Siapa Komunis?
MENURUT Kamus Dewan, komunis ialah orang yang menganut dan mengamalkan fahaman komunisme iaitu fahaman politik yang hendak menjadikan faktor pengeluaran dan barang-barang pengguna milik negara atau milik bersama rakyat.
Dalam menilai maksud komunis yang termaktub di dalam kamus, tentulah ia tidak bersamaan dengan kenyataan sepenuhnya berkaitan dengan penyebaran komunisme di Malaysia atau di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan dicapai.
Perlu difahami bahawa penularan fahaman komunisme ini adalah berlangsung daripada perjuangan untuk membebaskan tanah air dari kuasa penjajah iaitu PKM adalah untuk menghalau British keluar dari Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Komunis.
Namun demikian, tindakan yang diambil adalah lebih cenderung kepada pertumpahan darah dan kekerasan yang sememangnya amat bertentangan dengan budaya dan amalan yang dilakukan oleh masyarakat Tanah Melayu ketika itu.
Pergerakan penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk membebaskan Tanah Melayu dan mencapai kemerdekaan, lantas semasa pemerintahan Jepun PKM menubuhkan pula MPAJA untuk menentang Jepun.
Bagaimanapun, selepas Jepun menyerah kalah, PKM telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA dengan beberapa pertubuhan seperti Min Yuen, MRL dan sebagainya.
Tindakan yang dilakukan telah menghasilkan beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, tindak-balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga berlaku yang mengorbankan banyak nyawa.
Dalam pada itu, terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 menjadi penamat kepada PKM kerana penglibatan mereka telah diketepikan oleh British. Lantaran itu, PKM telah menukar strategi dan mula mencetuskan keganasan melalui mogok dan rusuhan. Ekoran tindak balas tersebut, British mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, iaitu sebagai jalan bagi melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.
Tindakan bersenjata pihak komunis Bintang Tiga telah melibatkan beberapa siri serangan berdarah termasuklah insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak.
Tujuan utama PKM melancarkan gerakan bersenjata adalah untuk menggulingkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan mendirikan sebuah Kerajaan Republik Komunis melalui pemberontakan bersenjata. Chin Peng juga mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen Ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya – TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.
Akibat daripada ketidakselamtan yang berpunca dari keganasan komunis ini telah membawa kepada pengistiharan darurat oleh Sir Edward Gent pada 12 Julai 1948 ke seluruh negara.
PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948, lantas seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan termasuk Senoi Praaq bagi menentang komunis.
Namun demikian, atas kepentingan bersama dan kesejahteraan masa hadapan, pada 9 September 1955 Kerajaan Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai kepada Komunis.
Akibat kesukaran dan kekurangan sokongan dari masyarakat, pemimpin PKM, Chin Peng telah meminta perundingan diadakan pada tahun 1955. Sokongan besar rakyat kepada Perikatan dan pilihan raya 1955 memberi kesan positif atas kesinambungan perjuangan bangsa dan menutup peluang PKM berkuasa.
PKM telah menulis surat kepada Tunku untuk berunding. Pihak Kerajaan diwakili oleh Tunku, Tan Cheng Lok dan David Marshall (Ketua Menteri Singapura) manakala PKM diwakili oleh Chin Peng, Chen Tien dan Rashid Maidin.
Namun demikian, rundingan yang dikenali sebagai Rundingan Baling pada 28-29 Disember 1955 ini menemui kegagalan kerana Kerajaan menolak desakan PKM supaya diiktiraf sebagai parti yang sah dan Chin Peng enggan menerima syarat-syarat Kerajaan supaya membubarkan PKM dan menerima tawaran pengampunan.
Tunku kemudiannya menegaskan kepada rakyat bahawa Parti Komunis Malaya bertindak menentang kerajaan sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British.
Dengan gerakan bersenjata komunis sebelumnya, dikatakan kira-kira 2,500 orang awam dan 1,865 anggota pasukan keselamatan terbunuh di tangan PKM semasa era keganasan kumpulan pengganas itu antara 1948 sehinggalah mereka meletakkan senjata pada 1989.
Dalam hal ini, Kerajaan tidak membenarkan Chin Peng kembali ke negara ini sebab ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kepada mereka yang terkorban dan ahli-ahli keluarga mereka yang telah terkorban dalam waktu darurat dahulu.
Tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat jerangkap samar yang dipasang oleh gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng dan konco-konconya dari Rejimen Ke-10 yang berselindung di sebalik nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).
Sesungguhnya, tujuan utama pemimpin PKM adalah untuk mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.
Lantas, sebagai memahami aspirasi negara, dan pejuang yang telah gugur ekoran tindakan komunis, wajarkah memaafkan individu yang terlalu banyak angkara khianat telah dipalitkannya terhadap negara ini? |
No comments:
Post a Comment