Pergerakan Pemuda UMNO Jasin mengalu-alukan sebarang pandangan yang membina, konstruktif dan bertukar-tukar pandangan dengan para pembaca blog ini.
Institusi pemikir Muslim tangkis dakyah songsang Oleh Mohd Ali Muhamad Don
2010/12/16
TANGGAL 10 Muharam adalah satu lagi hari yang dimuliakan dalam Islam. Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan 10 Muharam sebagai menunjukkan syariat Islam yang suci jauh berbeza dengan amalan agama lain yang kemungkinan juga berpuasa menurut kepercayaan mereka.
Diriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika aku hidup lagi sehingga ke tahun hadapan nescaya aku akan berpuasa pada hari ke-9 Muharam.” (Hadis riwayat Muslim)
Ini berlaku kerana Baginda Nabi SAW mendapati orang Yahudi turut berpuasa pada 10 Muharam.
Justeru, bagi menunjukkan perbezaan, Baginda Nabi SAW memerintahkan sahabat berpuasa pada 9 Muharam pada tahun berikutnya, walaupun Baginda sendiri tidak sempat berbuat demikian.
Begitu pula, ada berpendapat disunnahkan berpuasa pada 9 dan 10 Muharam untuk berhati-hati kemungkinan berlaku kesilapan dalam menentukan awal bulan Muharam hingga umat Islam luput beroleh kelebihan berpuasa 10 Muharam yang diberi ganjaran pengampunan dosa setahun lalu.
Peluang dan kesempatan berharga sebegini tidak patut dibiarkan berlalu begitu saja memandangkan tiada manusia terhindar daripada kekurangan dan kesilapan. Inilah juga saat umat Islam menambah amal dan mengurangkan tanggungan dosa.
Detik 10 Muharam sewajarnya menjadi pemangkin umat Islam merubah kiblat pemikiran, budaya dan kehidupan daripada amalan songsang kepada pelaksanaan Islam dalam segenap lapangan kehidupan.
Kegagalan masyarakat Islam berubah mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan menyebabkan kehidupan mereka tersasar daripada matlamat hidup sebenar. Ada yang bertuhankan nafsu hingga sanggup membunuh bayi tidak berdosa, bersekedudukan, hidup berfoya dan terbabit budaya hedonisme.
Akibatnya manusia gagal memacu potensi menjadi khalifah di bumi ini dan masih ada yang tersesat dalam mencari kebenaran lalu terpengaruh dengan ajaran menyeleweng serta menyimpang daripada landasan agama sebenar.
Semua gejala akidah, syariah serta akhlak yang membelenggu umat Islam dekad ini perlu diatasi dengan segera dan bijaksana.
Cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni al-Marhum Sultan Iskandar ketika merasmikan Multaqa Ulama di Johor Bahru, baru-baru ini, boleh dijadikan pencetus kepada perubahan diidam-idamkan.
Cadangan supaya ditubuhkan sebuah institusi pemikir Muslim memang tepat pada masanya memandangkan sebilangan umat Islam hari ini mengetepikan agama dalam kehidupan mereka.
Dengan tertubuhnya institusi itu nanti golongan agama, ahli akademik, cendikiawan dan pemimpin masyarakat boleh menggembleng segenap usaha mencari penyelesaian gejala sosial yang meruncing dalam kalangan umat Islam sendiri.
Institusi itu juga boleh berperanan sebagai pusat pemikiran Islam dan menyebarluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat supaya mereka memahami Islam berdasarkan sumber yang diterima dan disepakati bersama.
Ia juga berfungsi untuk menangkis sebarang dakyah dan serangan pemikiran disebarkan pihak tertentu untuk merosakkan akidah pemikiran umat Islam dengan kaedah difikirkan sesuai masa kini.
Disamping itu peristiwa penting berlaku pada tanggal 10 Muharam seperti Nabi Nuh terselamat daripada banjir besar, Nabi Ibrahim terselamat dibakar api Raja Namrud dan Nabi Yunus dikeluarkan daripada perut ikan patut dijadikan iktibar.
Pastinya bukan mudah menjadi individu Muslim yang patuh dan taat pada semua ajaran agama. Ujian dan cabaran pasti terlebih dulu dihadapi bagi mematangkan jiwa dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Untuk tujuan itu umat Islam boleh mengambil contoh golongan nabi yang sabar dan tabah mengharungi segala ujian berat. Segala susah payah dan kesabaran itu pasti akan dibalas dengan ganjaran setimpal sama ada di dunia atau akhirat.
Malah jika direnungkan, cabaran dihadapi sebahagian besar umat Islam hari ini jauh lebih ringan berbanding Nabi SAW dan sahabat terdahulu yang mempertaruhkan nyawa serta kehormatan demi mempertahankan kedaulatan Islam daripada diceroboh orang kafir.
Ingatlah juga manusia akan terus diuji oleh Allah SWT dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda dan kehilangan nyawa sehingga mereka kembali menghadap Allah Yang Maha Esa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. (Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jugalah kami kembali. Mereka itu ialah orang yang dilimpahi dengan pelbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)
No comments:
Post a Comment