Thursday, March 3, 2011

FORMULA 3 P DAN 1 D DALAM POLITIK MALAYSIA

Persamaan 3P dan 1D dalam politik Malaysia

Oleh Noor Sulastry Yurni Ahmad

TULISAN ini cuba membincangkan formula yang membawa persamaan dalam sistem politik negara Malaysia. Tentunya pembaca tertanya-tanya maksud atau singkatan 3P dan 1D.

Hendak dikatakan keputusan STPM tidak juga, tarikh pilihan raya tidak juga, apatah lagi formula matematik. 3P merujuk kepada parti Pas, PKR dan Pilihan raya, manakala 1D merujuk DAP. Apa pula perkaitannya.

Selepas SPR melaksanakan tugas dengan penuh gigih, sedar tidak sedar sudah 16 Pilihan Raya Kecil (PRK) menjadi medan ujian politik sejak pasca 2008. Boleh dikatakan purata dua bulan sekali, PRK dijalankan dalam tempoh hampir tiga tahun ini. Ini bukan kerja mudah dalam konteks negara demokrasi berparlimen yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat majmuk untuk menjalani siri pilihan raya yang tidak pernah sunyi dalam sistem pentadbiran negara!.

Perkara yang menarik perhatian adalah penglibatan parti-parti pihak pembangkang yang bertanding dalam PRK yang berlangsung sejak PRU-12 lagi. Kelihatan tiada surutnya persaingan politik yang menjadikan PRK sebagai medan perjuangan dan perhitungan bagi setiap parti yang bertanding. Parti 2P dan 1D (pembangkang) mempunyai semangat yang tinggi untuk membawa perubahan dalam sistem demokrasi Malaysia yang memperjuangkan ideologi masing-masing. Hari demi hari, parti-parti ini dihambat pelbagai isu yang mencalar imej mereka sebagai parti politik yang mampu memberi persaingan sengit kepada Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, sejauhmana kekuatan parti-parti 2P dan 1D ini bertahan untuk memastikan kedudukan mereka terpelihara dan memperoleh sokongan undi dalam PRU-13 yang bakal tiba. Persoalan ini bukanlah satu masalah yang membelenggu parti 2P dan 1D untuk mengatur strategi mereka. Strategi dan pendekatan psikologi dan fizikal yang dimiliki oleh parti-parti tersebut semakin dicabar oleh BN yang mempunyai kebolehan dari segi wakil pencalonan, kekuatan sumber, struktur parti yang lebih kuat dan lain-lain. Walaupun BN ada kelebihan, namun pihak pembangkang juga berkebolehan membuktikan mereka setanding dengan pihak lawan.

Sayang seribu kali sayang, isu kerajaan DAP di Pulau Pinang, konflik dalaman kerajaan negeri di Selangor, isu pembentukan ahli PKR di Sabah, isu peribadi calon pilihan raya di Tenang sehinggalah isu percanggahan pendapat antara kerajaan negeri dan pemerintah negeri, sedikit sebanyak merencatkan budaya politik pihak pembangkang. Keadaan berjaga-jaga dan membuat persediaan awal untuk menghadapi pilihan raya umum semakin giat dijalankan, di samping melakukan persediaan bagi PRK yang sedang dan akan berlangsung tidak lama lagi.

Sungguhpun setiap parti politik sibuk berusaha mengasah strategi masing-masing, tugas hakiki mereka dan setiap calon yang dipilih perlu dipertingkatkan lagi kerana keputusan sudah dibuat oleh rakyat dan mereka mahu janji yang ditabur sudah dikotakan. Jika tidak, kesan mungkin akan dapat dilihat dalam pilihan raya yang bakal menjelang.

Bersediakah semua parti politik tidak kira 2P, 1D atau 1B (BN) untuk berkhidmat demi masyarakat sebelum, pada dan selepas PRU nanti? Ada formula yang boleh dijadikan tips kemenangan mereka pada kali ini dan tidak menjadi kesalahan jika berkongsi rahsia demi memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negara. Pertama, bekerja sebagai sebuah pasukan walaupun bertanding atas tiket parti yang berbeza. Kedua, rakyat adalah raja pada setiap pilihan raya dan ‘perhambakan’ diri untuk menjalankan amanat yang diamanahkan rakyat.

Ketiga, bermuafakat dan bermusyawarah sesama ahli parti dari setiap lapisan untuk mendapatkan pandangan mereka demi kebaikan parti dan ahli. Keempat, kikis pemikiran skeptikal, iri hati, hasad dengki di kalangan ahli terutamanya para pemimpin parti supaya perjuangan menjadi lebih ikhlas dan bersih. Ini kerana tidak kira apa-apa agama yang dianuti dan dipegang oleh kita, semestinya semua agama mengajar kita melakukan kebaikan. Renung dan fikir dengan mendalam ideologi perjuangan sebenar setiap calon dan parti kerana bimbang akan terpesong daripada ideologi yang sebenar.

Manakala yang terakhir, anggaplah pilihan raya sebagai medan untuk menguji kekuatan parti atau calon yang bertanding kerana tanpa persaingan atau pertandingan, kita tidak akan sedar di mana kelemahan dan kekuatan masing-masing.

Sebenarnya banyak lagi yang boleh dicadangkan di sini tetapi perkara yang asas perlu diutamakan terlebih dahulu sebelum melakukan perkara yang lebih rumit dan kritikal. Penulis sekadar berkongsi pandangan supaya setiap parti yang terus berkhidmat untuk rakyat pada hari ini supaya tidak meninggalkan ideologi perjuangan asal masing-masing.

Sememangnya semua perkara itu tidak dapat dilakukan dengan jayanya tanpa kerjasama ahli lain dan pada masa yang sama peluang perlu diberikan kepada mereka yang di luar sana untuk sama-sama berbakti kepada parti. Jangan disekat mereka yang berkelayakan dan berkemampuan untuk membantu parti menjadi lebih baik kerana ia merupakan satu kerugian sekiranya hasil yang baik tidak dapat dikongsi beramai-ramai.

Generasi muda pada hari ini, umpamanya komuniti yang sangat ‘luar biasa’ kerana zaman kini adalah zaman mereka bersinar. Malah parti-parti politik di Malaysia mengiktiraf bahawa generasi muda juga boleh membawa kelainan dalam mempertingkatkan mutu kerja sesebuah parti politik itu dengan penubuhan komponen Pemuda, Puteri, Dewan Muslimat dan sebagainya.

Kepimpinan politik negara turut dibarisi pemimpin-pemimpin belia yang mempunyai ketokohan yang amat membanggakan.

Sehubungan itu, PRU-13 mungkin dianggap sebagai cabaran yang getir dan medan perhitungan bagi sesebuah parti politik. Selain itu, PRU-13 adalah medan permuafakatan semua parti politik yang bertanding yang berjuang untuk rakyat dan kemajuan negara. Ia kelihatan seperti terlalu idealistik, retorik dan angan-angan mat jenin tetapi ia boleh dicapai melalui amalan ‘konspirasi politik’ yang sihat. Bertindak atas maklumat dan berfikir dengan akal yang bijak!

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Jabatan

Antropologi dan Sosiologi Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya

No comments:

KIRIM PESANAN ANDA



Nama
Alamat Email
Perkara
Mesej
Image Verification
Please enter the text from the image
[ Refresh Image ] [ What's This? ]