Saturday, January 15, 2011

KERAJAAN PUSAT TERUS BANTU DAP PULAU PINANG.

DAP P. Pinang tidak serius bantu rakyat miskin

PULAU PINANG 14 Jan. - Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat tidak serius membantu rakyat miskin di negeri ini berdasarkan jumlah peruntukan bagi kebajikan golongan tersebut tidak bertambah sejak dua tahun lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, pada tahun lalu, Kerajaan Persekutuan menyediakan sebanyak RM60.34 juta untuk keperluan golongan berkenaan manakala kerajaan negeri hanya RM3.5 juta.


Pada 2009 pula, jelas beliau, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM35 juta sedangkan peruntukan kerajaan negeri masih sama.

"Jika dilihat angka ini, perbezaannya terlalu jauh. Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sekali ganda tahun lalu bagi membantu golongan miskin sedangkan kerajaan negeri masih pada tahap lama.
"Kita mohon kerajaan DAP Pulau Pinang tingkatkan peruntukan ini, jangan berharap Kerajaan Persekutuan sahaja untuk berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di sini malam tadi.

Menurutnya, jika selama ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng menguar-uarkan tentang kejayaan kerajaan negeri menarik ramai pelabur asing, maka peruntukan bagi golongan miskin seharusnya juga bertambah.
Zainal Abidin menambah, meskipun jumlah golongan miskin tegar berjaya dikurangkan, masih ada kalangan masyarakat yang menjadi miskin secara tiba-tiba berpunca daripada pelbagai perkara yang tidak dapat dielakkan.

Sebagai contoh, jelasnya, terdapat keluarga dalam sekelip mata jatuh miskin disebabkan hilang tempat bergantung hidup seperti kematian suami atau kehilangan bapa.

"Golongan ini juga perlu dibantu bagi membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup," ujarnya.

Pada perkembangan lain, beliau memberitahu, UMNO Pulau Pinang akan terus bekerjasama dengan sekolah-sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di luar bandar bagi memastikan lebih ramai pelajar di kawasan berkenaan menerima pendidikan sempurna.

Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) baru-baru ini, katanya, tahap pencapaian pelajar luar bandar begitu memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Kali ini, kita akan menumpukan pada subjek Bahasa Inggeris dan Matematik supaya lebih ramai pelajar di negeri ini berjaya memperoleh keputusan cemerlang," jelasnya.

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]