Lagi ahli PKR sertai UMNO, Rais cadang bubar saja parti itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) ranting Lepar Utara dibubarkan selepas kesemua 215 anggota ranting itu pada Selasa menyertai UMNO kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti tersebut. Penyerahan borang keahlian UMNO disampaikan oleh wakil kumpulan berkenaan, Abdul Rahim Darus kepada Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman pada satu majlis ringkas yang diadakan di pejabat UMNO Paya Besar di sini, pada Selasa. Bernama melaporkan, Abdul Rahim, 61, berkata beliau mewakili bekas ketua ranting itu Shamsuddin Md Hassan yang kini dirawat di sebuah hospital di sini. Katanya keputusan kesemua mereka termasuk Shamsuddin untuk menyertai UMNO adalah kerana kecewa dengan cara mesyuarat pemilihan parti yang berlangsung baru-baru ini yang didakwa tidak telus dan ada agenda kepentingan peribadi. Ahmad Tajuddin berkata keputusan kesemua bekas anggota PKR itu untuk menyertai UMNO membuktikan PKR bukan parti yang sesuai untuk dipilih rakyat. Katanya, kesemua mereka akan diserapkan menjadi anggota UMNO Cawangan Lepar Utara yang baru ditubuhkan dua bulan lepas dengan 75 anggota. Semantara itu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, bilangan anggota PKR yang semakin ramai menyertai Umno menandakan telah berlaku satu rombakan besar daripada segi pendirian politik, khususnya kepada orang Melayu. Beliau berkata penyertaan beramai-ramai anggota PKR itu memberi isyarat jelas kepada pemimpin parti itu bahawa masyarakat Melayu sedia membuat perubahan dan meminggirkan politik kekeluargaan. "Jadi warga dan anggota PKR yang masuk ke dalam Umno yang lebih 200 orang dalam tempoh yang tak lebih dari dua hari ini adalah satu cerminan yang jelas kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kepada Presiden Parti yang juga isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) dan juga kepada Yang Berhormat Nurul Izzah yang juga anak perempuan beliau bahawa parti PKR sudah sampai masanya menjadi satu lambangan yang boleh ditinggalkan," katanya. Rais, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata kumpulan yang sedia kembali memasuki perjuangan asas ini akan sentiasa diterima secara terbuka oleh Umno demi untuk perubahan dan berjuang atas nama bangsa, agama dan negara. "Saya bukan saja bercakap berkaitan kepolitikan negara tetapi saya bercakap demi orang Melayu. Sekarang sudah sampai masanya bagi PKR menyertai Umno di mana Presiden Umno dan juga Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) membuka ruang bagi semua orang seperti ini memasuki semula perjuangan asas bangsa. "Jadi tanda yang ada pada hari ini adalah tanda positif untuk perubahan dan jika orang Melayu sedar betapa pentingnya politik itu harus dikira dari segi bilangan dan kekuatan, inilah masanya (untuk bersatu) supaya orang 'tak jentik' kita lagi secara berleluasa ataupun memberi bahasa kesat kepada kita, lantaran dikatakan kita sudah mundur atau turun dari segi darjat politiknya," kata Rais. Beliau berkata PKR seharusnya menjadikan parti Semangat 46 yang mana suatu ketika dulu dalam serba kepayahan cuba memperjuangkan agendanya tetapi akhirnya kembali menyertai perjuangan bersama-sama Umno untuk kepentingan bangsa. "Diharapkan seruan itu dapat diterima dan kita alu-alukan warga PKR untuk memasuki Umno supaya perjuangan untuk bangsa, negara dan agama terus mencapai kejayaan. Cara pertama boleh ditunjukkan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Galas 4 Nov ini. Kita akan lihat bagaimana terjemahan ini dapat dibuat," katanya.-12/10/2010 |
Wednesday, October 13, 2010
215 ahli PKR sertai UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KIRIM PESANAN ANDA
No comments:
Post a Comment