembalikan semula kepercayaan dan
sokongan rakyat kepada parti kita. Marilah kita berganding bahu menyelamat
dan menguatkan semula parti kita yang telah banyak berjasa ini. UMNO telah
berusia 64 tahun.

Jika diibaratkan seperti kenderaan, UMNO telah ditunggangi oleh Orang
Melayu selama 64 tahun. UMNO telah tua. UMNO perlu dipulihkan dan
diberikan tenaga semula. UMNO perlu diREMAJAkan semula agar parti kita ini
dapat terus diterima, dipercayai dan diberikan sokongan tidak berbelah
bahagi oleh Orang Melayu.

UMNO perlu diremajakan semula agar dapat terus berkhidmat kepada
masyarakat dan orang Melayu. UMNO perlu diremajakan semula agar Bangsa
Melayu terus berkuasa di Negaranya sendiri. UMNO perlu diremajakan semula
kerana Orang Melayu belum mampu untuk hidup tanpa kuasa politik UMNO.

Sebagai generasi muda dan generasi pelapis yang akan mewarisi UMNO,
marilah kita mulakan langkah untuk meremajakan UMNO. Marilah kita
tingkatkan azam dan semangat kita untuk terus berkhidmat kepada masyarakat
melalui UMNO.

Marilah kita mengukuhkan kesatuan kita. Marilah kita menunjukkan sifat
prihatin kita terhadap segala permasalahan yang sedang berlaku dalam
masyarakat. Marilah kita buangkan sifat-sifat dan prilaku buruk yang telah
menyebabkan masyarakat dan pengundi memandang serong kepada parti kita.

Marilah kita mendekati semula masyarakat yang mungkin telah kita
tinggalkan suatu masa dahulu kerana kesibukkan kita. Marilah kita
menunjukkan contoh dan imej yang baik kepada masyarakat, kerana sebagai
pemimpin dan ahli parti, diri, peribadi dan perlakuan kita adalah cerminan
kepada parti kita. Baik pandangan masyarakat kepada kita, insyaAllah
baiklah juga pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Sebaliknya, jika buruk pandangan mereka kepada kita, maka buruk jugalah
pandangan mereka kepada parti kita UMNO.

Marilah kita mengembalikan semula persepsi dan keyakinan masyarakat supaya
mudah-mudahan, UMNO akan kembali diterima dan menjadi satu-satunya parti
yang mampu menjadi pembela kepada nasib dan masa depan Bangsa Melayu
seperti dahulu.

"Sayangkan Bangsa adalah 'Roh' kepada perjuangan UMNO selama 64 tahun ini.
Hanya dengan memiliki perasaan Sayangkan kepada Bangsa Melayu akan
memastikan kita akan sentiasa cuba memberikan yang terbaik dan
menghindarkan sesuatu yang buruk dari menimpa kepada bangsa kita"

Selamat Hari UMNO yang ke 64 tahun. Bersama kita memperkasa dan memelihara
UMNO agar dapat kita wariskan kegemilangannya kepada generasi akan datang,
InsyaAllah.



No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]